Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Naratif pengarang, dunia
realiti berbeza mencakupi alam Nusantara,
Seniman watak rekaan dalam novel
saya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memang menderita pada hari
tuanya. Pak Hassan, penglipur lara tua yang menjadi seniman itu, menderita
kerana kegagalan mewariskan legasi kesenimanannya kepada anak lelakinya, di
samping pelbagai perubahan sosial, gaya hidup serta teknologi dalam periode
yang melatarinya – iaitu Perang Dunia Kedua.
Watak Tukya dalam novel Azizi
Haji Abdullah, Seorang Tua di Kaki Gunung juga menderita pada hari tuanya.
Pencinta tegar warisan kehidupan dan gaya hidup Melayu agrarian tradisional
itu, yang menghuni kaki Gunung Bongsu, bukan saja berkonflik nilai dengan zuriatnya
sendiri, malah menempuh akhiran penuh tragis dalam hidupnya.
Baik Pak Hassan mahupun Tukya
menderita kerana kecewa tidak dapat melihat kesinambungan idealisme menurun
kepada zuriat masing-masing. Secara umum demikianlah kesan temanya, walaupun
ada pelbagai lagi simpang siur persoalan, peristiwa dan perwatakannya.
Ini berbeza dengan watak Osman
Bombay dalam drama Raja Lawak karya Zakaria Ariffin. Watak ini menderita bukan
kerana gagal mewariskan legasi lawak kepada protegenya Husin Tak Bai, tapi tidak
sedar diri yang lawak ala bangsawan sudah tidak sesuai lagi pada 1990-an. Watak
ini mengakhiri hidup penuh tragis di atas pentas lakonannya sendiri.
Tragedi adalah salah satu unsur
yang gemar dimanipulasi penulis drama pentas dan digemari oleh penonton sejak
zaman kegemilangan drama Yunani lagi. Apabila Zakaria Ariffin memasukkan unsur
komedi ke dalam naskhahnya, Raja Lawak yang dipentaskan 20 tahun lalu menjadi
fenomena seni pementasan yang luar biasa dekad 1990-an. Pada masa itu drama ini
antara lain dilakonkan oleh Jalil Hamid, Sabri Yunus, Tiara Jacquelina dan
Imuda.
Karya tidak dilindungi hak
cipta
Judul karya tidak dilindungi oleh
undang-undang hak cipta. Oleh sebab itu mungkin ada khalayak yang keliru
menyamakan drama Raja Lawak Zakaria Ariffin ini dengan sebuah program realiti
TV di negara kita. Oleh itu, elok benar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
(ITBM), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama DBKL dan ASWARA
mementaskan semula Raja Lawak di Auditorium DBKL mulai 16 Januari 2013 selama
10 malam.
Khalayak juga akan mendapati
bahawa Raja Lawak Zakaria Ariffin bukanlah pentas berkeloloh seperti program
realiti TV itu. Drama ini bertujuan membuka mata penonton untuk ‘melihat’ dunia
realiti di sebalik tabir, tidak menjamin wujudnya lawak jenaka tanpa
kontekstual, kerana ia turut mengajak khalayak merenung dan berfikir akan
‘kisah benar’ watak penghibur.
Bagaimana pula gambaran seniman
di dunia realiti? Glamor adalah kata kunci yang selalu dikaitkan dengan dunia
seniman, terutama mereka yang digemilangkan oleh kuasa visual perfileman dan
nyanyian. Glamor juga berkait rapat dengan kemewahan, kekayaan dan gaya hidup
ranggi serta sophisticated.
Kata kunci itu menjadi benar
apabila base atau asas khalayak begitu besar (umpamanya bagi pasaran dalam
bahasa Inggeris, Hindi, Sepanyol, atau China yang sedang muncul dengan hebat),
bayaran profesional yang tinggi, serta pelaksanaan perolehan pendapatan melalui
hak cipta atau harta intelek yang dilindungi dan terjamin.
Berhati-hati buka pintu
realiti
Seniman Malaysia harus
berhati-hati membuka pintu realiti dengan kata kunci itu. Apabila pintu realiti
terbuka, mereka akan melihat industri kreatif yang baru mula berkembang dan
saiznya sederhana. Realiti itu, bagi kebanyakan karyawan, belum memungkinkan
mereka menikmati kemewahan, kekayaan dan gaya hidup ranggi serta sofistikated.
Hanya sebilangan kecil karyawan
kita yang dilimpahi rezeki hasil industri kreatif yang sedang berkembang ini.
Antara yang jelas mendapat manfaat ini adalah sekumpulan pelawak dan pengacara
yang bertugas di media elektronik (kita selalu melihat kemunculan mereka di
kaca TV, atau mendengar suara mereka di radio), dan sebilangan penyanyi. Sama
ada mereka boleh mengekalkan prestasi mereka atau tidak, sebahagian besarnya
akan bergantung pada strategi mereka mengurus kejayaan.
Eloklah karyawan muda yang
berjaya itu bekerja keras ketika muda, mengumpul wang dan harta, untuk
menghadapi hari tua yang lebih stabil. Tidak semua seniman atau karyawan
bernasib baik seperti mereka, lantaran kurang diberi peluang, bayaran yang
rendah, serta kurang dilindungi oleh akta harta intelek. Situasi ini
menyebabkan persatuan seniman, Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan, dari semasa ke semasa memberi bantuan kepada seniman-seniman yang
kurang bernasib baik. Ini adalah usaha yang terpuji.
Di dalam teks sastera, seniman
menderita kerana strategi naratif pengarangnya. Di dunia realiti, kita tidak
rela melihat seniman menderita. Untuk itu kita harus membesarkan base atau asas
khalayak industri kreatif kita agar mencakupi alam Nusantara, dan dunia –
termasuk melalui alih bahasa atau sari kata. Apabila perkembangan itu terjadi,
seniman akan mendapat bayaran yang lebih baik. Di samping itu mereka wajar
benar-benar dilindungi oleh akta hak cipta atau harta intelek yang
berpanjangan.
Pendidikan industri kreatif juga
harus ditingkatkan. Bakat harus turut mengadun kreativiti, inovasi, pemikiran
strategik dan teknologi, supaya karya bukan sahaja boleh diproduksi tetapi
dapat diterima dan dinikmati oleh khalayak yang lebih luas.
Penulis ialah Sasterawan
Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan