Oleh : Alimuddin Mohd. Dom
"INSTITUSI pengajian tinggi
(IPT) tidak seharusnya hanya berfokus ke arah melahirkan modal insan dan
memenuhi aspirasi nasionalisme sahaja tetapi hendaklah lebih daripada itu iaitu
untuk melonjakkan kebolehsaingan negara di peringkat global."
Demikian antara petikan ucapan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Amanah
Tahun Baharu 2013 di PICC, Putrajaya pada 29 Januari lalu.
Amanat yang diucapkan hampir satu
jam 30 minit itu merangkumi lapan agenda dan 44 penyataan dasar menggambarkan
usaha keras Kementerian Pengajian Tinggi untuk melonjakkan kualiti IPT.
Sudah tentu ia selaras dengan
usaha kerajaan untuk menjadikan negara ke arah negara maju yang berpendapatan
tinggi.
Keutuhan dan kecemerlangan IPT
sama ada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) atau institusi pendidikan
tinggi swasta (IPTS) sangat signifikan dalam menentukan kebolehupayaan dan daya
saing negara. Peruntukan besar sebanyak RM13.7 bilion dalam Bajet 2013
membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keupayaan sektor
pengajian tinggi.
Terdapat sekurang-kurangnya tiga
mesej utama yang ditekankan oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam amanatnya itu.
Pertama, menyeru semua IPT melaksanakan transformasi dengan mengkaji semula
program pengajian dan aktivitinya serta membuat penambahbaikan supaya selaras
dengan hasrat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui oleh Perdana
Menteri.
Kedua, sebagai institusi menara
gading peranannya hendaklah turut terarah memberi perkhidmatan kepada komuniti.
Perlu disediakan program untuk warganya turun ke gelanggang melaksanakan
aktiviti bersama rakyat.
Setiap IPT digalakkan menubuhkan Pusat Transformasi Komuniti
yang berorientasikan strategi lautan biru. Diyakini bahawa IPT mampu bertindak
sebagai jentera yang boleh menggerakkan usaha ke arah meningkatkan keupayaan
serta kemajuan komuniti dan masyarakat.
Ketiga, IPT hendaklah memberi
penekanan kepada usaha melahirkan graduan berkemahiran dan berdaya saing bagi
memenuhi pasaran pekerjaan. Program pengajian perlu diselaraskan dengan
keperluan bidang industri. Wajar sekali IPT berganding bahu dengan pihak
industri agar graduan yang dihasilkan berupaya mengisi tenaga kerja terutama
bagi keperluan negara menjelang tahun 2020.
Sesungguhnya landskap pengajian
tinggi amat dinamik kerana berhubung kait dengan keutuhan ekonomi dan sosio
budaya negara. Kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan di IPT menjadi pemangkin
kepada kreativiti dan inovasi. Impaknya akan terhasil melalui peningkatan
kapasiti negara terutama dalam persaingan di peringkat global.
Bagi menjayakan matlamat tersebut
semua warga IPT disaran membuat anjakan paradigma dan melakukan transformasi ke
arah yang dihasratkan oleh kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan sinergi
yang akan bertindak untuk menjana pembangunan negara secara seimbang dan
holistik.
Di peringkat kementerian tindakan
awal telah diambil dengan menilai semula dan membuat cadangan baru ke atas
Pelan Strategik Pengajian Tinggi 2007. Dijangkakan Pelan Strategik baru akan
dilaksanakan pada tahun 2014.
Sementara itu semakan semula
terhadap peraturan dan garis panduan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta
1996 akan dilaksanakan melalui pembentukan jawatan kuasa khas dipengerusikan
oleh Naib Canselor Taylors University, Prof. Datuk Dr.
Hassan Said.
Negara memerlukan ramai warganya
yang berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja. Oleh itu IPT perlu
menyediakan lebih banyak program pengajian yang berasaskan bidang sains
teknikal dan teknologi. Disarankan juga penyediaan program dan aktiviti
berbentuk komersial dan keusahawanan.
Gabungan kedua-dua bidang itu
akan memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran siswa bagi memasuki pasaran
pekerjaan apabila bergraduat nanti.
Kini hampir keseluruhan IPT
memberi keutamaan kepada bidang penyelidikan. Ada antaranya memberi fokus
kepada bidang kritikal seperti nanoteknolgi, bioteknologi, automotif,
pengkomputeran dan kejuruteraan.
IPT hendaklah mewujudkan
kolaborasi dan kerjasama dengan pihak industri melalui pendekatan menang-menang
kerana ia boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
Peningkatan bilangan siswa di
peringkat pasca siswazah perlu diberi perhatian. Kini terdapat 79,633 siswa di
IPTA dan kira-kira 20,000 siswa di IPTS yang sedang mengikuti pengajian
peringkat master dan Ph.D. IPT perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk
melipatgandakan bilangan tersebut kerana negara memerlukan lebih ramai warganya
yang mempunyai tahap pendidikan akademik yang tinggi.
Isu kebolehpasaran graduan sering
mendapat perhatian masyarakat. Melahirkan graduan yang serba boleh dan bersifat
holistik hendaklah menjadi keutamaan IPT. Gerak kerja luar dewan kuliah dan
bilik tutorial melalui aktiviti kokurikulum mesti digalakkan. Pemberian jam
kredit bagi aktiviti tertentu boleh menarik minat siswa mengambil bahagian
secara aktif.
Nampaknya program 1M4U dan
aktiviti Yayasan Sukarelawan Siswa telah mendapat kerjasama dan penyertaan
ramai daripada mereka.
Pencapaian Malaysia memungut pingat
emas terbanyak dan sekali gus menjadi juara dalam Temasya Sukan Antara
Universiti-Universiti ASEAN di Vietnam baru-baru ini perlu mendapat penghargaan
daripada semua pihak. Ini bermakna kita tidak ketandusan bakat-bakat sukan yang
boleh diketengahkan.
Jika diberi peluang mereka boleh
mewakili negara dalam acara sukan di peringkat antarabangsa di masa akan
datang.
Bagi mengekalkan kualiti IPTS
pihak Kementerian akan melaksanakan moratorium atau pembekuan permohonan
penubuhan IPTS selama dua tahun yang akan bermula pada 1 Februari lalu.
Langkah ini perlu kerana hingga
kini terdapat 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, 7 kampus
cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di seluruh negara.
Jumlah IPTS tersebut dijangka
telah mencukupi bagi menampung keperluan pengajian tinggi sama ada daripada
dalam atau luar negara.
Akhirnya dalam Majlis Amanat
Tahun Baru 2013, Mohamed Khaled menyarankan bahawa: "Kualiti adalah
jantung kepada IPT. Oleh itu anjakan paradigma dan transformasi perlu dilakukan
terhadap sistem tadbir urus, program pengajian dan keupayaan pensyarah ke arah
yang lebih berdaya maju.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan