Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
SEORANG gadis bersama dua rakannya
sedang menaiki bas untuk pulang ke rumah dari sekolah, namun dalam perjalanan
pulang, bas yang mereka naiki ditahan oleh seorang anggota militan Taliban.
Lelaki itu kemudian menaiki bas
tersebut dan bertanyakan nama tiga gadis tersebut sebelum menembak salah
seorang daripada mereka. Dua lagi gadis itu turut cedera, namun mereka tidak
ditembak.
Dalam kejadian pada Oktober lalu
itu, Malala Yousafzai (gambar), 15, cedera parah akibat ditembak di kepala. Dia
terpaksa diterbangkan ke Britain bagi menjalani pembedahan dan setelah
menjalani rawatan intensif dia kini beransur pulih.
Itu adalah secebis kisah seorang
gadis Pakistan yang memperjuangkan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak
perempuan dan wanita di negara itu.Perjuangan gadis itu dianggap oleh Taliban
sebagai berfahaman sekular dan Malala dituduh sengaja menyebarkan ideologi
Barat.
Malala mula menulis menerusi
blognya untuk BBC Urdu sejak 2009, ketika baru berusia 11 tahun. Tulisannya
pula berkisar tentang kehidupan seharian di bawah pemerintahan Taliban di
Mingora, sebuah bandar di Lembah Swat, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.Dalam
blognya, gadis itu pernah menulis tentang ketakutannya, tidurnya yang terganggu
akibat bunyi bising tembakan meriam serta keazamannya untuk terus menerima
pendidikan, walaupun ditegah Taliban.
Dalam satu daripada tulisannya
pada 14 Januari 2009 bertajuk 'Saya mungkin tidak akan ke sekolah lagi', Malala
berkata: "Angin saya kurang baik hari ini kerana esok akan bermula cuti
sekolah musim sejuk. Guru besar mengumumkan tentang hari cuti, namun tidak pula
menyebut bila sekolah akan dibuka semula.
"Rakan-rakan saya juga tidak
gembira kerana mereka tahu jika Taliban menguatkuasakan arahan, mereka tidak
boleh lagi bersekolah. Saya membayangkan sekolah pasti akan dibuka semula,
tetapi ketika meninggalkan sekolah, saya melihat bangunan itu seperti saya
tidak akan kembali lagi ke situ."
Isi hati gadis itu menunjukkan
betapa dia dahagakan pendidikan, begitu juga dengan rakan-rakan perempuannya.
Di bawah pemerintahan Taliban, kanak- kanak perempuan tidak dibenarkan ke
sekolah. Sekiranya ada yang berbuat demikian, mereka akan diugut bunuh atau
sekolah yang mereka hadiri akan diletupkan.
Sejak kerajaan Pakistan
melancarkan operasi ketenteraan ke atas kumpulan militan itu di Lembah Swat,
sebanyak 168 buah sekolah termasuk 104 yang dibina khas untuk pelajar
perempuan, telah dimusnahkan.
Untuk itu, Malala yang mewakili
rakan- rakannya, bangkit bersuara membantah tindakan Taliban yang menyekat
akses pendidikan terhadap kanak-kanak perempuan Pakistan. Gadis itu
menyifatkan, pendidikan adalah hak semua tanpa mengira jantina dan larangan ke
sekolah boleh menjejaskan masa depan mereka.
Suara Malala pantas mendapat
perhatian dunia kerana tidak banyak pihak berani bangkit menyuarakan rasa tidak
puas hati terhadap Taliban kerana bimbang dengan ugutan bunuh kumpulan militan
itu. Walaupun mengalami kecederaan parah akibat ditembak Taliban, insiden itu
tidak mematahkan semangat gadis tersebut untuk terus memperjuangkan hak
pendidikan terhadap wanita.
Selepas menjalani pembedahan dan
menerima rawatan di Britain, Malala kembali ke sekolah di Birmingham. Dia juga
kini lebih lantang memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan
Pakistan, dibantu bapanya, Ziauddin, seorang aktivis yang turut memiliki sebuah
sekolah swasta di Lembah Swat.
Sejak itu, usaha gadis tersebut
mula diiktiraf ramai. Keberanian serta keazamannya mempertahankan hak
pendidikan untuk kanak-kanak perempuan membolehkan dia menerima pencalonan
Hadiah Nobel Keamanan pada tahun ini.
Malala juga membuktikan bahawa
dia bukan calang-calang gadis apabila dipilih sebagai seorang daripada individu
berpengaruh oleh majalah Time, atas perjuangannya itu.
Ancaman Taliban yang mahu terus
memburunya, tidak pernah melenyapkan agenda pendidikan Malala, yang satu hari
nanti berhasrat menjadi seorang doktor.
Harga sebuah pendidikan tidak
ternilai buat insan seperti Malala. Walaupun terpaksa bergelut dengan kekejaman
Taliban, dia tidak pernah putus asa memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak
perempuan.
Bagi penduduk Malaysia, rakyat di
negara ini beruntung kerana sistem pendidikan terbuka di negara ini tidak
pernah menyekat akses pendidikan kepada sesiapa tanpa mengira jantina, kaum dan
agama, sebaliknya semua lapisan masyarakat berhak menerimanya. Sama seperti
lelaki, golongan perempuan juga bebas bersekolah dan berhak menerima pendidikan
yang sama, baik di peringkat pra, rendah, menengah, tinggi dan lanjutan.
Keberkesanan sistem pendidikan
negara wajar dipuji kerana ia menjanjikan masa depan terbaik buat generasi masa
depan tanpa mengira jantina dan kaum, menerusi asas pembelajaran yang kukuh.
Ibu bapa di negara ini juga tidak
perlu risau dengan keselamatan anak-anak ke sekolah kerana tiada pihak akan
menghalang mereka untuk menimba ilmu.
Jika ada yang berpendapat,
kemiskinan adalah penghalang untuk ke sekolah, situasi itu juga tidak boleh
dijadikan alasan di Malaysia kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk
bantuan kewangan, serta inisiatif tanpa mengira kaum, khasnya bagi bidang
pendidikan.
Sistem pendidikan negara ini yang
terbuka, secara tidak langsung memberi peluang sama rata kepada golongan lelaki
dan wanita bersaing secara sihat dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Di
negara kita, bukan sahaja wanita diberi peluang pendidikan sama rata dengan
kaum lelaki tetapi juga wanita diberi peluang menjawat jawatan tinggi dalam
kerajaan dan sektor swasta.
Selain itu, kerajaan juga
menyediakan banyak kemudahan pendidikan dan vokasional serta latihan dengan
membina banyak universiti, pusat latihan, politeknik untuk rakyatnya
melanjutkan pelajaran bagi melahirkan generasi pekerja yang mahir untuk
membantu membangunkan negara.
Penduduk di negara ini, seharusnya
bersyukur kerana kerajaan yang ada bukan sahaja menyediakan pendidikan yang
baik kepada rakyat tetapi juga memberi peluang sama rata kepada semua tanpa
mengira kaum, agama dan jantina untuk mengejar ilmu setinggi mana tanpa
sebarang masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan