Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid |
KUALA LUMPUR : Tokoh pendidikan Tan Sri Ainuddin Wahid, 83, meninggal
dunia di kediamannya di sini Selasa kerana sakit tua.
Anak sulung Allahyarham, Saifudin, 53, berkata ayahnya meninggal pada
pukul 5.25 petang di rumahnya di No 3, Jalan 7, Taman Tunku Abdul Rahman (TAR),
Ampang. Selain Saifudin, Allahyarham turut meninggalkan seorang anak perempuan,
Aida. Isterinya, Puan Sri Rahmah Abdul Hamid meninggal dunia pada 1989.
Ainuddin, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
memainkan peranan penting dalam mentransformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur
(MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972, sebelum dinaik taraf kepada
UTM tiga tahun kemudian.
Beliau memegang jawatan Naib Canselor UTM sejak 1975 hingga bersara pada
1989.
Ainuddin merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai pengetua MTKL
pada 1969. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut dikenali
sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) bersama rakan senegerinya Allahyarham Aminuddin Baki, seorang lagi tokoh
pendidikan negara.
Ainuddin lulusan Sarjana Muda Sains dalam bidang kejuruteraan dari
Bristol University, United Kingdom pada 1956, dan kemudian mengambil ijazah
lanjutan dalam bidang trafik dan kejuruteraan jalan raya di Ohio State
University, Amerika Syarikat pada 1962 dengan dianugerahkan Fellowship dari
International Road Federation Amerika Syarikat. Sekembalinya dari United
Kingdom pada 1957, Ainuddin bertugas sebagai pembantu jurutera dengan Jabatan
Kerja Raya.
Setelah menyelesaikan pengajian lanjutan di AS pada 1962, beliau
dilantik sebagai pembantu jurutera untuk Lebuhraya Persekutuan Sungai Way-Klang
selama setahun sebelum dinaikkan ke jawatan jurutera eksekutif kanan pada 1965.
Pada 1969 dilantik sebagai pengetua MTKL, dan apabila MTKL dijadikan
institut, beliau dilantik rektor pertamanya pada 1972 dan kemudian sebagai Naib
Canselor pertama UTM pada 1975.
Ainuddin, anak seorang guru besar, dibesarkan neneknya setelah kematian
ibunya ketika Ainuddin berusia sembilan tahun.Beliau pernah memegang jawatan
Presiden Persatuan Pelajar Malaya dan Singapura di Bristol pada 1953 hingga
1955, dan merupakan ahli majlis Institut Kejuruteraan Malaysia pada 1975 hingga
1977.
Di sektor swasta, beliau pernah menjadi Pengarah Sapura
Telecommunications Bhd (Sapura Telecoms) dan Pengarah Cement Industries of
Malaysia.
Beliau juga merupakan pemegang gelaran Doktor Kehormat dari University
of Strathclycle, Glasgow, United Kingdom; Doktor Kehormat Pendidikan Universiti
Malaya; dan Doktor Kehormat Kejuruteraan UTM.
Pada tahun 2000, Ainuddin dinamakan Tokoh Ma'al Hijrah 1421.
Sebuah biografi mengenai beliau turut diterbitkan pada September 2011
bertajuk "Ainuddin: Pejuang Degil Melayu" yang ditulis oleh Datin
Seri Fatini Yaacob dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penubuhan "Ainuddin Wahid
Endowment Fund" dengan dana RM10 juta bagi membiayai pelajar peringkat
doktor falsafah di UTM untuk tempoh lima tahun. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan