Kuala Lumpur: Tujuh puluh
peratus guru Bahasa Inggeris gagal menguasai bahasa itu dengan fasih
berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT), tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan,
Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata guru terbabit perlu meningkatkan penguasaan
kerana tahap kefasihan yang rendah menyukarkan mereka mendidik pelajar untuk
cemerlang dalam subjek berkenaan.
Hanya 30 peratus guru Bahasa
Inggeris yang menyertai CPT mencapai tahap fasih, katanya pada sidang media
selepas merasmikan Program Kepemimpinan Untuk Pelajar Pintar anjuran Yayasan
Pintar, di sini semalam.
Kain Ching bagaimanapun tidak
menyatakan jumlah sebenar guru subjek itu yang mengikuti CPT, peperiksaan yang
turut tersenarai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Tahun ini, seramai 70,0000 guru opsyen Bahasa Inggeris diuji tahap kefasihan
mereka.
Tingkat tahap kefasihan
Beliau berkata, kementerian sudah
meminta semua guru yang gagal menguasai bahasa itu supaya berusaha meningkatkan
tahap kefasihan mereka.
Katanya, ia penting untuk
meningkatkan pencapaian pelajar mereka termasuk persediaan ke arah
merealisasikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) mulai 2016.
Mengenai kaedah berkesan untuk
meningkatkan penguasaan guru menggunakan bahasa itu, beliau berkata, ia termasuk
melaksanakan amalan baik yang pernah dijalankan sebelum ini seperti hari
berbahasa Inggeris dan minggu bahasa Inggeris.
Selain itu, sebelum perhimpunan
harian bermula, guru terbabit boleh menyampaikan syarahan atau membuat
persembahan drama menggunakan bahasa itu. Mereka juga boleh menubuhkan Kelab
Bahasa Inggeris yang menggunakan sepenuhnya bahasa berkenaan sebagai perantara
dalam semua kegiatan, katanya.
Mengenai desakan berterusan pihak
tertentu supaya sekolah vernakular dimansuhkan, Kain Ching berkata, sekolah
jenis itu juga sebahagian sistem pendidikan negara dan termasuk dalam
pelaksanaan PPPM 2013-2025.
Kemuka cadangan
Katanya, setiap kumpulan atau
individu berhak mengemukakan cadangan, namun ia perlu disusuli analisis sama
ada sesuai dengan dasar ditetapkan kerajaan atau sebaliknya.
Seperti saya tegaskan sebelum
ini, pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia menyukarkan kita
melahirkan modal insan cemerlang menerusi sistem pendidikan berkualiti,
katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan