Ketua negara bagi Malaysia ialah
Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong ialah jawatan eksekutif yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan Perkara 38
Perlembagaan, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun sekali, antara sembilan
pemerintah negeri Melayu. Apabila seseorang pemerintah negeri menjawat jawatan
Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai pemangku
dalam negeri berkenaan.
Sistem penggiliran Raja-Raja
Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak,
Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu
(Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).
Sistem penggiliran jawatan Yang
di-Pertuan Agong ini unik, kerana Malaysia negara tunggal di dunia yang
mengamalkan sistem penggiliran ketua negara seperti ini.
Sistem ini juga gabungan antara
tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan
Perlembagaan.
Sistem pemerintahan Raja
berperlembagaan negara ini menjadi lambang negara berdaulat, bebas dan merdeka
serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
Perkara 39 Perlembagaan
memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong.
Walaupun ada beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan
kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim, baginda menerima nasihat
daripada Jemaah Menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif baginda.
Tiga fungsi dalam Perlembagaan
Seri Paduka mempunyai kuasa
bertindak mengikut budi bicara baginda dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu
melantik seorang Perdana Menteri, bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan
membubarkan Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan mengenai
keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan
dalam mesyuarat itu.
Dalam kuasa perundangan, Yang
di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, iaitu Dewan
Negara dan Dewan Rakyat. Baginda mempunyai kuasa memanggil Parlimen
bermesyuarat dari semasa ke semasa, memberhentikan dan membubarkan Parlimen,
memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen dan memperkenankan Rang
Undang-Undang.
Yang di-Pertuan Agong juga
mempunyai kuasa melantik dua senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
seorang untuk tiap-tiap Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, serta
berkuasa melantik 40 orang senator lain.
Dalam kuasa kehakiman, Yang
di-Pertuan Agong berfungsi melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,
Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim
Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim
Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, atas nasihat Perdana Menteri selepas
berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Yang di-Pertuan Agong juga
mempunyai kuasa melantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah
Persekutuan.
Peristiharan darurat
Berdasarkan Perkara 150
Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan perisytiharan darurat
apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti
keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau
negeri dalam keadaan terancam.
Yang di-Pertuan Agong juga
pemerintah tertinggi angkatan bersenjata, mempunyai kuasa mengurniakan
pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan Mahkamah
Tentera.
Baginda mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.
Baginda mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.
Selanjutnya, Perkara 3 (3) dan
(5) Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua agama
Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka
dan Wilayah Persekutuan. Di negeri lain, ketua agama Islam ialah Sultan atau
Raja di negeri berkenaan.
Sebagai Ketua agama Islam, Yang
di-Pertuan Agong pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini.
Ketua umat Islam, ketua
eksekutif seluruh rakyat
Justeru, Seri Paduka bukan saja
ketua kepada umat Islam, tetapi juga ketua eksekutif bagi seluruh rakyat
termasuk bukan Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Dalam sebuah negara yang
mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, dalam situasi masing-masing
berusaha memperjuangkan hak asasi, budaya, adat resam dan agama mereka, Yang
di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tetap menjadi penyelamat ketegangan
politik dan perkauman serta menjadi simbol perpaduan rakyat.
Kita, selaku rakyat yang
berpayung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya sentiasa
memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah tertinggi negara
ini dan mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang tindakan mempertikai
perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk mempertikai kesucian agama
Islam sebagai agama persekutuan.
Penulis ialah Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan