Selasa, 27 Ogos 2013

ISU BAHASA : Intertekstualiti dalam novel sejarah

Novel Tak Seindah Impian
Oleh : RAHMAN SHAARI

BEBERAPA tahun akhir-akhir ini muncul gesaan agar sejarah Malaysia ditulis semula.  Mengikut pandangan pihak yang membuat gesaan demikian,  sejumlah pejuang kemerdekaan tidak mendapat layanan yang wajar dalam buku-buku teks sejarah.

Penulisan semula buku sejarah yang autentik pasti akan memakan masa. Seseorang tokoh mungkin diletakkan berlebih-lebihan, iaitu tidak berpadanan dengan sumbangan yang diberikannya. Profesor Dr Syed  Naquib al-Attas mengatakan, sejarah bukanlah semua yang berlaku, tetapi peristiwa-peristiwa pilihan. Dalam penulisan sejarah orang perseorangan, iaitu biografi, jika kesemua hal ditulis, berkemungkinan kesannya buruk. 

Ini disebutkan oleh Dr A Halim Ali dalam majlis bicara buku di Perpustakaan Awam Temerloh pada 24 Ogos 2013.

Dalam kalangan penulis kreatif juga timbul kesedaran akan perlunya aliran baru dalam tafsiran sejarah. Beberapa orang penulis kreatif berusaha keras mencipta puisi, cerpen, skrip drama dan novel yang berasaskan sejarah.  Kecenderungan baru ini amat menarik.

Dalam bicara ini, saya nyatakan makna sastera sejarah. Pada masa silam terdapat karya-karya yang digolongkan sebagai historiografi tradisional Melayu, dengan contoh-contoh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sejarah Melayu dan banyak lagi. Fakta bercampur dengan fiksyen.

Sementara kita menunggu penulisan semula sejarah, sastera sejarah eloklah difikirkan. Dalam bidang puisi, apabila tokoh sejarah disebut, kandungannya tidak terperinci. Misalnya, apabila disebut nama Tok Janggut, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dato Bahaman dan lain-lain, sebutan itu  sekadar menyatakan semangat pahlawan. Tiada pelukisan yang jelas untuk menyatakan sumbangan tokoh-tokoh itu. Hashim Yaacob, misalnya, menganggap pembaca sudah pun mengetahui sumbangan pahlawan-pahlawan tersebut apabila beliau menulis:

Bangkit Tok Janggut dengan kegagahan/Bangkit Mat Kilau dengan kecekalan/Bangkit Maharajalela dengan kehandalan/Bangkit Bahaman dengan keyakinan/Bangkit segala wira, bangkit/Bangkit bangsaku memaknakan pertuanan.  (Sajak 'Kitalah Tuan').

Nama-nama tokoh dalam konteks di atas ialah alusi untuk membangkitkan semangat rakyat masa kini, di samping mendorong rakyat mengenang sejarah para pejuang kemerdekaan.

Dalam novel yang menceritakan peristiwa sejarah, terdapat banyak pelukisan tindakan watak-watak yang disampaikan melalui babakan. Menurut Dr Othman Puteh, tindakan watak-watak sedemikian dilukiskan secara silang baur. Dr Halim Ali dalam bicara di Temerloh itu menyebutkan bahawa dalam kajian intertekstualitinya, penulis novel sejarah menggunakan sumber-sumber sejarah dengan ketara, dan sumber-sumber itu dimasukkan ke dalam novel dengan mengubah nama, tempat dan sebagainya. Hadirin agak terkeliru. Ini terbukti apabila salah seorang daripada mereka bertanya:

Adakah pelaksanaan intertekstualiti dalam pengkaryaan merupakan plagiarisme?

Rahman Haji Yusof
Sebenarnya, intertekstualiti adalah keperluan dalam penulisan novel sejarah. Sebagai contoh, karya yang berjudul Tak Seindah Impian karya Rahman Haji Yusof berkisah tentang kehidupan para pejuang  kemerdekaan. Latar masa dalam novel tersebut ialah ketika Jepun telah meninggalkan Tanah Melayu, dan Inggeris kembali berkuasa.

Saya berpendapat, penulisan novel yang berlatarkan zaman tersebut memerlukan kajian.  Novel sejarah memerlukan fakta sejarah, walaupun terdapat peratusan tertentu, misalnya 20% rekaan (fiksyen).

Dalam novel sejarah, apabila nama-nama watak itu boleh menimbulkan kontroversi, perubahan dilakukan oleh pengarang.

Pengarang mungkin bimbang kalau-kalau fakta tentang Shamsiah Fakeh tidak tepat, maka dibina satu nama baru, misalnya Suria Pakih.  Dengan nama baru demikian, kisah bayi yang masih dipertanyakan dalam kalangan masyarakat kita hingga kini, dapat dijawab secara kreatif. Buku karya Azzah AR, iaitu  Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan misalnya,  memuatkan kata-kata Shamsiah Fakeh sendiri tentang bayi tersebut.  Manakala Rahman Haji Yusof membina silang baur, bahawa wanita yang melahirkan bayi  itu  ialah Khatijah, bukan Suria Pakih.

Saya berpandangan, novel, cerpen, puisi dan skrip drama yang berasaskan sejarah perlu dihasilkan untuk maksud mendorong rakyat menghayati sejarah. Pelaksanaan silang baur, malah anakronisme (bersalahan masa) tidaklah menjadi masalah, kerana itu akan dijelaskan oleh pembicara sejarah.Ketidakselarian tersebut disebabkan oleh masuknya kreativiti dan silang baur ke dalam novel sejarah.

Asas sastera sejarah memanglah sejarah, manakala bahagian fiksyen ialah dekorasinya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan