KEMALANGAN bas di Kilometer 3.5
Jalan Genting Hinglands - Kuala Lumpur kelmarin yang mengorbankan 37 nyawa dan
mencederakan 16 penumpang sekali lagi membuka mata pelbagai pihak tentang
keselamatan bas yang bertanggungjawab membawa banyak jiwa ke sesuatu destinasi.
Tragedi ini mengingatkan kita
kepada tragedi-tragedi lain yang membabitkan bas terutamanya kemalangan di
kawasan Bukit Gantang pada tahun 2007 yang mengorbankan 20 jiwa.
Pada 26 Disember 2009, 10 maut
dalam kemalangan membabitkan syarikat bas Sani Ekspres di Perak. Sementara,
pada 10 Oktober 2010, 12 maut dan 40 cedera dalam kemalangan yang membabitkan
syarikat bas Ekspres Delima dengan beberapa buah kenderaan lain di Rembau
Negeri Sembilan.
Sudah banyak pihak yang
menyuarakan pelbagai pendapat tentang pengangkutan awam di negara kita apatah
lagi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu-lintas tetapi dari satu sudut
lain, risiko kemalangan turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat.
Pihak berkuasa sudah berusaha
sedaya- upaya membendung kemalangan jalan raya membabitkan bas kerana bas
satu-satunya pengangkutan awam darat yang popular, jimat dan mudah.
Oleh itu, kita dapat lihat betapa
setiap kali musim perayaan, pemantauan ke atas kenderaan awam ini dibuat dengan
teliti sebelum sesebuah bas itu bertolak dari sesuatu destinasi. Jabatan
Pengangkutan Jalan [JPJ] ditempatkan di terminal bas untuk memastikan bas yang
bakal membawa penumpang dalam keadaan selesa dan selamat.
Apabila terjadinya kes seperti
yang berlaku kelmarin, tuding-menuding antara pelbagai pihak tentu akan berlaku
sekali lagi. Ada penumpang terselamat mendakwa bahawa keadaan bas tidak selesa,
buruk, dan dipandu dengan laju.
Apa yang perlu disedari,
tanggungjawab seorang pemandu pengangkutan awam bukanlah ringan. Banyak jiwa
yang menjadi tanggungannya. Jika seorang pemandu dan sebuah syarikat yang
mengendalikan sesuatu pengangkutan awam itu menyedari hakikat tersebut,
pelbagai insiden yang tidak diingini boleh dielakkan.
Di samping itu, sesebuah syarikat
pengangkutan mestilah memastikan sesebuah bas yang dipertanggungjawabkan
membawa sejumlah penumpang itu itu berada dalam keadaan selamat dan meyakinkan.
Ciri- ciri keselamatan mestilah diutamakan tanpa memikirkan keuntungan yang
lebih sehingga membahayakan nyawa penumpang.
Kualiti pemandu juga mestilah
dipentingkan sebagai syarat kedua. Kualiti ini berdasarkan kepada rekod pemandu
sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak, mempunyai rekod kesalahan
lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya.
Oleh itu, tugas syarikat
pengangkutan itu merupakan syarat utama sebelum sesebuah bas itu dibenarkan
berlepas untuk membawa penumpang ke sesuatu destinasi.
Tanggungjawab seterusnya adalah
terletak di tangan pemandu. Pemandu yang mempunyai tanggungjawab tidak akan
memikul tanggungjawab yang diamanahkan secara sambil lewa tetapi disanggupinya
dengan penuh amanah, jujur dan beretika ketika di jalan raya.
Sebelum melakukan perjalanan,
mereka juga mesti memastikan bas yang diserahkan kepada mereka untuk membawa
penumpang adalah bas yang menepati ciri-ciri keselamatan. Pemandu yang tidak
mementingkan diri sendiri akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada penumpang
yang menjadi sandaran keselamatan mereka.
Pemandu juga mestilah bertanya
kepada diri mereka sendiri, adakah mereka benar- benar layak membawa sejumlah
besar penumpang ke sesuatu destinasi, ke mana penumpang itu hendak dibawa,
berapa jauhnya, berapa jumlah penumpangnya, bagaimana pula tahap kesihatan dan
persediaan fizikal dan mental mereka sebelum memulakan perjalanan.
'Dalam pada itu, pemandu bas juga
mestilah menghormati penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang
dapat dilihat, oleh sebab hendak mengejar 'trip', ada sesetengah pemandu bas
yang melanggar arahan lampu isyarat, memandu laju, malah kerana hendak cepat,
ada yang sanggup membunyikan hon kepada pengguna jalan raya lain di depan
mereka, walaupun di lampu isyarat berwarna merah.
Apa-apa pun, pemantauan secara
berterusan oleh pihak berkuasa sangat penting dan bukan hanya dilakukan secara
bermusim. Pihak berkuasa mestilah ditempatkan di setiap terminal bas tidak kira
sama ada bas berhenti-henti atau bas ekspres kerana dengan cara ini risiko
kemalangan dapat dikurangkan.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan