Selasa, 20 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Gabungan kementerian pacu transformasi pendidikan


PUTRAJAYA - Penggabungan Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran yang membentuk Kementerian Pendidikan akan memacu transformasi pendidikan agar dasar pendidikan negara mampu menandingi standard pendidikan antarabangsa menjelang tahun 2020.
  
Menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penggabungan itu akan menjamin kesinambungan dasar dan program dalam sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti dan dinamik.
  
“Ini merupakan langkah besar diambil oleh kerajaan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan negara dan ia wajar dikekalkan di bawah satu bumbung memandangkan ia akan memudahkan pentadbiran.
  
“Menerusi penggabungan ini, perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara akan diperkukuhkan.
  
“Mobiliti modal insan dalam bidang pendidikan akan berlaku dengan lebih rancak dan berkesan apabila ahli-ahli akademik bekerjasama dengan tenaga pengajar sekolah dalam menentukan hala tuju pendidikan negara,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, ketika merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 dan 2012 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin telah menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 kepada Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim (Universiti Malaya) dan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim (Universiti Industri Selangor) manakala Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dari Universiti Malaya merupakan penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2011.
  
Ketiga-tiga pemenang membawa pulang wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan.
  
Hadir sama pada majlis ini ialah Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad; dan Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
  
Muhyiddin berkata semua peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
  
Beliau berkata usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng dengan lebih menyeluruh untuk menghasilkan lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
  
“Transformasi pendidikan yang mengandungi nilai pengantarabangsaan dengan mengambil contoh model sistem pendidikan negara maju perlu diaplikasikan oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan struktur kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi.

“Kolaborasi antara pendidik di peringkat sekolah dan pengajian tinggi pastinya akan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang akan menentukan kemajuan dan kemakmuran masa depan negara,” katanya.
  
Sementara itu, Muhyiddin berkata penyelidikan di universiti berupaya menghasilkan lebih ramai modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran sains dan teknikal.
  
“Hal ini dapat dicapai melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak yang dapat mendorong dan memangkinkan pembangunan inovasi secara menyeluruh.
  
"Hasil penyelidikan yang diperoleh tidak hanya memberi impak atau kelebihan kepada kepentingan penyelidik semata-mata tetapi dapat dikongsi bersama pihak lain melalui pengkomersialan,” katanya.
  
Beliau menambah bahawa produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Malaysia berjaya dikomersialkan dan pastinya memberi impak dari segi penjanaan ilmu ke arah peningkatan kualiti hidup, pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama

1 ulasan: