SHAH ALAM : Pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berpeluang mengikuti program diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr
Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tawaran itu membolehkan pelajar terbabit
mengikuti program diploma di mana-mana kampus UiTM di seluruh negara dengan
kelonggaran syarat.
"Mereka boleh merayu dengan
menghantar surat rayuan secara terus kepada saya di pejabat Naib Canselor UiTM
Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperolehi,"
katanya di sini, Ahad.
Sahol Hamid berkata, tawaran itu
diberikan selepas beliau menerima banyak surat daripada pelajar lepasan program
matrikulasi, asasi dan STPM yang merayuuntuk mengikuti program ijazah di UiTM
selepas gagal memasuki IPTA lain berikutan tidak melepasi syarat dikenakan
mengikut sistem merit.
Beliau berkata, pelajar dengan
kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 2.0 ke atas akan diberi pertimbangan
untuk pengecualian beberapa mata pelajaran atau dengan pengurangan beberapa
kredit serta mungkin boleh menghabiskan program diploma dengan segera.
"Bagi pelajar lepasan STPM
pula, mereka boleh membuat rayuan jika mendapatkelulusan kredit bagi lima mata
pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat CGPA
tidak kurang 2.0.
"Mereka yang terpilih juga
layak untuk memohon bantuan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN)," katanya.
Sahol Hamid berkata, pelajar yang
kurang cemerlang pula boleh memasuki mana-mana 22 buah kolej bersekutu UiTM di
seluruh negara dengan syarat mendapat keputusan minimum lima kredit termasuk
dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.
Beliau berkata, kolej bersekutu
UiTM termasuk Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Poly-Tech MARA di Kuala
Lumpur serta Kolej Poly-Tech MARA Bangi dan Kolej Teknologi Timur di Sepang.
Sahol Hamid berkata, jika pelajar
terbabit masih mahu mengikuti program ijazah, mereka boleh mengemukakan rayuan
untuk mendapatkan tempat bagi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) atau program
Luar Kampus (PLK) dengan pengecualian syarat pengalaman kerja selama setahun.
Beliau berkata pada masa ini,
pemohon yang ingin mengikuti program PJJ atau PLK perlu mempunyai pengalaman
kerja selama setahun atau dua tahun, bergantung kepada kursus yang dipilih.
Sahol Hamid turut menolak
tanggapan sesetengah pihak bahawa piawaian sesebuah institusi pengajian tinggi
akan jatuh sekiranya membuka peluang kepada pelajar yang menerima keputusan
peperiksaan rendah.
Beliau berkata, andaian itu
adalah kurang bijak serta mementingkan diri sendiri.
"Kalau bangsa lain berusaha
membantu bangsa masing-masing, tidak salah sekiranya UiTM berusaha untuk
membantu bangsa Melayu," katanya sambil mengingatkan pelajar yang ingin
membuat rayuan supaya berbuat demikian dengan segera jika ingin mengikuti
pengajian sesi baru yang bermula September ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan