Antara isu yang menjadi polemik
di negara ini ialah arah tuju dan penempatan pelajar matrikulasi di institusi
pengajian tinggi (IPT) tempatan selepas menamatkan pengajian.
Berbanding program sijil, diploma
atau ijazah, isu matrikulasi boleh dianggap sensitif apatah lagi baru-baru ini
timbul rungutan pelajar matrikulasi tidak mendapat tempat melanjutkan pengajian
meskipun memperoleh keputusan cemerlang.
Meskipun kerap dilontarkan
tanggapan tertentu mengenai matrikulasi, pendidikan prauniversiti ini tetap
dianggap penting dan berprestij serta menjadi penanda aras kepada pelajar.
Justeru, sejauh mana peranan
matrikulasi dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara?
Dan, jika terus diselubungi
kontroversi, apakah matrikulasi terus relevan?
Presiden merangkap Ketua Pegawai
Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Dr Mazliham Mohd Su’ud,
berkata kemasukan ke matrikulasi adalah sebahagian usaha kerajaan memberi
peluang pelajar mendapat pendidikan terbaik.
Beliau berkata, matrikulasi
antara platfom yang membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat
seterusnya sekali gus mempersiapkan mereka dengan ilmu diperlukan.
“Program matrikulasi adalah salah
satu akses diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan ini membuat pilihan
belajar.
“Sistem pendidikan dan
pembelajaran negara kita yang terbuka tidak membataskan peluang sesiapa pun
sama ada layak atau tidak melanjutkan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, selain diploma
dan sijil kemahiran, matrikulasi antara pilihan utama pelajar melanjutkan
pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Semua peluang ditawarkan ada
kepentingan masing-masing dalam sistem pendidikan tinggi negara bagi mencapai
keputusan jangka panjang.
“Tapi, yang perlu diperbetulkan
ialah tanggapan bahawa matrikulasi adalah antara program yang gah berbanding
sijil kemahiran atau diploma.
“Walaupun memasuki matrikulasi
memerlukan keputusan cemerlang, usah anggap ia satu-satunya pilihan menjejak
kaki ke universiti,” katanya tidak menafikan ada pelajar matrikulasi meskipun
memperoleh keputusan cemerlang tetapi gagal meneruskan pengajian di menara
gading.
“Sebenarnya tiada jaminan pelajar
matrikulasi boleh memperoleh tempat kerana semua tertakluk pada syarat
tertentu.
“Justeru, ada pihak terkejut dan
kecewa apabila mereka tidak terpilih melanjutkan pengajian di IPTA.
“Senario ini berlaku kerana ada
yang tidak faham bahawa memperoleh keputusan cemerlang tidak semestinya
memperoleh tempat di IPTA,” katanya.
Namun, beliau berpendapat ia
bukan penamat kepada masa depan pelajar kerana banyak lagi IPT mampu menawarkan
tempat.
“Kita tidak boleh menyalahkan
pelajar sepenuhnya atas kekecewaan itu sebab mereka yakin ada keputusan yang
layak.
“Tapi, apabila gagal mendapat
tempat, tidak bermakna ‘riwayat’ belajar akan tamat. Ada banyak IPT lain mampu
memberikan tempat.
“Tidak perlu berharap kepada IPTA
semata-mata. Kita perlu akur sejauh mana kemampuan IPTA menawarkan tempat,”
katanya.
Justeru, pelajar matrikulasi yang
tidak terpilih boleh melanjutkan pengajian di IPTS.
“Saya tahu, ramai yang masih
berpandangan skeptikal kepada IPTS kerana dikatakan tidak setaraf IPTA
sebaliknya lebih bermotifkan keuntungan.
“Ia pandangan lapuk kerana IPTS
kini setanding IPTA bagi membina masa depan dalam pembelajaran,” katanya.
Katanya, bukan institusi yang
mencorakkan kejayaan pelajar tapi diri sendiri.
“Buangkan persepsi kolot sebab
jika terus terbelenggu dengannya, kita akan jadi golongan yang rugi,” katanya.
UniKL tidak ketinggalan
menawarkan tempat kepada pelajar matrikulasi yang tidak mendapat tempat
melanjutkan pengajian.
Dengan reputasi yang dicapai
UniKL, ramai pelajar mempunyai keyakinan tinggi dan mengakui sistem
pembelajaran ditawarkan antara yang terbaik.
“Penawaran ini sejajar misi UniKL
untuk melaksanakan tanggungjawab nasional kepada pelajar juga negara.
“Ada pelbagai program ditawarkan
dan semuanya mengikuti kehendak industri,” katanya.
UniKL masih menawarkan tempat
dalam semua program ijazah sarjana muda kecuali perubatan kepada pelajar
matrikulasi yang masih belum mendapat tempat.
Pengambilan ini khas untuk
pelajar matrikulasi dan borang permohonan perlu dihantar sebelum 15 September
ini.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan