Selasa, 10 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Keupayaan menutup persepsi


Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

APABILA sesi pengajian baru institusi pengajian tinggi negara bermula dua minggu lalu, antara tumpuan utama pastinya terarah kepada mahasiswa Bumiputera yang bakal memulakan cabaran baru di menara gading.

Biarpun dari segi kelayakan akademik membuktikan mereka layak, masih ada pihak sangsi keupayaan golongan itu.

Tidak tahu di mana silapnya, isu pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik seolah-olah penawaran tempat adalah menerusi sistem kuota sedang­kan kini pengambilan adalah menerusi meritokrasi yang berpaksikan kelayakan pencapaian akademik.

Kemampuan mereka terbukti namun persoalannya, mengapa mereka masih dipertikaikan?

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata pencapaian mahasiswa terutama Bumiputera sering kali menjadi perhatian kerana pandangan skeptikal segelintir pihak yang tidak mahu berubah.

Beliau berkata, tidak wajar membuat ulasan atau tafsiran sendiri mengenai mahasiswa Bumiputera kerana kecemerlangan mereka setanding dengan lain.

“Biarpun syarat kemasukan semakin diperketat­kan selain mengambil ciri-ciri tertentu, mahasiswa Bumiputera tetap layak dan mampu ‘mengatasi’ jumlah kemasukan kaum lain.

“Ini bukan isu mengenai keistimewaan tapi kemampuan. Mahasiswa Bumiputera membuktikan mereka bukan calang-­calang pelajar.

“Sistem meritokrasi bertujuan memberi keadilan kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa. Dan ini bukan mudah bagi yang tidak cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan ketat itu bukan saja dilaksanakan IPTA di negara ini, malah kebanyakan universiti terkenal di dunia.

“Sistem pendidikan ting­gi negara kita kini pantas ke menuju antarabangsa sebagai satu mekanisme persaingan pendidikan globalisasi.

“Jadi, tentu standard diberikan tinggi bagi mengisi kapasiti persaingan itu termasuk kelayakan akademik bakal mahasiswa.

“Ini juga cabaran kepada mahasiswa termasuk Bumiputera bagi membuktikan kemampuan, sekali gus menutup persepsi bahawa mereka selalu gagal menunjukkan persaingan yang baik,” katanya.

Malah, beliau tidak menafikan, pertikaian me­ngenai pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik dan bualan masyarakat.

“Tidak dinafikan, ramai pihak suka mempertikaikan kemampuan mahasiswa Bumiputera. Ini sudah seperti tradisi.

“Pada saya, ia tidak adil kerana golongan itu membuktikan mereka memang cemerlang menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Cuma, kekurangan itu agak ketara dari segi kemahiran, namun itu bukan alasan terus melabelkan mereka tidak berkelayakan menjadi graduan yang baik,” katanya mengakui kekurangan sedia ada itu boleh dianggap cabaran bagi menjadikan diri mahasiswa alat transformasi moden dunia pendidikan baharu.

“Kita tidak pernah membiarkan kepincangan sedia ada untuk terus ‘membenamkan’ pencapaian mahasiswa Bumiputera, malah segala kepincangan sentiasa mendapat pemerhatian.

“Malah, pengenalan pelbagai mekanisme adalah antara usaha dilakukan bagi menaikkan taraf pencapaian agar lebih memberikan impak tinggi melebihi sasaran ditetapkan.

“Usaha ini bukan berat sebelah tapi bagi menjawab pertuduhan pihak tertentu yang beranggapan mahasiswa Bumiputera mendapat banyak kelebihan berbanding bangsa lain,” katanya.

Beliau kesal apabila isu bangsa dijadikan polemik dan dipolitikkan.

“Saya tekankan, perkara berkaitan pendidikan tidak boleh dijadikan alat untuk menimbulkan isu lain. Ini adalah pendidikan yang memberi akses sama rata kepada semua untuk menimba dan memperoleh ilmu.

“Jangan jadikan isu pendidikan atau mahasiswa Bumiputera sebagai satu senjata untuk mengkucar kacir atau menghangatkan sentimen lain.

“Pendidikan di IPTA atau mana-mana institusi perlu berlangsung secara harmoni demi satu matlamat iaitu melahirkan masyarakat berilmu dan mampu menjadi pemimpin negara yang baik suatu hari nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa yang baru ditawarkan tempat pengajian agar menggunakan sepenuhnya peluang diberikan itu dengan bijak.

“Ramai beranggapan, jika belajar di menara gading, semuanya selamat.

“Itu tanggapan salah kerana di universiti, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jika mahu gagal atau berjaya, buatlah pilihan masing -masing.

“Di kampus, cabaran akan bermula seterusnya ke peringkat pekerjaan dan kehidupan. Kalau dipersiakan peluang diberikan ini, mereka sendiri boleh meramalkan kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Mengenai tanggapan mahasiswa Bumiputera kurang kompeten terutama dalam aspek kemahiran serta pengukuhan jati diri, beliau berkata ia subjektif dan tidak tertakluk pada mana-mana pihak.

“Kompetensi boleh dibentuk melalui latihan, kesedaran dan aktiviti kampus. Soalnya, adakah mereka ada kemahuan melakukannya?

“Setiap aspek kemahiran atau pengukuhan jati diri tertakluk pada kemahuan individu. Sediakan aktiviti terbaik di dunia mahupun mentor mentee paling handal, kalau tiada kemahuan diri, semuanya gagal.

“Kemahiran dan jati diri dimantapkan dengan pembabitan dalam program dan aktiviti yang dirangka khas untuk mereka bukan bangsa,” katanya.

Tidak juga menafikan bakal wujud budaya kejutan dalam sistem pengajian peringkat tinggi, beliau berkata ia boleh diatasi jika menumpukan perhatian pada peringkat awal pengajian.

“Peringkat ini memudahkan mereka memperoleh keputusan cemerlang kerana pengenalan modul adalah asas sebelum membuat pengkhususan.

“Tapi, di sini juga kesilapan terbesar kerana mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh mahu mengumpulkan markah yang baik.

“Berdasarkan pemerhatian, andai kata sekali mereka sudah terleka, selalunya kelekaan itu akan berterusan hingga menyebabkan keputusan tidak cemerlang,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan