Jumaat, 24 Januari 2014

ISU KENEGARAAN : Di mana Rukun Negara?


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

RUKUN NEGARA ialah ideologi kebangsaan yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Ia dirangka selepas negara melalui rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969; tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ketiga.

Selepas 43 tahun; di manakah kedudukan Rukun Negara? Jika dahulu, ia sering kelihatan di belakang buku tulis, kini ada yang sudah tidak memberikannya ruang. Tidak boleh disalahkan jika falsafah dan lagu sekolah menjadi keutamaan kini walaupun Rukun Negara boleh ditemui di kotak tisu, kampit beras, plastik roti dan van agensi kerajaan hari ini.

Dulupun kita tidak diminta menghafal Rukun Negara tetapi kerap dipukul dan disergah jika tidak menghafal sifir yang dipapar di bawah Rukun Negara di belakang buku tulis! Adakah kerana perilaku seperti ini, maka natijahnya diperhati berlaku kebelakangan ini dengan sifat membenam nilai kenegaraan dan menular sifat dendam, aib, hina, angkuh, tidak hormat  Perlembagaan, undang-undang mahupun pemimpin yang menjadi-jadi.

Adakah kita memahami matlamat mengapa Rukun Negara dirangka dan tujuan di sebalik kehadirannya ketika tanah air bergelut untuk memulihkan perpaduan, keharmonian dan kemuafakatan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.

Rukun Negara penting untuk mengembalikan sifat kesetiaan dan penghormatan ke atas negara dalam kita bangga menjadi warga Malaysia. Ia adalah dokumen yang padat dengan peristilahan ke arah memartabatkan kedudukan masyarakat yang demokratik, saksama dan adil tanpa mengganggu tatasusila yang sudah diwarisi sekian lama.

Rukun Negara berakarkan  perpaduan. Dalam satu keluarga besar yang berlainan sifatnya, ia perlu subur dengan nilai faham, hormat dan bertolak-ansur. Kemelut etnisiti sentiasa mesti dijauhi terutama daripada anasir bersifat provokatif dan emosional. Pengalaman peristiwa 13 Mei walaupun ada tidak mahu mengingatinya; wajar dijadikan iltizam dan pedoman demi masa depan yang memberi kecerahan ke atas sifat damai, muhibbah dan stabil.

Berdasarkan kepada persekitaran ketika Rukun Negara digubal, yang menjadi dominan adalah untuk memberi keabsahan kepada amalan tradisi yang diwarisi supaya masyarakat harmoni akan dapat dipelihara ketika masing-masing meneruskan ciri-ciri kebudayaan nenek-moyang mereka.

Ini tidak bermakna Rukun Negara membelakangkan nilai progresif malahan ia dilancar agar negara tidak berhadapan dengan konflik perkauman secara berpanjangan yang boleh menjejas usaha membangun dengan pertumbuhan baik ketika itu beserta berdepan dengan persaingan dunia global yang mencabar.

Pengisian berwajahkan Rukun Negara dilihat kewajarannya. Rukun Negara penting dalam menyemarakkan sifat patriotisme, nasionalisme dan mempertahankan nilai bersama agar tidak menjadi sebagaimana negara lain yang tidak henti-henti memberi keutamaan ke atas konflik antara etnik daripada meraikan kepelbagaiannya.

Kelima-lima prinsip Rukun Negara menjadi seri kepada warna kehidupan warga Malaysia. Ia adalah untuk melahirkan warga yang bangga menjadi anak negara ini, baik anak Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak; baik berlainan keturunan dan ritualnya; di paras kemanusiaan sifat saling memerlukan diperkasakan.

Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika ia diwartakan menyatakan bahawa - ''Mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging''.

Kepercayaan kepada Tuhan menjadi prinsip teratas kerana walau berlainan agama, setiap individu diajar nilai dan norma yang dihubungkait dengan kehidupan manusia yang baik. Tiada agama menyatakan bahawa 'rompak sebanyak mungkin dan akan dibalas dengan limpahan pahala'. Sifat keji dan buruk perlu dihukum dan sifat mulia wajar dipuji. Menghulur tangan, bergandingan walau berlainan warna tubuhnya demi perpaduan adalah hakikat. Ini ikatan hukum karma.

Dalam konteks negara kita, agama Islam adalah agama rasmi dan kebebasan beragama dikekalkan mengikut garis panduan yang dipersetujui di bawah Perlembagaan. Tafsiran bersifat nada politik perlu dihentikan kerana yang memburukkan agama adalah pengikut dan bukan agama itu. Rujuk Perkara 3 dan 11 yang saling melengkapi di bawah Perlembagaan.

Prinsip kedua memberi keutamaan rasa setia kepada Raja dan negara. Sistem demokrasi Raja Berperlembagaan adalah amalan negara ini dan raja menjadi lambang penyatuan serta perpaduan. Junjung kasih kepada institusi Raja-raja adalah panji-panji kenegaraan. Namun, kebelakangan ini ramai yang sudah lupa asal-usul dan adab susila sehingga tingkah-laku yang songsang diterima majoriti. Ada yang menyanggah; ada pula bersifat megah di alam maya; ada pula yang hanyut dilambung keangkuhan jiwa.

Sebagai nota kaki, pandang-pandang janji mantera antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, jika lupa sejarah negara-bangsa.

Prinsip ketiga adalah keluhuran Perlembagaan. Dalam Artikel 4(1) dan 162 (6) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 73 Akta Malaysia, disebut Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama Persekutuan Malaysia. Artikel 4 (1) menyatakan bahawa 'Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu'.

Kedaulatan undang-undang menjadi kekuatan prinsip keempat Rukun Negara. Ia memberikan keadilan dan perlu dihormati dan dipatuhi. Undang-undang bertujuan mengawal dan mewujudkan masyarakat yang aman dan mengiktiraf kedaulatannya. Jika masing-masing mencipta undang-undang sendiri, pihak berkuasa tidak ada pilihan melainkan menguatkuasakan tindakan sebagaimana dibenarkan.

Prinsip kelima amat signifikan dalam konteks Rukun Negara. Ia menekankan sifat kesopanan dan kesusilaan. Tingkah-laku dan perlakuan menjadi asas kepada keperibadian seseorang. Yang melahirkan kebimbangan dalam konteks masyarakat pelbagai adalah karakter yang membelakangkan adat dan tidak wujud sebagai panduan dalam kehidupan.

Prinsip ini melengkapkan kesemua rukun di atas agar dapat melentur warga yang berpegang kepada ikrar menumpukan segala cita-cita dan tenaga menzahirkan prinsip-prinsip yang termeterai supaya dapat jaminan wujudnya perwatakan masyarakat yang harmoni, penyayang dan sejahtera agar memelihara kepercayaan ibadah dan akhlak, hormat sistem hukum, menjadi sihat untuk membawa kesejahteraan, sistem persanakan yang terurus tanpa berkompromi ke atas jati diri manusiawi.

Rukun Negara menjadi garis panduan kepada hubungan antara etnik merentasi perbezaan demografi mahupun geografinya. Ia adalah falsafah kebangsaan, tradisi kesinambungan zaman-berzaman agar kedaulatan, kestabilan, kemuafakatan tetap utuh walau apa cabarannya. Dilemanya, adakah keluhuran Rukun Negara dijunjung atau sekadar hiasan bersifat retorik dan kosmetik sahaja?

Ada ahli psikologi menyatakan bahawa 'kita perlu kehilangan sesuatu yang dimiliki buat seketika untuk lebih menghargainya'. Saya berharap tidak ada yang berfikiran sedemikian kerana mudah untuk merobohkan apa yang sudah dibina tetapi bukan mudah untuk membinanya semula. Pengorbanan dan kompromi telah membawa kita ke tahap ini; Rukun Negara mendasarinya. Jadi hargai ia demi masa depan Malaysia!

Penulis ialah pensyarah di  Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).


Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan