Pada hari Jumaat ini kaum Cina di
negara kita akan merayakan Tahun Baru Cina. Menurut kalendar Cina, tahun ini
adalah tahun Kuda Kayu. Menurut kepercayaan mereka bagi tahun ini elemen api
memainkan peranan yang penting, mengatasi air. Api juga melambangkan kemarahan,
rasa tidak sabar dan keresahan.
Sekiranya zodiak Cina boleh anda
percayai, tahun ini juga menampakkan keadaan di mana emosi dan ketakutan akan
lebih banyak menguasai ketenangan dan kewarasan. Banyak keputusan akan dibuat
tanpa pertimbangan akal, kajian mendalam, kebijaksanaan dan kecerdikan. Maka
itu ada tanda-tanda bahawa akan lebih banyak berlaku pergolakan dan krisis di
dunia tahun ini.
Itu bukan bermakna tahun Kuda
Kayu merupakan tahun yang malap atau menggerunkan. Tahun ini juga menjanjikan
banyak harapan. Kuda merupakan haiwan liar sekiranya tidak dikendalikan dengan
betul. Kuda membantu manusia memenangi perang. Kuda juga menjanjikan banyak
peluang yang baik dalam bidang perniagaan dan dalam pembinaan kerjaya.
Demikianlah ramalan tahun Kuda Kayu bagi kaum Cina.
Beraya bersama-sama
Bagi sebahagian besar daripada
kita, Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada beberapa perayaan penting
negara. Banyak daripada kita yang mengambil cuti dan menggunakannya untuk
melancong atau sekadar berehat di rumah. Bagi yang lain, ini merupakan peluang
untuk merayakan bersama-sama teman-teman kaum Cina.
Perayaan kaum untuk sekian lama
tidak pernah dilihat daripada kaca mata keagamaan semata-mata. Hari Raya, Tahun
Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Tadau Keamatan dan lain-lain lagi merupakan
perayaan yang dirayakan oleh semua kaum. Suku kaum di Sabah dan Sarawak
memberikan makna yang sebenar konsep 1Malaysia dengan menjadikan perayaan suku
kaum sebagai acara bersama sejak sekian lama.
Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali
juga menjadi perayaan yang dikongsi oleh semua kaum. Perayaan seperti inilah
yang memberikan kesempatan rakyat Malaysia mendekati satu sama lain. Inilah
bukti integrasi yang sebenar. Pemahaman terhadap budaya satu sama lain menjadi
teras perpaduan negara.
Sayang sekali soal perpaduan kini
perlu dilihat semula secara jujur. Pelbagai isu yang berbangkit merenggangkan
perpaduan kaum di negara ini. Soal politik, bahasa, agama – semuanya menjauhkan
kita. Sistem pendidikan vernakular menjadikan anak-anak kita tidak berinteraksi
seperti yang sepatutnya pada peringkat awal lagi. Isu keagamaan menjadi semakin
sensitif hari ini.
Penubuhan Majlis Perundingan
Perpaduan Nasional (MPPN) menunjukkan betapa perlu isu perpaduan ini ditangani
secara jujur dan terbuka. Sebenarnya kerajaan tidak ada pilihan. Majlis ini
diminta membuat cadangan langkah-langkah praktikal ke arah perpaduan sebenar.
Tuntut tindakan serius
Ini isu serius yang menuntut
tindakan serius. Sudah pastilah ada pihak yang mencurigai keberkesanan majlis
ini. Malang juga kerana mesyuaratnya yang pertama pada 6 Januari lalu
ditenggelami oleh kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke
atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).
Memang majlis ini tidak mempunyai
Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah perpaduan. Perpaduan kaum di
negara ini merupakan isu panjang yang berdaki dengan tradisi dan sejarah juga
prasangka dan keraguan. Hari ini isu perpaduan merupakan isu nasional yang
kritikal.
Selepas Peristiwa 13 Mei 1969,
isu perpaduan dianggap amat penting. Maka itu pelbagai program dan kempen
disediakan. Rukun negara diwujudkan sebagai tiang seri dan prinsip kerukunan
bersama. Kempen muhibah dan perpaduan dilaksanakan secara berterusan
menggunakan semua media yang ada ketika itu.
Mungkin kaedah lama yang cuba
menggandingkan suntikan elemen patriotisme, jingoisme dan propaganda tidak
sesuai lagi untuk rakyat Malaysia hari ini. Tetapi semangat kempen itu masih
penting. Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa isu kerenggangan
kaum perlu diatasi segera.
Mungkin sudah terlalu lama kita
mengabaikan soal perpaduan. Atau mengambil mudah hal itu. Bila terhantuk baru
tengadah, demikianlah peribahasa Melayu. Ini soal masa depan negara kita. Dalam
negara pelbagai kaum, kita tidak ada pilihan melainkan memastikan wujudnya
keharmonian kaum.
Indonesia memberikan tumpuan pada
pembinaan negara bangsa menggunakan bahasa sebagai paksinya. Namun demikian
mereka juga berdepan dengan masalah perpaduan untuk jangka panjang. Kita
mungkin menghabiskan terlalu banyak masa mencorakkan kemajuan ekonomi lalu
mengabaikan aspek pembinaan negara bangsa yang sebenar. Inilah masa untuk
membuat perubahan.
Masanya belum terlambat. Dalam
kita menghormati perayaan Tahun Baru Cina kali ini, elok juga direnungkan makna
persefahaman dan kerukunan bagi kita semua. Demi masa depan bersama. Kepada
semua pembaca Cina: Gong Xi Fa Cai.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan