Oleh : SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
CYBERJAYA 4 Mac - Kerajaan memberi jaminan sistem baharu
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan diumumkan hujung bulan ini lebih
mesra guru dan berfokuskan pengajaran berbanding sebelum ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri
Idris Jusoh berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan pada 29 Mac ini
selepas siap dikemas kini turut memberi lebih banyak masa kepada guru untuk
mengajar.
"Sistem PBS bentuk baharu
ini adalah mesra guru dan berfokuskan pengajaran. Sistem berkenaan juga tidak
membebankan guru serta memberi lebih masa kepada mereka untuk fokus pada
pengajaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam
sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sesi Perkongsian Pengalaman Bersama
Bekas Naib Canselor Universiti-universiti Malaysia di Universiti Islam Malaysia
(UIM) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi UIM,
Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Dalam pada itu, Idris menolak
tanggapan sesetengah pihak bahawa sistem PBS tersebut tidak mementingkan
peperiksaan.
Katanya, elemen peperiksaan
merupakan salah satu komponen dan pada masa sama, komponen lain turut
dimasukkan.
"PBS merupakan satu bentuk
pentaksiran lebih menyeluruh yang bukan hanya mengambil kira peperiksaan tetapi
meliputi juga psikometrik pelajar, perkembangan jasmani, emosi, rohani,
intelektual dan sosial mereka.
"Sebelum ini juga banyak
pihak yang memberi komen bahawa sistem kita terlalu berorientasikan
peperiksaan, oleh sebab itu pihak kementerian mengubah sistem berkenaan dengan
memperkenalkan aspek lain juga," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau
menjelaskan, kementerian memberi hak sepenuhnya kepada guru besar di setiap
sekolah untuk membuat keputusan sama ada meneruskan sesi persekolahan atau
tidak berikutan keadaan berjerebu di sesetengah tempat.
"Guru besar lebih mengetahui
keadaan di sekolah masing-masing dan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU)
mencecah 200, semua sekolah tidak dibenarkan mengadakan aktiviti luar dan kita
serahkan pada kebijaksanaan guru besar untuk buat keputusan," katanya.
Sementara itu, mengulas isu
sindiket penipuan pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), Idris berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau mengulas pembongkaran satu
sindiket yang menggunakan lambang Kementerian Pendidikan, Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) dan beberapa agensi lain bagi menjerat pelajar yang sedang
menunggu keputusan SPM untuk menghadiri sesi temuduga kemasukan ke universiti
awam dan swasta dengan mengenakan bayaran.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan