Sekurang-kurangnya ada dua
perkara besar yang berlaku dalam hidup saya pada tarikh 16 Mei. Pertama, pada
tarikh itulah saya diberikan kepercayaan memulakan tugas sebagai Menteri
Pendidikan Kedua. Kedua, dan lebih penting, pada tarikh itu jugalah seluruh negara
menyambut Hari Guru sebagai penghargaan kepada pengorbanan warga pendidik.
Salah satu elemen penting dalam
pendidikan adalah peranan guru. Oleh sebab itu, sambutan Hari Guru pada 16 Mei
setiap tahun amat tinggi nilainya kepada saya. Saya meletakkan martabat
profesion guru ini pada kedudukan amat tinggi.
Dalam Islam sendiri, banyak hadis
yang menekankan betapa mulianya seorang guru. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan
bahawa Abu ‘Umamah al-Bahili telah berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat seperti kelebihanku ke atas
orang yang paling rendah antara kamu. Baginda bersabda lagi, sesungguhnya
malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta
ikan berselawat (berdoa) untuk orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
Melihat kepada hadis ini sahaja
sudah cukup menggambarkan betapa tingginya martabat guru. Hari Guru
mengingatkan saya kepada bekas Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah Tengku
Mahmud, Besut, Allahyarham Cikgu Fatimah yang sentiasa berjumpa dengan ibu bapa
untuk mengatasi isu murid kesayangan.
Sentiasa beri motivasi
Beliau sentiasa memberi motivasi
dan sokongan kepada muridnya walaupun di luar waktu persekolahan. Ketika Cikgu
Fatimah sakit, murid menjaganya sehinggalah beliau meninggal dunia. Sayangnya
murid kepada guru apabila guru sayang kepada murid.
Saya sendiri tidak dapat
melupakan jasa dan budi guru yang begitu sabar mengajar saya ketika bersekolah
dahulu. Ketika saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh,
Besut, Terengganu, saya masih ingat kesabaran Cikgu Masnah, Cikgu Mariam, Cikgu
Ali Yusof, Mr Wong, Cikgu Rahim dan Cikgu Tengku Norizan melayan kerenah
budak-budak kampung termasuk saya.
Mereka begitu komited memastikan
kami memahami setiap apa yang mereka ajar. Masih terbayang dalam ingatan saya
wajah Cikgu Ali Yaacob, Guru Besar sekolah saya dahulu. Saya masih melawatnya
dari semasa ke semasa.
Berkat kesabaran cikgu Sekolah
Kebangsaan Pusat Jerteh, keputusan yang baik dalam peperiksaan melayakkan saya
memasuki Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Pengalaman di STAR banyak
mematangkan saya. Gurunya amat berdedikasi. Di hadapan saya bagaikan terlihat
semula kelibat Cikgu Lau Hut Yee yang begitu bersemangat mengajar Sains. Tidak
dapat saya lupakan Cikgu Sarjit Singh, warden Rumah Hijau yang amat saya
hormati walaupun garang.
Wajah guru STAR seperti Cikgu Ong
Bee Jeng, Ustaz Mohamad dan Cikgu Ali masih kekal dalam ingatan saya. Mereka
tanpa mengenal bangsa dan agama, gigih mengajar saya menjadi pemikir,
olahragawan dan pemimpin. Merekalah yang membentuk persepsi saya bahawa menjadi
guru bukan setakat satu profesion, tetapi menuntut lebih daripada itu.
Profesion ini menuntut seluruh jiwa, keikhlasan dan pengorbanan. Profesion ini
memerlukan ‘jiwa guru’.
Kemungkinan itulah sebabnya saya
tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. Secara dekat saya
berpeluang melihat bagaimana isteri saya memainkan peranan sebagai guru dengan
bersungguh-sungguh dan sabar, dan pada masa yang sama di rumah sebagai ibu yang
mendidik lima orang cahaya mata kami.
Bincang cabaran dihadapi guru
Semua anak kami mendapat
pendidikan awal di dalam negara. Ada yang melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi tempatan dan ada yang murah rezeki berjaya ke luar negara.
Kami bersyukur, semua mereka sekarang menjadi anak kebanggaan kami dan kini
kami dikurniakan tiga cucu. Alhamdulillah. Saya juga kadangkala berbincang
dengan isteri mengenai cabaran yang dihadapi guru. Insya-Allah, pandangannya
memberi perspektif berbeza kepada saya dalam menjalankan tugasan saya.
Di peringkat Kementerian
Pendidikan, usaha memperkasakan profesion guru ini tidak pernah ada noktahnya.
Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025), kementerian komited menjadikan
profesion guru ini pada masa yang akan datang, hanya dipilih dalam kalangan
graduan yang cemerlang dari segi akademiknya dan terbaik dalam pencapaian
kokurikulumnya.
Stigma sebelum ini yang
menyatakan bahawa profesion guru adalah pilihan terakhir harus segera dikikis.
Bukan itu guru yang kita mahukan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi bangsa
yang dikagumi dunia.
Saya sedar cabaran guru sekarang
dalam mendidik murid sudah jauh berbeza daripada zaman ketika saya bersekolah
dahulu. Ekoran kepesatan pembangunan teknologi komunikasi, murid sekarang
adalah Generasi Y yang sentiasa terdedah dengan pelbagai pengaruh di sekeliling
mahupun di dunia langit terbuka.
Murid sekarang bukan sahaja
bersaing dengan rakan sekelas, tetapi juga dengan rakan media sosialnya di
dunia. Senario ini menuntut perhatian dan iltizam guru yang bukan sedikit.
Namun percayalah, Kementerian Pendidikan tidak akan membiarkan guru mengharungi
gelombang perubahan ini bersendirian. Kementerian menyusun pelbagai strategi
sebagai persediaan.
Secara peribadi, saya sentiasa
menghulurkan tangan membantu guru melaksanakan tugas mulia mereka. Guru
mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Selamat menyambut Hari Guru untuk
semua guru yang tercinta.
Penulis ialah Menteri Pendidikan II Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan