Kemurahan hati dan kebajikan
merupakan sifat penting dalam
perwatakan seorang Muslim. Dengan
menolong dan memberi, kita menjadi masyarakat yang penyayang dan berbelas
kasihan, berbakti kepada Tuhan dengan
berkhidmat kepada hambaNya.
Rencana ini menjelajah bagaimana sikap
memberi dengan ikhlas boleh membentuk
peribadi seorang Muslim, dan bagaimana, dengan
membantu orang lain, seseorang itu sering
mendapati kesan terbesar terhadap dirinya sendiri.
'Lakukanlah apa yang anda mampu, di mana jua dengan apa yang anda miliki'
Ia membuat kita merenung peribadi diri
Apabila kita menderma, kita menyumbang kepada sesuatu yang kita anggap penting. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud: "Berilah kepada mereka yang memerlukan." Matlamat utama kerja-kerja kebajikan ialah untuk mendapat keredhaan Tuhan dan untuk kebaikan rohani kita.
Syariah menegaskan bahawa setiap manusia mempunyai maruah diri. Jika kita melihat maruah seseorang terjejas, adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mengambil tindakan untuk mengembalikan martabatnya tanpa mengira bangsa, agama atau kerakyatan.
Keruntuhan maruah dan harga diri boleh berpunca dari beberapa sebab. Antaranya ialah kemiskinan dan kekurangan makanan, pakaian, ketiadaan tempat berteduh, ketiadaan pendidikan dan penyakit. Satu lagi adalah segala jenis malapetaka; biarpun yang semulajadi ataupun yang dicetuskan oleh manusia.
Walaupun setiap manusia mempercayai yang mereka sememangnya orang berbelas kasihan, kita kadangkala meletakkan had kepada takat kebajikan yang diberi, dan kita merasakan bahawa perbuatan ini sah. Pernahkah kita merasakan bahawa sekumpulan manusia tertentu tidak harus dibantu? Ketidakacuhan kita terhadap mereka dirasakan sah kerana kita merasakan ˜mereka memang patut terseksa' atau ˜ mereka tidak berusaha secukupnya'. Dengan menghukum mereka sedemikian, adakah kita membuat pengadilan bahawa mereka tidak layak menerima pertolongan Tuhan, dan dengan itu tidak juga layak menerima bantuan kita? Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
...Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum - Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Apa yang menarik mengenai ayat-ayat di atas adalah ketiadaan sebarang diskriminasi tentang mereka yang patut menerima bantuan, dari segi tentang kepercayaan, bangsa atau bahasa orang yang menerima pertolongan tersebut.
Ia mengeratkan perhubungan kita dengan orang lain
Islam menekankan kehidupan yang lengkap dan seimbang. Perbuatan memberi bukan sahaja menanamkan disiplin rohani dan membentuk satu hubungan dengan Tuhan malah juga mengeratkan hubungan kita sesama manusia.
Sebuah hadis Rasulullah S.A.W menyatakan:
Orang yang paling disayangi Allah ialah mereka yang paling berguna. Perbuatan-perbuatan sangat disayangi oleh Allah adalah: kebahagiaan yang diberi kepada seorang Muslim, membantu melepaskan kesusahan daripada beliau, membayar hutang untuknya atau menghapuskan kelaparannya. Membantu seorang Muslim yang memerlukan pertolongan lebih penting padaku dari iktikaf (meluang masa beribadat) selama sebulan di dalam masjid. - Imam Al-Tabarani
Inilah konsep persaudaraan dan tanggungjawab sosial menurut Islam, yang memerlukan semua mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat demi kebaikan masyarakat. Kesejahteraan masyarakat begitu penting dalam Islam sehinggakan institusi zakat diwujudkan untuk menjaminnya. Seorang Muslim belum menyempurnakan tanggungjawabnya kepada Tuhan selagi ada di kalangan masyarakatnya golongan yang memerlukan, sama ada ianya berbentuk keperluan fizikal, rohani, interlektual atau sebaliknya.
Sebuah masyarakat akan menjadi utuh apabila terdapat ikatan persaudaraan yang kuat, di mana setiap ahli saling membantu antara satu sama lain. Menurut hadith Rasulullah S.A.W, masyarakat yang kukuh dan bersepadu diibaratkan
...seperti satu badan; jika satu anggota terasa sakit, sekujur menjadi rasa demam dan gelisah. - Sahih Imam Muslim
Ia menyembuh luka-luka di hati.
Pakar psikologi, Dr Ed Diener dari Universiti Illinois pernah menjalankan satu kajian yang menarik. Beliau mendapati bahawa kira-kira lima tahun selepas seseorang ditinggalkan pasangan mereka yang meninggal dunia, ramai diantara mereka yang dapat mengecapi tahap kebahagiaan yang sama seperti sebelum mereka kehilangan orang yang dikasihi. Kajian ini menunjukkan bahawa bukanlah peredaran masa yang menyebabkan ˜luka-luka' mereka sembuh. Yang menyembuhkan mereka ialah perbuatan memberi dan menerima, berkhidmat dan menerima khidmat, menyayang dan disayangi dalam tempoh masa tersebut. Perbuatan-perbuatan ini merupakan kebajikan “ sadaqah" yang meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada mereka yang sedang melalui penderitaan.
Dalam satu lagi kajian, Peggy Thoits, Profesor Sosiologi di Universiti Vanderbilt, membandingkan tahap-tahap kebahagiaan, kepuasan hidup, harga diri, kesihatan fizikal dan kemurungan antara mereka yang terlibat dalam perlbagai bentuk pekerjaan sukarela dengan mereka yang tidak.
Thoits berpendapat bahawa orang yang sihat secara mental dan fizikal lebih berkemungkinan membantu orang lain dan menjalankan banyak kerja-kerja amal. Menurut beliau lagi, sukarelawan, tidak kira umur atau tahap pendidikan, dilaporkan lebih bahagia dan lebih sihat dari aspek fizikal dan kurang menghadapi tekanan dan kemurungan.
Ia membolehkan kita berkongsi kurniaan Allah
Nikmat yang diberi Allah kepada kita tidak terkira banyaknya. Sama ada sebagai individu ataupun negara, kita dikurniai keselamatan, keamanan dan taraf hidup yang menjadi hasrat ramai. Rahmat Allah yang berlimpah merupakan tanggungjawab yang besar, lantaran itu memberi adalah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah yang diberi kepada kita.
Ahli-ahli perniagaan memahami bahawa kemakmuran bermula dengan pelaburan, manakala petani akan berkata kita menuai apa yang disemai. Ini adalah cara dunia berfungsi dan ianya dikenali sebagai undang-undang kesalingan. Al-Quran menegaskan:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga. - At-Taubah, 9:111
Ayat ini menekankan idea bahawa perbuatan memberi adalah satu demonstrasi kepercayaan yang teguh kepada Allah. Apabila kita menderma wang atau harta benda kita, kita meletakkan kepercayaan bahawa Allah akan membalas dengan secukupnya. Dari itu, kita menggunakan pemberian yang diperolehi untuk tujuan terbaik.
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? - Al-Baqarah, 2:245
Ia menyatukan manusia dengan alam semulajadi
Sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan holistik, Islam menggalakkan kita untuk memberi pertolongan bukan sahaja kepada manusia malah juga kepada semua makhluk:
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang menahan diri daripada meminta (mereka yang tidak mempunyai kuasa bercakap). - Al-Dzaariyat, 51:19
Sebagaimana ia menjadi tanggungjawab orang Islam untuk mengekalkan maruah yang sedia ada pada manusia lain, adalah menjadi tugas mereka bagi memastikan kewibawaan sekitaran tidak dinodai. Beberapa ayat di dalam Quran menekankan pentingnya kita menghormati alam semulajadi. Ini boleh dilakukan apabila kita mengelak aktiviti-aktiviti membazir yang boleh menyebabkan kecederaan dan pencemaran alam sekitar.
Apabila Allah melantik manusia menjadi khalifahNya, dia memberi kita tanggungjawab untuk menjaga bumi. Pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar merupakan sebahagian tugas itu, kerana makhluk lain tidak boleh melaksanakannya. Tugas ini merangkumi pengawasan dan penjagaan: menggunakan kebijaksanaan kita untuk mengurus, mengekalkan dan melindungi alam sekitar.
Sebagai ganjaran untuk melaksanakan tugas-tugas dengan baik, Allah menyediakan bumi serupa satu 'tempat berehat', satu tempat perlindungan di mana manusia dapat pulih dan merehatkan badannya:
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). - Al-Baqarah 2:21-22
Segala rahmat yang diberikan Allah kepada kita ada tujuannya. Walaupun dalam apa bentuk sekalipun - wang, kekayaan, masa, kemahiran atau sebagainya, manusia digalakkan menikmati kurniaan Tuhan juga mengingatkan supaya kita melaburkan sedikit pemberianNya untuk kehidupan di akhirat.
Nilai hidup yang sebenar bukan bergantung pada apa yang kita punyai atau miliki. Nilai yang sejati terdapat pada cara kita menggunakannya. Dan apabila kita menggunakannya untuk berkhidmat ke jalanNya, Tuhan akan memberkati hidup kita, Insya Allah.
Sumber :http://cyberita.asia1.com.sg/
Tangan yg memberi lebih baik drpd yg menerima..
BalasPadam