Selasa, 6 April 2010

Sekolah Bebas H1N1

Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff

KUANTAN - Belum ada sebarang kes melibatkan pandemik Influenza A (H1N1) di sekolah seluruh negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, walaupun tiada sebarang kes melibatkan pelajar di negeri ini, pihaknya tetap berjaga-jaga untuk menangani virus maut itu.

Menurutnya, JPN akan mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah di negeri ini bermula hari ini (semalam) untuk melaksanakan segala langkah berjaga-jaga seperti ketika virus itu rancak melanda di negara ini.

“Segala prosedur kesihatan seperti pelajar perlu bersihkan tangan terutama yang tinggal di asrama kerana mereka berisiko dapat jangkitan itu.

“Bagi sekolah harian, pelajar dan pihak pengurusan sekolah perlu berhati-hati dan memastikan segala prosedur dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pelajar di sekolah harian juga terdedah orang ramai, selain berulang-alik ke sekolah.

Katanya, pihak sekolah perlu menyediakan pembasmi kuman selain memastikan pelajar mengalami gejala virus itu seperti demam, tidak dibenarkan datang ke sekolah.

Ditanya aktiviti luar dan kokurikulum pelajar dan guru di sekolah, Abdul Aziz berkata, segala aktiviti akan dikurangkan dan perlu mengikut prosedur.

“Sebarang program melibatkan pelajar atau orang ramai dari luar negeri ini, perlu menjalani saringan.

“Kita akan saring mereka menerusi alat pengukur suhu badan, selain jabatan sendiri mengenal pasti negeri lain yang terdedah dengan virus ini sebelum terbabit sebarang aktiviti,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan