AKHIRNYA, sudah terang lagi bersuluh bahawa Universiti Malaya sekarang memang mengutamakan bahasa Inggeris (BI) seperti yang telah disiarkan pada 28 Februari lalu sebagai maklum balas terhadap tulisan pada 19 dan 22 Februari dalam ruangan ini.
Ini bererti secara langsung menyampaikan isyarat jelas bahawa bahasa Melayu (BM) sudah dipinggirkan dalam hasrat Naib Canselor mahu melihat UM diiktiraf dunia.
Saya ingin menyentuh perihal 'ubah minda anda' yang ditekankan banyak kali oleh Naib Canselor bersama-sama seorang pelajar TESL yang tampil sukarela bercakap dalam sesi taklimatnya pada 14 Februari lalu.
Bagi kami para khalayak yang mendengar dari mula sampai akhir, berdiam diri bukan tanda kami setuju malah tidak lebih kepada protes senyap terhadap cara pemikiran selekeh terhadap bahasa dan keperibadian bangsa sendiri.
Sebelum mahu pelajar berubah minda, ada baiknya Naib Canselor dan pelajar TESL itu cermin muka dan berubah minda terlebih dahulu. Usah keterlaluan mengangkat bahasa Inggeris seperti bahasa Melayu itu hanya layak masuk tong sampah sahaja.
Usah menggesa segala urusan di universiti termasuk bercakap sesama sendiri semuanya harus dalam bahasa Inggeris. Usah ada pemikiran mengalahkan orang Inggeris sendiri!
Hakikatnya, minda yang memuja bahasa Inggeris itulah mesti berubah terlebih dahulu.
Alangkah bahaya jika menganggap ciri budaya orang asing itu begitu suci manakala ciri budaya dan bahasa sendiri dipandang keji.
Jika begitu halnya, mana perginya terjemahan semangat 'Keluhuran Perlembagaan' yang terkandung dalam Rukun Negara?
Apa guna Perkara 152 dalam Perlembagaan jika UM sebagai mercu gading tersohor dan hebat meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tanah airnya sendiri?
SISWA HARAPAN
Universiti Malaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan