GAGASAN 1Malaysia itu, sesungguhnya satu cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak yang jauh merentasi zaman. Gagasan itu berada di hadapan gagasan dan wawasan terdahulu mengadunkan Wawasan 2020, masyarakat Islam Hadhari dan konsep negara cemerlang, gemilang dan terbilang. 1Malaysia boleh bertahan seberapa lama selagi rakyat menghayati prinsip-prinsipnya. Memang benar apabila Najib mengatakan gagasan itu suatu kesinambungan dari perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan. 1Malaysia tegak bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati sepenuhnya.
Soalnya apakah seluruh lapisan rakyat memahami dan menghayatinya? Apakah setiap peringkat kepemimpinan baik politik mahupun organisasi swasta, awam dan sosial berpegang teguh dan sedia mempertahankannya? Permainan politik corak baru dan gangguan dari kesuburan rimba perkauman, cauvinisme dan penolakan tonggak-tonggak kenegaraan oleh golongan tertentu sekarang kian menjadi ancaman.
Apakah makna penerimaan itu, jika tidak mengenai perihal perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus dan terbuka.
Bagaimanakah penerimaan hakikat sejarah dan kepelbagaian kita? Sejarah Malaysia sejak ribuan tahun adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing atau setelah diganggu pemerintahan kolonial. Jika Indonesia dengan pengaruh Belanda, maka Malaysia dengan Inggeris. Kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.
Rantau ini sejak zaman-berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masihi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland/paterland) terletak di situ.
Fenomena terkemudian dapat dianalogikan sebagai sebuah rumah besar yang menerima kedatangan 'tetamu' yang kini telah memilih hidup bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di Malaysia, penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap merai, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk 'rakan-rakan' baru tadi. Jika realiti ini dihayati, maka rakyat akan lebih memahami makna 'orang memberi kita menerima, orang berbudi kita berbahasa'. Tanggapan dan penerimaan tidak menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.
Rakyat asal Malaysia sedia berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Malaysia selama ini sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau pribumi secara adil sesuai dengan aspirasi perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina dan India. Kini mereka sudah berstatus warga Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua demi mencapai matlamat perpaduan. Kita harus menerima hakikat golongan manakah yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan!.
Lihat bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Bajau, Melanau, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula tentu perlu dicari bagaimana membina 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian' tadi.
Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di Malaysia, keturunan Cina dan India mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama, kepercayaan, warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat universal akan dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina atau India boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.
Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya kaum itu sudah terserap ke dalam kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia sudah lama terdapat di Sabah. Soalnya, bagaimana masing-masing saling mengenali dan memahami!.
Di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Tuhan. Justeru itulah agaknya, umat Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Prinsip penerimaan dalam 1Malaysia tidak lari dari ketentuan Islam.
Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati pasti akan memperkukuh konsep perpaduan dan kesatuan negara. 1Malaysia, diibaratkan sebatang sungai besar, maka akan ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya sehingga ke muara. 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua. Jadi, jangan jadikan ia diterjemah dalam konteks bersimpang siur. Pegang sistem pemerintahan yang satu, dipayungi perlembagaan yang satu. Bukankah Malaysia itu tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal berlandaskan kontrak sosial?.
Setiap perkara sudah terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Itu prinsip utama. Parti-parti politik manapun yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan mesti dijunjung. Rakyat Malaysia perlu memahaminya benar-benar.
Konsep dan falsafah 1Malaysia dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa kecintaan negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa, bukannya 'kaki di sini, akal di sana'.
Datuk A. Aziz Deraman ialah bekas Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989/Ketua Pengarah DBP 1994-2004 dan AJK GAPENA
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan