Oleh Dr Kamal Jit Singh
Andaian, peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan hingga dianggap sebagai kebenaran
PERNAHKAH anda terfikir bagaimana saiz landasan kereta api moden dihasilkan? Jika anda bertanyakan mengenai perkara itu, anda perlu melihatnya jauh ke belakang. Anda akan mendapati jurutera British pada zaman itu mengikut saiz sedia ada kerana cuma ada satu-satunya alat yang digunakan bagi mengeluarkan landasan pada saiz berkenaan yang mudah diperoleh ketika itu.
Bahan yang digunakan bagi menghasilkan landasan itu sememangnya sudah sedia ada dan bersesuaian pula dengan keadaan jalan di Britain pada waktu itu dan ia seterusnya menjadi standard yang diguna pakai hingga kini.
Landasan kereta api itu dibina mengikut jajaran jalan di Britain yang juga berasaskan kepada laluan tayar kereta kuda zaman Rom yang dibina hampir 2,000 tahun lalu. Agak memalukan apabila kita menyedari bahawa bentuk landasan kereta api moden yang dibuat ketika ini tidak pernah berubah sejak 2,000 tahun lampau.
Sama seperti papan kekunci ‘Qwerty’ yang kita gunakan pada setiap komputer hari ini. Pereka cipta asal sistem papan kekunci itu yang digunakan pada mesin taip itu dilihat mungkin sengaja mengguna pakai sistem itu bagi melambatkan tindakan menaip abjad.
Apakah penyelesaian terbaik kepada perkara itu adalah untuk mencampuradukkan abjad sehingga orang berasa lebih sukar untuk menaip dengan cepat? Namun, hampir 140 tahun kemudian, kita masih menggunakan papan kekunci Qwerty yang sama. Selepas belajar menggunakannya kita dapat menaip dengan lebih pantas.
Kenapa kita masih mereka cipta pesawat dengan mempunyai sayap, walaupun kita tahu sesebuah pesawat itu tidak memerlukan sayap untuk terbang? Kenapa kita mereka bentuk kereta dengan tayarnya yang mampu ke depan dan ke belakang saja? Di kebanyakan negara membangun pula, motosikal adalah satu-satunya kenderaan yang mampu dimiliki. Tetapi kenapa kita masih mereka bentuk kenderaan itu untuk kegunaan dua orang, sedangkan kita tahu seluruh keluarga patut menaikinya?
Kita nampaknya masih melakukan sesuatu berasaskan kepada andaian tertentu dan yakin bahawa kita sudah mengambilnya sebagai satu peraturan atau kebenaran yang tidak seharusnya disanggah. Andaian dan peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan kita dan terus menyamar sebagai kebenaran.
Kita seharusnya dapat memisahkan faktor andaian dan peraturan daripada fakta, dengan mempersoalkan setiap daripadanya yang selama ini kita mengambilnya secara membuta tuli bahawa ia satu kebenaran.
Setiap pereka cipta pesawat pada masa lalu bergantung kepada jadual serta data yang dikumpul oleh ahli kaji terbang sebelumnya. Bagaimanapun, pencipta kapal terbang pertama, Wright Bersaudara tidak mahu menerima semua data yang dikumpul sebelum ini, malah mempersoalkannya. Mereka mendapati data sedia ada dibuat berdasarkan kepada andaian dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar.
Ada banyak alasan mengapa kita harus mencabar peraturan dan andaian. Pertama, mereka mungkin benar pada saat mereka membuat kajian terhadap sesuatu maklumat yang mereka kumpul, tetapi maklumat itu tidak lagi dapat digunakan pakai pada hari ini.
Bangsa Rom purba percaya bahawa manusia tidak boleh berlari dalam jarak sebatu dalam masa kurang dari empat minit. Bagaimanapun, pada 1954 seorang penuntut jurusan perubatan Roger Bannister, yang tidak menyedari hal ini, berjaya memecah tembok itu dengan larian kurang empat minit pada satu acara olahraga di Oxford, England.
Anehnya selepas Bannister memecahkan ‘andaian’ itu, beberapa pelari lain dapat melakukan perkara sama beberapa minggu kemudian. Faktor andaian sebenarnya menyebabkan manusia keliru sehingga ia menjadi peraturan yang menghalang kemajuan.
Kedua, iaitu andaian atau peraturan yang didasarkan kepada kepercayaan tradisi dan budaya. Walaupun ada antaranya adalah amalan yang mengarut tetapi tetap diterima sebagai satu peraturan dan dianggap kebenaran.
Contohnya, ada suku kaum tertentu di Afrika melihat parut di muka dan kepala botak sebagai sangat menarik. Jika seorang gadis itu tidak sengaja membuat wajahnya mempunyai parut atau mencukur kepalanya botak, dia akan sukar mencari seorang teman hidup.
Budaya masyarakat lain pula mendapati seorang gadis yang kurus tidak menarik, berbanding yang berbadan besar – lebih besar tubuh seseorang gadis itu, maka lebih menarik dan menjadi idaman ramai lelaki. Andaian itu mungkin bersifat setempat atau wilayah, tetapi tidak bersifat sejagat.
Ketiga, mentaliti mudah percaya dengan sesuatu idea walaupun banyak menimbulkan kekeliruan, tetapi pada masa sama orang masih percaya. Walaupun selepas beberapa generasi andaian itu masih diterima, seperti suatu ketika dulu ramai orang percaya dengan andaian bahawa bumi adalah mendatar dan bukan bulat.
Dalam contoh lain, ahli astronomi sebelum ini menerima andaian bahawa matahari dan planet di cakerawala berputar mengelilingi bumi. Namun, seorang ahli sains berbangsa Poland, Nicolas Copernicus menidakkan andaian itu dan menyatakan bahawa matahari sebenarnya yang berada di pusat cakerawala dan bumi yang mengelilinginya. Malangnya, Copernicus meninggal dunia sebelum penemuannya diterima di seluruh dunia.
Apakah andaian yang anda buat mengenai pelanggan anda, pasaran, pesaing dan sesuatu produk? Sejauh mana benar andaian itu. Adakah anda sudah mengujinya baru-baru ini? Seorang pereka cipta harus berani membebaskan dirinya daripada belenggu yang menahan mereka daripada melahirkan idea kreatif.
Peraturan dan andaian adalah penjara yang membuat kita terkunci pada keyakinan yang salah. Namun, ia memerlukan keberanian untuk mempersoalkan keyakinan kita.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan