KUCHING - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang dengan masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata, perkara itu antara perkara yang dibangkitkan Kementerian Kesihatan kerana ia sudah menjadi satu masalah yang amat serius kerana ia menunjukkan peningkatan.
“Ia menjadi isu kerana ia melibatkan anak kecil yang masih bersekolah tetapi gemuk kerana faktor pemakanan. Mereka banyak makan makanan ringan. Ini menyebabkan mereka tidak cergas dan tidak sihat...ini kena atasi,” katanya pada majlis Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Sarawak, di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerana itu dasar Satu Murid Satu Sukan perlu diusahakan bagi menarik penglibatan dalam bidang sukan.
“Selain pendidikan formal dan akademik, aktiviti kokurikulum juga perlu diberikan perhatian. Sukan dah lama menjadi aktiviti kokurikulum. Tetapi kita harus lebih kreatif untuk pelajar lebih terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kualiti pendidikan di negara ini perlu ditingkatkan dan dimantapkan lagi bagi memastikan sistem pendidikan di negara ini betul-betul mampu melahirkan modal insan yang mampu memacu negara mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020.
“Guru adalah barisan hadapan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti. Tuntutan yang agak berat tetapi kita harus pikul tanggungjawab ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan walaupun ia belum mencukupi.
“Pimpinan negara melihat perkara ini perlu diberi perhatian. Ini kerana dunia kini menjadi satu perkampungan global dengan teknologi maklumat merentasi dunia,” katanya.
Katanya, kementerian turut memperkenalkan Program Penambahbaikan Sekolah kerana memberikan hasil baik kerana sekolah tahu kedudukan mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan