Oleh Helmy Abd Rahman
HAMPIR 40,000 peluang pekerjaan mampu diwujudkan menerusi 21
projek baru bernilai RM20.46 bilion di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Semua 21 projek terbabit terletak di bawah NKEA pertanian,
perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, jualan borong dan
runcit, elektrik dan elektronik dan Greater KL/Lembah Klang.
Perdana Menteri berkata, semua projek terbabit dijangka akan
meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.6 bilion.
“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita berkembang pada
kadar 4.7 peratus pada suku pertama tahun ini, mengatasi konsensur umum. Rakyat
Malaysia perlu ingat bahawa bahawa ETP (Program Transformasi Ekonomi) masih
jauh untuk dicapai.
“Keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu dan lebih-lebih
lagi sekarang, kita harus terus berada pada landasan kita dan memberikan
tumpuan kepada enjin pertumbuhan utama dalam ekonomi dan terus berdaya saing di
peringkat global,” katanya pada taklimat pengemaskinian ETP bagi tahun ini di
Subang Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian
(Pemandu) menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum taklimat itu, memberitahu
pelaburan yang diperuntukkan bagi NKEA Pertanian berjumlah RM456.69 juta dan
akan menyumbang kira-kira RM367.58 juta kepada PNK dan mewujudkan 2,539
pekerjaan menjelang 2020.
NKEA Perkhidmatan Perniagaan mendapat peruntukan pelaburan
RM2.40 bilion dan akan menyumbang RM1.41 bilion kepada PNK serta mewujudkan
pekerjaan bagi 10,909 orang menjelang 2020.
Menurut Pemandu lagi, NKEA Jualan Borong dan Runcit pula
mendapat peruntukan pelaburan berjumlah RM466.8 juta yang dijangka memberi
sumbangan sebanyak RM1.1 bilion kepada PNK dan mewujudkan 16,363 pekerjaan.
Bagi NKEA Penjagaan Kesihatan, sebanyak RM107.14 juta
pelaburan diperuntukkan yang mampu menyumbang RM238.06 juta kepada PNK dan
menyediakan pekerjaan bagi 3,735 orang menjelang 2020.
Pemandu juga berkata, NKEA Pendidikan bakal menyaksikan
komitmen pelaburan sebanyak RM535.58 juta dan menyumbang sejumlah RM146.39 juta
kepada PNK di samping mewujudkan 660 pekerjaan.
NKEA Elektrik dan Elektronik pula akan mendapat pelaburan
berjumlah RM4 bilion dan mewujudkan 1,000 pekerjaan menjelang 2020. Daripada
jumlah berkenaan, 400 adalah pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan