Isnin, 28 Mei 2012

ISU SOSIAL : Tiru wajah artis Korea


Oleh Rohaniza Idris dan Bennie Zie Fauzi

Fenomena K-Pop pengaruh peminat serah muka kepada pakar bedah plastik untuk tampil persis idola

DEMAM K-Pop yang melanda dunia sejak lima tahun lalu bukan hanya terhad kepada genre muzik pop, tarian, elektropop, hip hop, rock, R&B dan muzik elektronik berasal di Korea Selatan semata-mata - malah lebih dari itu. Fenomena itu berkembang menjadi cabang kebudayaan yang popular di kalangan remaja dan orang muda di seluruh dunia termasuk fesyen, tata rias dan gaya hidup.

Tidak ketinggalan budaya mencantikkan diri ala K-Pop yang kini menjadi aliran semasa di kebanyakan negara dalam lingkaran Asia Pasifik seperti China, Hong Kong, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam termasuk Malaysia.

Apabila membicarakan mengenai kecantikan, budaya K-Pop tidak boleh lari daripada pembedahan kosmetik dan estetik yang semakin mendapat sambutan ramai sama ada di kalangan lelaki atau wanita. Malah, Korea menjadi negara kelapan daripada 25 negara di dunia dicatatkan pada 2010 menjalankan prosedur pembedahan kosmetik paling banyak iaitu 361,988 sesi.

Statistik itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 10 tahun lalu yang mana Korea tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara yang paling banyak menjalankan prosedur pembedahan kosmetik.

Persoalannya, apakah wajah dan tubuh ‘sempurna’ yang ada pada artis Korea? Menurut Pakar Pembedahan Kosmetik, Dr M Nasir Zahari, pada asasnya majoriti orang Korea mempunyai wajah unik yang biasa di kalangan orang Asia seperti mempunyai satu lapisan kelopak mata, tulang pipi yang tinggi kelihatan seperti menonjol dan rahang yang besar manakala hidung mereka pesek.

Dr M Nasir berkata, dengan wajah sebegitu, orang Korea berpandangan mereka nampak garang atau kelihatan hodoh yang mana boleh menyebabkan hilang keyakinan diri. Manakala untuk artis di sana, mereka merasakan wajah sedemikian tidak sesuai untuk dikomersialkan jika mahu terbabit dalam industri hiburan.

Justeru, beliau berkata, ramai yang mahu menukar rupa wajah dengan melakukan pembedahan kosmetik atau rawatan estetik dengan melakukan pembedahan pada kelopak mata supaya ia nampak berganda dan memancungkan hidung sama ada pembedahan plastik atau menambah likatan atau pengisi (filler) serta implan silikon.

“Untuk pipi yang kelihatan terlalu menonjol, biasanya orang Korea melakukan prosedur membentuk semula struktur pipi dengan menipiskan tulang pipi.

“Manakala rahang yang kuat atau besar itu dibentuk semula melalui pembedahan plastik atau bagi menampakkan dagu yang lebih runcing mereka menggunakan filler atau implan silikon.

“Semua pembedahan ini banyak dilakukan artis mereka kerana percaya wajah komersial mirip artis Hollywood lebih mudah diterima dan dianggap mempunyai wajah ‘sempurna’ yang boleh memberikan keyakinan serta lebih popular,” katanya.

Aliran yang dilakukan artis Korea kemudiannya merebak menjadi satu budaya baru kepada masyarakat umum di negara itu di mana pada usia semuda 14 tahun, ada yang sudah mendapatkan rawatan estetik atau melakukan pembedahan kosmetik membentuk wajah.

Malah, dikatakan pembedahan kosmetik sentiasa dinantikan setiap remaja Korea sebagai hadiah ulang tahun mahupun habuan selepas tamat sekolah tinggi mahupun universiti.

Pengaruh artis K-Pop di seluruh dunia juga menyebabkan industri estetik dan pembedahan kosmetik mahu pun plastik di Korea menjadi lebih rancak begitu juga sektor pelancongan.

Pelancong yang masuk ke negara itu bukan hanya melancong melawat tempat menarik di sana kerana terpesona dengan keindahannya saja tetapi melawat negara itu kerana terpikat dengan keindahan tempat yang pernah menjadi lokasi dalam filem, drama mahu pun klip video.

Pada masa sama, peminat fanatik K-Pop juga melancong ke Korea kerana mahu menjalani pembedahan kosmetik dan rawatan estetik.

Dilaporkan pelancong dari China paling ramai mendapatkan rawatan estetik dan pembedahan kosmetik di Korea, yang mana kebanyakannya menjalankan pembedahan menambah kelopak mata, membetulkan rahang dan tulang pipi selain pembedahan membuang lemak di perut seperti artis K-Pop pujaan mereka.

Pertambahan klinik dan pakar pembedahan plastik yang kini mencecah 1,700 orang juga dikatakan menjadikan industri itu semakin agresif dalam cubaan menarik pelanggan baru. Pelbagai pakej menarik termasuk penginapan bertaraf lima bintang serta layanan VIP ditawarkan manakala kemudahan dan perkhidmatan di klinik juga ditingkatkan.

Malah, dilaporkan ada klinik yang menjemput pesakit dari lapangan terbang dengan limosin manakala kakitangan klinik dilatih fasih berbahasa Inggeris, China, Jepun, Vietnam atau Mongolia.

Selain Korea Selatan, beberapa negara Asia turut ghairah menawarkan rawatan dan pembedahan yang sama kepada pelanggan yang mahu kelihatan seperti artis pujaan K-Pop mereka. Selain China dan Jepun, Thailand dan Singapura juga menawarkan perkhidmatan yang sama.

Bagaimana dengan Malaysia? Dr M Nasir yang juga Pengarah Perunding Perubatan Pembedahan Plastik, Pembentukan Semula dan Pembedahan Kosmetik Beverly Wilshire berkata, pengaruh K-POP tidak begitu mempengaruhi orang Malaysia untuk melakukan pembedahan kosmetik supaya kelihatan seperti artis Korea.

Namun, beliau berkata, pengaruh industri rawatan estetik dan pembedahan kosmetik di Korea Selatan secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat Malaysia untuk kelihatan lebih cantik dan menitik beratkan soal penampilan diri.

“Mengapa orang Malaysia tidak ghairah melakukan pembedahan kosmetik seperti orang Korea? Jawapannya kerana orang Malaysia percaya rupa mereka tidak ‘sehodoh’ orang Korea.

“Lagipun, dengan latar budaya dan agama masyarakat yang pelbagai di negara ini berbanding Korea yang ada satu bangsa dan agama itu, maka permintaan terhadap pembedahan kosmetik di sini sikit berbeza. Jika ada yang mahu kelihatan seperti artis Korea pun mereka tidak mahu melakukan terlalu drastik sampai terpaksa membetulkan tulang pipi dan rahang mahu pun hidung mereka.

“Orang Malaysia lebih suka rawatan estetik seperti pengambilan botox, filler, implan dan rawatan laser. Jumlah rawatan ini semakin mendapat sambutan. Lagi pun, kebanyakan orang Malaysia mempunyai hidung yang agak tinggi dan bentuk muka yang pelbagai, tidak nampak garang seperti orang Korea.

“Bagi orang Melayu mahupun India, biasanya mempunyai kelopak mata berlapis, jadi permintaan untuk pembedahan kosmetik di wajah tidak begitu menggalakkan,” katanya.

Dr M Nasir memberitahu kebanyakan pembedahan payu dara serta menggandakan kelopak mata dilakukan wanita Cina di negara ini manakala lelaki Malaysia paling ramai melakukan pembedahan membuang lemak di perut atau liposuction serta pembedahan payu dara.

“Berdasarkan pemerhatian, sejak 15 tahun lalu, saya dapati jumlah pelanggan lelaki yang mendapatkan rawatan estetik mahu pun pembedahan kosmetik semakin bertambah. Jika 10 tahun dulu bagi setiap 10 pesakit saya untuk dapat seorang pesakit lelaki sangat susah tetapi kini jumlahnya meningkat kepada dua pesakit bagi setiap 10 pesakit yang ada,” katanya.

 Ibu bapa galak anak remaja ubah wajah

STATISTIK dikeluarkan Persatuan Pembedahan Plastik dan Doktor Estetik Antarabangsa (ISAPS) menunjukkan penduduk Asia paling banyak melakukan pembedahan plastik pada 2010 dengan 5.8 juta prosedur yang dilakukan 9,512 pakar bedah.

Daripada jumlah itu, China menjadi negara Asia yang paling banyak menjalankan pembedahan plastik iaitu 588,880 kes diikuti Jepun (588,880 kes), India (553,420 kes) dan Korea Selatan (361,988 kes).

China berada di tangga ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil dalam senarai 25 negara yang dicatatkan dalam laporan ISAPS itu. Manakala Jepun tempat keempat diikuti India (kelima) dan Korea Selatan (kelapan) selepas Itali (keenam) dan Mexico (ketujuh), Perancis (ke-9) dan Columbia (ke-10).

Daripada statistik itu, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 25 negara kerana jumlah pembedahan plastik yang dikendalikan tidak banyak selain jumlah doktor pakar dalam bidang itu kurang. Namun, di Asia Tenggara, Malaysia dicatatkan sebagai negara ketiga selepas Thailand dan Singapura yang paling banyak melakukan prosedur pembedahan plastik.

Menyentuh mengenai Korea Selatan, 10 tahun lalu negara itu tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara paling banyak melakukan pembedahan plastik. Korea mula masuk dalam senarai 10 negara terbabit sejak tiga tahun lalu.

Data dikeluarkan di Korea menunjukkan keseluruhan rawatan perubatan yang dibelanjakan oleh pelancong asing di negara itu bernilai AS$116 juta (RM348 juta) tahun lalu. Sebanyak 14 peratus daripada mereka menjalani pembedahan kosmetik atau rawatan kulit seperti botox.

Pembedahan yang mendapat sambutan di kalangan pelancong adalah pembedahan hidung, menegangkan muka, pembedahan rahang atau membuang lemak di perut.

Sementara itu, data tinjauan sebuah laman web e-Seoul, mendapati 41.4 peratus remaja di Korea sedia menjalani pembedahan kosmetik untuk cantik.

Malah, pelajar sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar perempuan, mengakui mereka mahu melakukan pembedahan membetulkan wajah mereka.

"Dulu kebanyakan pelanggan klinik ini adalah pelajar sekolah tinggi tetapi kini trend berubah kerana lebih ramai pelajar sekolah menengah yang berumur 15 hingga 16 lebih mendapatkan perkhidmatan kami," kata Pengurus Kosmetik sebuah klinik estetik di Apgujeong-dong, selatan Seoul.

Ketua Pakar Bedah Klinik Pembedahan Plastik BK Dongyang di Nonhyeon-dong, selatan Seoul, Lee Seung-hwan pula berkata, klinik itu menerima banyak pelanggan remaja sejak kebelakangan ini.

“Berbanding 2007, peratusan pelanggan remaja semakin meningkat pada 2010. Ini jelas menunjukkan semakin ramai pelajar seawal usia 14 tahun sudah bersedia menjalani pembedahan kosmetiK,” katanya.

Seorang pelajar perempuan di sekolah tinggi di Korea yang mahu dikenali sebagai Lee, berkata beliau tidak yakin dengan penampilannya kerana mempunyai mata yang kecil lalu sentiasa merasa rendah diri.

"Ibu saya berjanji akan membenarkan saya melakukan pembedahan membetulkan kelopak mata jika berjaya dalam peperiksaan pertengahan tahun,” katanya.

Selepas menerima pembedahan kosmetik bagi menggandakan kelopak matanya, ketika cuti musim sejuk pada tahun kedua di sekolah tinggi, Lee berkata dia mendapat lebih keyakinan.

Menjadi aliran baru di Korea, pembedahan kosmetik untuk mencantikkan wajah bukanlah satu perkara yang memalukan sebaliknya digalakkan. Malah, pelajar yang mempunyai ciri-ciri menarik hasil pembedahan plastik akan menjadi lebih popular di sekolah.

Trend pembedahan plastik di Korea banyak dipengaruhi populariti kumpulan artis remaja tempatan seperti gadis kumpulan LGP yang mengakui dalam satu wawancara rancangan TV bahawa mereka pernah menjalani lebih 27 pembedahan plastik.

Ibu bapa juga mempunyai pengaruh yang kuat kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan pembedahan plastik.

Seorang pelajar perempuan dikenali sebagai Kim, mendapat pembedahan menggandakan kelopak mata pada usia 15 tahun atas cadangan ibunya.

"Ibu saya sebenarnya cukup positif mengenai pembedahan plastik dan memberitahu pembedahan itu akan menjadikan saya lebih yakin memasuki sekolah menengah,” katanya.

Satu tinjauan dijalankan jenama penjagaan diri DOVE pada 250 reponden di seluruh Korea, mendapati satu daripada empat ibu mencadangkan anak remaja mereka mendapatkan pembedahan plastik.

"Media massa dan internet mempunyai impak yang besar kepada pelajar. Golongan ini paling banyak terdedah kepada televisyen dan konsep ‘diskriminasi atau prasangka berdasarkan penampilan peribadi’ sudah ditanam dalam diri mereka sejak kecil," kata pakar pembedahan plastik di Wonjin Plastic Surgery, Dr Park Won-jin.

Dr Park berkata, bilangan puncak pesakit pelajar semasa musim cuti sekolah pada Disember dan Januari meningkat lima hingga 10 peratus daripada hari-hari biasa.

Pembedahan menggandakan kelopak mata adalah prosedur yang paling popular di kalangan pelajar kerana berisiko rendah. Manakala pembedahan membetulkan hidung mahu pun tulang rahang dan pipi tidak digalakkan kerana ia mungkin memberi kesan sampingan yang berbahaya.

Park berkata jika pembedahan plastik dilakukan ke atas tulang muda, ia boleh mencetuskan masalah di masa depan dan mungkin memerlukan pembedahan lain bagi membetulkannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan