Khamis, 28 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Perjalanan insan, proses kefahaman


Oleh : Prof  Dr Sidek Baba

FAHAM atau tafahum dalam bahasa Arab memberi konotasi yang amat penting dalam proses mengetahui. Ini adalah asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tahu tetapi tidak faham ibarat orang buta dengan gajah. Tahu dan ibarat orang celik yang melihat dan tahu akan sesuatu.

Proses faham adalah proses pembelajaran. Teori pembelajaran menyatakan jika proses faham tidak terjadi terhadap insan, pembelajaran belum berlaku. Ia terjadi apabila seseorang yang ingin tahu sesuatu, dapat memahami faktor zahiri dan faktor batininya.

Gunung-ganang yang terpacak di muka bumi dilihat secara geografikal sifatnya dan juga dari jendela al-Quran. Ini dikaitkan dengan awtad iaitu pasak bumi bagi keseimbangan terhadap bumi. Fahaman keseimbangan ini berkaitan manusia yang memberi bimbingan terhadap insan lain.

Fahaman insan mengenai cemerlang dihubungkan dengan kejayaan yang sifatnya kongnitif atau akal fikir; dan kaitannya dengan cemerlang dalam akhlak dan pekerti. Faham juga dikaitkan dengan konsep maju - wujudnya lambang fizikal melalui hasil teknologi dan kualiti diri insan. Sifat insan seperti amanah, adil, ikhlas, tulus dan telus disandarkan kepada ALLAH SWT.

Dari situ, lahir sifat ihsan yang tinggi terhadap insan, seterusnya membimbingnya menjadi hampir dengan ALLAH (taqarrub iLallah). Kedekatan diri dengan ALLAH menyebabkan rasa ketuhanan yang tinggi (God-conciousness) terjadi. Kedudukan ini menjadi asas penting untuk menerima petunjuk ALLAH dalam pencarian  untuk tahu dan faham.

Selalunya insan membina konsep faham hingga membentuk suatu fahaman (ideologi) berasaskan rujukan fikir tanpa zikir. Rasional dan logik akan menjadi sandaran hasil pemerhatian, kajian zahiri dan juga persepsi.

Fahaman dalam tradisi Islam mengembalikan manusia kepada fitrah diri. Diri ini tidaklah segala-gala melainkan hanya milik ALLAH. Jika kefahaman hanya bergantung kepada akal, maka pancaindera dan pengalaman masih berada dalam lapisan ilmu dan pengetahuan yang terbatas.

Sebaliknya memahami akan sesuatu mengambil timbangan akliah dan naqliah (wahyu) ia menjadikan kefahaman lebih bermakna kerana insan berbicara mengenai sumber kejadian dan mengkaji hikmah terhadap sumber kejadian.

Contohnya, air itu secara saintifiknya tidak hanya difahami gabungan elemen hidrogen dan oksigen di dalamnya. Tetapi sifat air yang melembutkan tanah, menyuburkan pokok, membersihkan kotoran dan menjadi sumber hidupnya manusia dan haiwan. Al-Quran memberikan asas air itu adalah sumber kehidupan. Sekiranya air didekati secara saintifik ia memberi insan mengenai maksud apa itu air.

Menghubungkan air sebagai mengapa, berkaitan sumber ciptaan ALLAH yang memberi kemaslahatan manusia dan kehidupan yang lain. Ini disebabkan kedekatan insan dengan Khaliq.

Begitu juga jasad insan adalah ciptaan ALLAH. Dengan kekuatan roh yang sifatnya ghaib memberi sumber kehidupan kepada insan. Diberikan akal mampu berfikir dan hati mampu merasa. Dan diberikan daya menyebabkan amal terjadi. Tanpa roh segala-galanya tidak memiliki upaya dan insan menjadi mati dan kaku.

Faham sesuatu dan binaan fahaman itu berasaskan kekuatan akliah dan disandarkan kepada petunjuk ALLAH terhadap manusia, yang membina kefahaman secara lebih menyeluruh. Apa yang tercipta dalam alam dan kehidupan ini memiliki talian yang rapat dengan Pencipta. Daripada-Nya insan boleh berfikir. Pemikiran insan berkembang dan diperluaskan lagi bahawa sesuatu terjadi dengan kudrat-Nya dan bermanfaat akan sesuatu dengan hikmah-Nya.

Insan menjadi lebih tahu dan faham apabila faktor yang nyata dan ghaib dikaitkan. Daripadanya, akan lahir tasawur atau pandangan semesta yang sifatnya dalam kesatuan. Ia tidak terpecah hanya dengan pandangan yang sifatnya duniawi (sekular) tetapi berkembang dalam batas Rabbani yang membawa kepada maksud hakiki akan sesuatu kejadian.

Dijadikan insan untuk memanfaatkan segala sumber yang ada di muka bumi. ALLAH menjadikan setiap sumber yang tercipta sebagai amanah untuk menyejahterakan insan dan alam ini. Status insan sebagai hamba cuba melakukan yang terbaik berhubung ibadah supaya asas patuh, taat, akur dan tunduk wujud pada dirinya.

Sebagai khalifah melakukan yang terbaik adalah suatu taklif atau tanggungjawab yang murni supaya antara hamba dan khalifah terhubung kedudukan dan peranan. Dengan memahami hakikat kewujudannya di dunia, insan menjadi insaf akan jalan kembalinya menemui ALLAH dengan jiwa soleh dan solehah yang tinggi. Inilah puncak kefahaman terhadap kehadiran insan di dunia dan kembalinya bertemu ALLAH nanti.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan