Oleh ROHAMI SHAFIE
TUNTUTAN dunia sekarang mengubah manusia lebih bersikap
materialistik. Mengejar wang ringgit demi untuk menjalani kehidupan selesa yang
sudah tentulah lebih ke arah keselesaan berbentuk materialistik jua. Maka,
sesuatu yang tidak mengejutkan apabila adanya kajian yang menunjukkan golongan
pekerja kita lebih mementingkan gaji berbanding mengutamakan kepuasan bekerja.
Justeru, tidak menghairankan, sering kali kita mendengar
pekerja yang sanggup bekerja sampingan demi wang ringgit berbanding melakukan
kerja hakiki dengan sepenuh hati. Mereka sanggup berebut-rebut sesama sendiri
sebarang kerja sampingan berbanding kerja hakiki mereka yang sememangnya
dibayar secara bulanan.
Bagi mereka, apalah gunanya bekerja lebih bagi tugas hakiki
sedangkan gaji sama sahaja dibayar. Lebih elok bekerja lebih untuk
perkara-perkara lain yang bukannya tugas hakiki mereka. Kononnya, dengan cara
ini mereka bijak menggunakan peluang sedia ada dengan memerah keringat untuk
tugasan berbayar, walhal tugasan tersebut bukanlah hakiki.
Ini antara contoh pemikiran materialistik di kalangan
pekerja kita. Maka, tinggallah kerja-kerja hakiki tersebut untuk golongan yang
tidak mahu berebut kerja berbayar demi mencapai kepuasan bekerja. Malangnya,
golongan ini tidak ramai, yang ramai golongan yang menolak kerja-kerja
sedemikian rupa.
Apabila dikaitkan dengan materialistik, kita tidak boleh
lari daripada bercakap mengenai pentingkan diri sendiri. Justeru, kita boleh
lihat betapa banyaknya syarikat di negara-negara barat yang muflis sejak sekian
lama dek kerana antara faktor utamanya membudayakan cara kerja yang
materialistik dan mementingkan diri sendiri.
Sebab itulah Islam mengajar agar kita bekerja dengan ikhlas
dan tidak mengharapkan wang ringgit semata-mata. Yang penting gaji yang
diperoleh diberkati oleh Allah SWT meskipun memperoleh pendapatan yang rendah.
Keberkatan pendapatan boleh diperluaskan kepada keuntungan
syarikat mahupun pendapatan negara. Tidak akan bertahan lama bagi sesuatu
perniagaan yang menjalankan peniagaan dengan cara yang salah umpamanya menipu,
menyeleweng dan mengamalkan rasuah.
Mana mungkin sesebuah syarikat mampu mencatatkan keuntungan
secara mapan jika sekiranya operasi hariannya penuh dengan tipu muslihat dan
cara yang salah bagi memperoleh keuntungan.
Yang peliknya, meskipun diajar oleh Islam agar menjalankan
perniagaan secara betul dan tidak menindas sesiapa sahaja terutamanya
pelanggan, masih ramai peniaga meneruskan perniagaan dengan cara yang tidak
betul.
Mereka sewenang-wenangnya menipu pelanggan dengan menaikkan
harga, mereka juga tidak ambil peduli kebajikan para pekerja dan tidak kurang
juga ada majikan yang sanggup menjalankan perniagaan haram secara berselindung
di sebalik perniagaan halal.
Matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan berlipat kali
ganda mesti dicapai dengan cara apa sekalipun. Jika beginilah yang dilakukan,
mana mungkin keuntungan tersebut memperoleh keberkatan Allah SWT. Mungkin
syarikat-syarikat tersebut mampu untuk mencatatkan keuntungan dalam jangka masa
pendek tetapi percayalah satu hari nanti perniagaan tersebut tidak mampu
bertahan lama.
Tidak kurang juga, konsep keberkatan pendapatan amat penting
bagi sesebuah kerajaan. Wang cukai mahupun wang zakat ataupun hasil bukan cukai
yang diperoleh daripada rakyat perlu digunakan sebaik mungkin. Sebaik mungkin
bermaksud ia digunakan untuk kebaikan rakyat dan negara tanpa adanya sebarang
penipuan, penyelewengan dan pembaziran. Wang cukai dan zakat serta hasil bukan
cukai yang dikumpul oleh kerajaan perlu dikembalikan kepada rakyat dan negara.
Umpamanya, apabila kerajaan bercadang untuk memberikan
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua jika memperoleh tambahan kutipan
cukal daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), keputusan ini patut disokong
oleh semua pihak.
Tidak salah dalam pusingan kedua ini bagi mereka yang layak
dibayar dua kali ganda jumlahnya berbanding pusingan pertama iaitu sebanyak
RM1,000 jika sekiranya adanya lebihan wang kerajaan. Pembayaran boleh dibuat
sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban mereka yang
berpendapatan rendah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Di samping itu, bantuan tersebut merupakan strategi
serampang dua mata bagi merangsang ekonomi negara ketika kesan krisis hutang
Eropah dijangka akan dirasai oleh negara kita pada suku ketiga tahun ini.
Bagi yang membayar cukai, tidak perlulah mengeluh. Ini
sebagai tanda sokongan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekali
lagi, tidak perlulah terlalu pentingkan diri sendiri dan berasakan kejayaan
mengumpul kekayaan tersebut hanya atas usaha diri sendiri kononnya tidak
menerima sebarang bantuan daripada orang lain.
Percayalah, tiada seorang pun golongan kaya-raya di muka
bumi ini yang boleh mendabik dada bahawa kekayaan yang dikumpul oleh mereka
atas usaha diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Sikap sombong sebeginilah
yang menyebabkan pendapatan yang diperoleh masih tidak mencukupi meskipun cukup
besar bagi orang lain. Dengan kata lain tiada keberkatan atas harta kekayaan
yang dikumpul.
Justeru, Islam mengajar umatnya bersyukur atas pendapatan
yang diperoleh dan kembalikan sebahagiannya untuk orang lain yang memerlukan.
Buang sikap bakhil tidak bertempat kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri.
Dengan kitaran sebegini akan membuahkan kemajuan ekonomi negara yang bukan
sahaja mapan tetapi yang paling utama diberkati oleh Allah SWT.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan
Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan
(IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) UUM
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan