SAMBUTAN Hari Koperasi kali ke-11 yang berlangsung penuh gilang-gemilang
semalam membuktikan satu lagi keprihatinan usaha kerajaan dalam meningkatkan
pendapatan dan kualiti hidup rakyat. Sejak gerakan koperasi bermula pada tahun
1922, ia telah melalui proses pasang surut yang adakalanya suka dan sebaliknya.
Namun di bawah kepimpinan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, nyata ada sinar yang
lebih gemilang sedang meniti. Usahanya untuk memartabatkan ekonomi rakyat
melalui penyertaan dalam koperasi semakin mendapat sambutan melalui pelbagai
program yang dijalankan secara tersusun.
Ketika diwawancara dalam suasana santai di sebuah hotel di Kuala Lumpur
oleh wartawan Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil, Hafizahril Hamid dan Sarah
Nadlin Rohim, Ismail Sabri menyatakan telah banyak pembaharuan dilakukan oleh
kementeriannya untuk menarik penyertaan orang ramai . Melalui usaha berkoperasi
telah mampu menjana ekonomi mereka dan negara
seperti yang dilalui oleh penduduk di negara-negara maju.
Beliau juga mengakui bukan satu usaha yang mudah untuk membuang stigma lama
mengenai kegagalan dan penyelewengan dalam koperasi seperti yang berlaku
sebelum ini. Namun beliau percaya melalui pemantauan menyeluruh melalui
kementeriannya dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), tindakan proaktif bagi
memastikan penularan gejala tidak sihat ini dapat disekat daripada merebak di
dalam gerakan koperasi.
Dengan tema Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat, beliau berharap
koperasi mampu menjadi penyumbang berkesan kepada pembangunan negara menjelang
2020.
MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk Seri melihat tahap
perkembangan gerakan koperasi sekarang?
ISMAIL SABRI: Gerakan koperasi telah wujud di negara ini selama
90 tahun. Sepanjang tempoh tersebut kita boleh lihat peningkatan yang jelas
dalam bilangan koperasi yang telah didaftarkan, bilangan individu yang
menganggotai koperasi, modal dalaman yang dapat dikumpul, aset yang dimiliki
serta pendapatan yang telah dijana daripada pelbagai aktiviti perniagaan yang
telah dijalankan. Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini sahaja pun kita
dapat lihat pertumbuhan yang ketara. Bagi tempoh 2006 hingga 2011, bilangan
koperasi berkembang pada kadar purata 13.14 peratus setahun, bilangan anggota
tumbuh 3.8 peratus setahun, aset meningkat 20.08 peratus, modal bertambah 7.56
peratus setahun dan perolehan koperasi secara puratanya meningkat sebanyak 42.5
peratus.
Perkembangan semasa ini memberi petanda positif bahawa kesedaran dan
penerimaan masyarakat terhadap manfaat dan kebaikan menyertai koperasi semakin
meningkat. Di samping itu, koperasi sedia ada telah mula mengorak langkah untuk
menceburi aktiviti-aktiviti perniagaan yang lebih berpotensi, yang seiring
dengan bidang-bidang ekonomi utama yang sedang giat dibangunkan kerajaan. Saya
menaruh penuh keyakinan bahawa trend ini akan berterusan di tahun-tahun akan datang
terutamanya dengan kempen penggalakan penubuhan koperasi di setiap komuniti;
1Komuniti 1Koperasi (1K1K) oleh Kementerian serta segala inisiatif yang diambil
di bawah Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang mensasarkan gerakan koperasi
untuk menjadi penyumbang berkesan kepada pembangunan negara menjelang 2020.
Apakah benar bahawa daripada lebih 9,000 koperasi
yang berdaftar setakat ini dengan keanggotaan seramai 7 juta orang, hanya
sekitar 5 peratus yang aktif dan menyumbang kepada pendapatan negara?
ISMAIL SABRI : Kenyataan sebenarnya adalah sebaliknya hanya
sekitar 8 peratus daripada lebih 9,600 koperasi yang terdaftar setakat ini yang
tidak aktif manakala yang selebihnya menjalankan sekurang-kurangnya satu
aktiviti ekonomi untuk memenuhi keperluan anggotanya. Kita perlu sedar bahawa
koperasi adalah satu entiti sosio ekonomi yang sama sekali berbeza tujuan
penubuhannya daripada organisasi perniagaan yang lain. Berbanding dengan
syarikat, matlamat utama sesebuah koperasi bukan untuk memaksimumkan keuntungan
tetapi lebih mengutamakan penyediaan perkhidmatan yang diperlukan oleh
anggotanya. Kita juga harus faham bahawa koperasi juga wujud dalam pelbagai
bentuk, ada koperasi asas yang mana keanggotaannya hanya terdiri daripada
individu sahaja, ada koperasi menengah yang mana anggotanya adalah
koperasi-koperasi asas yang bergabung dan ada juga koperasi puncak seperti
ANGKASA. Kawasan operasi dan taburan anggota koperasi juga berbeza. Ada
koperasi contohnya koperasi di taman perumahan, yang mana anggota dan kegiatannya
hanya bertumpu di taman perumahan tersebut. Ada pula koperasi seperti Koperasi
Telekom Malaysia Berhad yang mana keanggotaan dan kawasan operasinya meliputi
seluruh negara.
Tidak kira siapa dan berapa anggotanya, apa aktiviti perniagaannya dan di mana
aktiviti perniagaannya dijalankan, setiap koperasi ini mempunyai sumbangannya
yang tersendiri terutamanya dalam peningkatan taraf sosio ekonomi anggotanya,
masyarakat di sekitarnya serta kepada pembangunan negara. Walaupun keuntungan
yang dijana oleh sesebuah koperasi itu mungkin tidak sebanyak mana dan dividen
yang dibayar tidak mencapai puluhan peratus, kedai runcit yang diuruskan
koperasi mungkin satu-satunya kemudahan yang ada untuk masyarakat setempat
mendapatkan bekalan keperluan harian mereka ataupun bantuan kebajikan yang
disalurkan oleh koperasi dalam saat-saat kesukaran tidak dapat diperoleh dari
mana-mana sumber lain. Kemudahan dan perkhidmatan ini mungkin jauh lebih tinggi
nilainya berbanding dividen yang diterima setahun sekali.
Walau bagaimanapun, koperasi juga perlu bergerak seiring dengan perubahan
di sekitarnya serta perlu sentiasa peka dengan arah aliran keperluan anggotanya
yang juga berubah mengikut arus semasa. Sehubungan itu, kita dapat lihat bahawa
trend perniagaan yang diceburi koperasi juga turut berubah mengikut perubahan
dalam pasaran. Jika dinilai dari aspek perolehan, memang tidak dapat dinafikan
bahawa 1.74 peratus daripada keseluruhan koperasi menyumbang kepada 93.24
peratus daripada jumlah perolehan gerakan koperasi negara. Sumbangan ini
didominasi oleh 158 koperasi besar yang diterajui oleh Bank Rakyat, Koperasi
Permodalan Felda Berhad, Koperasi Kakitangan Felcra Berhad, Koperasi Kebangsaan
Permodalan Tanah Berhad serta beberapa koperasi peringkat nasional yang lain.
Baki 98.26 peratus lagi koperasi menjana perolehan purata tahunan kurang
daripada RM5 juta. Walaupun dari segi impak langsungnya kepada KDNK masih tidak
dapat dirasai, sumbangan tidak langsungnya dalam mengatasi pelbagai masalah
sosio ekonomi masyarakat desa khususnya mungkin lebih besar jika diterjemahkan
dalam bentuk wang ringgit.
Ada pihak mendakwa banyak koperasi ditutup
disebabkan kepincangan yang berlaku di dalamnya dari segi pengurusan hinggalah
campur tangan politik. Benarkah dakwaan ini?
ISMAIL SABRI : Berita-berita tentang kepincangan yang berlaku
dalam koperasi sering disensasikan. Hanya kerana berlakunya satu atau dua kes
pendakwaan pemimpin koperasi yang pecah amanah atau menyalahguna kuasa tersiar
di media, ramai orang membuat andaian bahawa ini adalah fenomena biasa yang
berlaku dalam kebanyakan koperasi. Hakikatnya, ketidakjujuran dan pecah amanah
berlaku di mana-mana dan koperasi juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun,
jika dikira dari segi peratus, bilangannya adalah amat kecil sekali. Bak kata
pepatah, "seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semuanya".
Semuanya berbalik kepada sikap dan personaliti individu terbabit. Tidak kurang
juga ada pihak-pihak yang telah menyalahguna nama koperasi untuk mengaburi mata
masyarakat bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Masyarakat yang mahu cepat kaya tanpa perlu berusaha pula mudah dipergunakan
oleh peneraju skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama koperasi.
Masalahnya, anggota koperasi kadangkala di dalam mesyuarat agung lebih
condong untuk memilih calon yang popular untuk menjadi lembaga koperasi
daripada orang yang berkebolehan dan dipercayai. Jawatankuasa Audit Dalaman
yang dilantik pula tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyemak operasi
harian koperasi serta melapor dan membuat teguran untuk penambahbaikan apabila
terjumpa sebarang kelemahan atau kepincangan. Dalam beberapa kes pula, calon
yang kalah bertanding akan mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip
dan nilai murni berkoperasi dengan menabur fitnah dan menulis surat layang
kepada akhbar dan pemimpin negara dengan membuat tuduhan-tuduhan palsu terhadap
koperasinya, SKM dan Kementerian.
Bagaimana dengan tindakan terhadap pihak yang
menyeleweng?
ISMAIL SABRI : Pihak SKM dan Kementerian tidak akan berkompromi
terhadap kes-kes pecah amanah ini dan telah mengambil tindakan proaktif bagi
memastikan penularan gejala tidak sihat ini dapat disekat daripada merebak di
dalam gerakan koperasi. Pemeriksaan Usaha Wajar dijalankan secara berkala ke
atas koperasi-koperasi bagi menilai kemantapan pengurusan dan kewangan
koperasi. Selain dapat mengesan awal masalah-masalah dalaman koperasi,
pemeriksaan yang dijalankan ini juga dapat membantu koperasi untuk memperbaiki
pengurusan dan prestasi kewangan mereka. Pihak SKM juga bertindak pantas
terhadap sebarang aduan penyelewengan atau kecurigaan terhadap aktiviti yang
dijalankan oleh mana-mana koperasi, yang diterima daripada pelbagai sumber dan
pihak.
Mulai tahun lalu juga, pihak SKM telah mula melaksanakan proses tapisan
atau penentusahan ke atas calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan
Lembaga di dalam koperasi-koperasi terpilih, terutamanya koperasi besar dan
berisiko tinggi, bagi memastikan calon yang bertanding adalah bersih dan layak
untuk menerajui koperasi-koperasi berkenaan. Pihak kerajaan juga tidak
teragak-agak untuk mendakwa pemimpin atau pihak-pihak yang telah terbukti
terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa, bagi memastikan wang anggota
yang ramai akan sentiasa terpelihara. Pendakwaan ini juga adalah sebagai amaran
kepada yang lain bahawa kerajaan serius dalam membendung gejala tidak sihat
daripada berleluasa di dalam gerakan koperasi serta memastikan keyakinan
masyarakat terhadap gerakan koperasi tidak akan terjejas.
Adakah penggabungan koperasi-koperasi kecil mampu
menjadi kaedah untuk kemajuan sistem koperasi di Malaysia.
ISMAIL SABRI : Kebanyakan koperasi masih bersaiz kecil kerana
matlamat asal penubuhan koperasi berkenaan hanyalah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan
anggotanya, yang kebiasaannya berada di satu kawasan geografi tertentu. Dengan
peredaran masa serta peningkatan persaingan di pasaran, koperasi perlu berubah
seiring perubahan di persekitarannya. Untuk kekal berdaya saing, koperasi tidak
lagi boleh mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. Hanya melalui
pengeluaran dalam skala besar, koperasi boleh menjimatkan kos pengeluaran dan
menikmati faedah ekonomi berskala serta berupaya memenuhi permintaan
pelanggannya.
Di bawah Dasar Koperasi Negara 2011-2020, kerajaan mensasarkan sebanyak 50
gabungan koperasi akan diwujudkan bagi membolehkan koperasi melibatkan diri
dalam aktiviti-aktiviti perniagaan bernilai tinggi. Kerajaan sememangnya
menggalakkan koperasi untuk bergabung, sama ada melalui penggabungan koperasi
ataupun bergabung untuk menjalankan sesuatu aktiviti. Inisiatif penggabungan
ini telah pun dimulakan dalam projek ternakan ayam di Perlis dan Johor.
Sebanyak 13 koperasi di Perlis dan lapan koperasi di Johor telah bergabung
sesama mereka untuk mengusahakan ternakan ayam secara besar-besaran. Sementara
itu sebanyak 10 koperasi lagi telah bergabung untuk mengusahakan ternakan lembu
secara integrasi di Johor.
Kegiatan koperasi di negara ini sering dilihat
didominasi mereka yang berumur. Bagaimanakah cara nak menarik orang muda
menceburi koperasi?
ISMAIL SABRI : Pelbagai usaha dan aktiviti yang telah dan akan
dilaksanakan bagi mengubah ideologi ini. Seharusnya koperasi dijadikan sebagai
sebuah entiti perniagaan yang mampu bersaing seiring dengan syarikat-syarikat
swasta yang lain. Jika dilihat di negara Singapura, Teo Say Hong merupakan
wakil golongan muda yang dilantik di dalam International Co-operatives Alliance
(ICA) bagi tahun 2007 sehingga 2009. Koperasi sepatutnya dijadikan sebagai
medium untuk membina kerjaya dan mewujudkan keusahawanan bagi generasi muda
selain dari menyertai syarikat swasta.
Kerajaan telah menyediakan medium terbaik untuk menggalakkan koperasi
menjadi sebuah entiti perniagaan yang berjaya dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan.
Koperasi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai oleh generasi muda dalam
membina masa depan. Jika disorot di Amerika Syarikat (AS), koperasi dijadikan
sebuah entiti yang mampu bersaing di peringkat global sehingga berjaya memberi
ruang dua juta pekerjaan kepada penduduknya melalui 30,000 buah koperasi dengan
hasil perolehan berjumlah AS$ 500 bilion (RM1.5 trilion). Ini boleh dijadikan
contoh oleh para generasi muda dalam memeta hala tuju masa depan mereka.
Adakah impak Hari Koperasi Negara (HKN) ini telah
berjaya menimbulkan kesedaran pentingnya koperasi yang perlu disertai oleh
masyarakat di negara ini?
ISMAIL SABRI : Seperti yang dinyatakan tadi, bagi tempoh 2006
hingga 2011, bilangan koperasi berkembang pada kadar purata 13.14 peratus
setahun, bilangan anggota tumbuh 3.8 peratus setahun, aset meningkat 20.08
peratus, modal bertambah 7.56 peratus setahun dan perolehan koperasi secara
puratanya meningkat sebanyak 42.5 peratus. Jika dilihat dari pertumbuhan
bilangan koperasi, kesedaran masyarakat mengenai koperasi tidak dapat disangkal
lagi bukan sahaja dari bilangan koperasi namun kemampuan koperasi itu sendiri
dalam memartabatkan gerakan koperasi dapat dilihat juga dengan peningkatan
perolehan kepada RM23.09 bilion bagi tahun 2011. Masyarakat kini lebih meyakini
koperasi melalui prinsip dan nilai koperasi yang diterapkan bagi memastikan
keseimbangan dalam sosioekonomi dinikmati oleh anggota khasnya dan secara tidak
langsung masyarakat juga.
Pada tahun 2012, Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara akan diwarnai dengan
himpunan 100,000 koperator dari seluruh Malaysia. Himpunan ini akan melibatkan
pelbagai kaum, golongan dan peringkat umur. Ini memberi impak yang besar kepada
negara kerana berjaya membuktikan kekuatan dan rangkaian gerakan koperasi. Di
samping itu, HKN pada tahun ini akan turut menyaksikan penyertaan koperasi
daripada negara-negara ASEAN dalam Ekspo, yang merupakan salah satu acara
sambutan HKN 2012. Sekitar waktu yang sama, ASEAN Senior Co-operative
Officers/Regulators Meeting telah diadakan serta majlis menandatangani
memorandum persefahaman kerjasama antara koperasi juga akan direalisasikan.
Segala usaha ini membuktikan bahawa transformasi gerakan koperasi di Malaysia
berjaya dilaksanakan dengan melebarkan sayap ke negara-negara ASEAN. Jaringan
kerjasama ini akan memberi ruang dan peluang kepada koperasi untuk meningkatkan
aktiviti ke skala yang lebih besar. Ikatan ini membuktikan juga gerakan
koperasi bukan sahaja diiktiraf di Malaysia malahan di dunia juga.
Dikatakan bukan Melayu tidak berminat untuk
membuka koperasi. Benarkah tanggapan ini dan kalau benar, apakah puncanya.
ISMAIL SABRI : Bukan Melayu tidak berminat untuk membuka
koperasi ini bukan tanggapan yang benar. Ini dapat dibuktikan dengan perangkaan
iaitu 20.6 peratus (1.45 juta) bilangan anggota koperasi di Malaysia yang bukan
Melayu. Prinsip koperasi iaitu keanggotaan sukarela dan terbuka serta autonomi
dan kebebasan, ini memperlihatkan bahawa koperasi boleh dimiliki oleh sesiapa
sahaja yang berhasrat untuk mewujudkannya. Bukannya bergantung kepada kaum.
Jika diintai di negara lain seperti Singapura, jumlah keanggotaannya adalah 50
peratus (1.4 juta) daripada keseluruhan pendudukannya, rata-rata penduduknya
bukan melayu, namun masih menyertai koperasi.
Persoalannya adalah bagaimana kita mampu membina dan memantapkan koperasi
untuk bersaing dengan sektor lain. Oleh yang demikian, kerajaan kini dengan
penuh tekad dan serius menjalankan pelbagai usaha untuk menjadikan sektor
koperasi sebagai penyumbang yang berkesan kepada ekonomi negara. Pelaksanaan
Dasar Koperasi Negara 2011-2020 diyakini akan mengubah tanggapan ini,
keterangkuman dalam membentuk dan memperkukuhkan gerakan yang mampan akan
berjaya dibina hasil dari pelaksanaan ini.
Apakah harapan kementerian kepada pengurusan
koperasi-koperasi di negara ini?
ISMAIL SABRI : Kerajaan dengan pelbagai usaha telah dan akan
menyediakan medium yang kondusif bagi sektor koperasi membina empayar yang
lebih baik. Oleh itu peluang dan ruang ini perlu digunakan dengan sebaiknya
oleh pihak pengurusan koperasi dalam merencana aktiviti perniagaan koperasi.
Amalan prinsip dan nilai koperasi perlu diberi keutamaan dalam tadbir urus
koperasi. Sejarah koperasi telah membuktikan bahawa jatuhnya sesebuah koperasi
adalah disebabkan oleh kepincangan dalam pengurusan dan pentadbiran koperasi.
Profesionalisme dalam pengurusan, menguasai ilmu berkoperasi dengan pemikiran
yang kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan adalah elemen yang harus diwujud
dan ditingkatkan bagi memastikan koperasi berada di landasan yang betul dan
mematuhi kehendak perundangan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan