Isnin, 16 Julai 2012

ISU KENEGARAAN : Akta Hasutan: Tinggalan kolonial lapuk


Oleh : SYAHREDZAN JOHAN

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri kita telah membuat satu lagi pengumuman bersejarah. Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

Pengumuman ini dialu-alukan pelbagai pihak, walaupun ada yang meragui sama ada akta yang akan digubal untuk menggantikan Akta Hasutan hanyalah ‘sirap bandung lama dalam gelas baru’. Draf rang undang-undang Akta Keharmonian Nasional masih belum tersedia ketika ini. Oleh yang demikian, kita wajar mengambil sikap terbuka mengenai undang-undang baru ini. Bagaimanapun, pihak kerajaan juga wajar berunding dan berbincang dengan pihak berkepentingan dan mendapat maklum balas daripada orang ramai dalam merangka rang undang-undang ini.

Apabila rang undang-undang ini dibentangkan di mahkamah, Parlimen harus diberikan masa yang mencukupi untuk memperhalus peruntukan yang termaktub dan bukan hanya meluluskannya secepat mungkin. Apa yang berlaku sebelum ini, di mana undang-undang yang begitu penting diluluskan dengan ekspres dan tergopoh-gapah tidak wajar berulang lagi.

Kesalahan menghasut atau sedition ini lahirnya di England pada sekitar kurun ke-17. Mengikut Peguam Jeyaseelan Anthony dalam bukunya Seditious Tendency?: Political patronisation of Free Speech and Expression in Malaysia . Sedition ini lahir ketika hak mutlak pemerintah yang kononnya datang daripada Tuhan tidak boleh ditentang, dipersoalkan mahupun dikritik. Tentangan dan kritikan terhadap pemerintah dilihat akan mengundang dosa dan harus dihukum.

Akta Hasutan 1948 adalah tinggalan kolonial dan berkuat kuasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Akta ini secara amnya digunakan oleh pihak British untuk melawan kebangkitan komunis pada ketika itu. Namun, selepas kemerdekaan, Akta ini tidak digunakan ke atas komunis tetapi terhadap tentangan politik.

Mengikut Akta Hasutan, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan apa-apa yang mempunyai perbuatan menghasut ataupun menyebut kata-kata menghasut. Menghasut adalah perbuatan atau kata-kata yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Apa pula yang ditakrifkan sebagai kecenderungan menghasut? Ia adalah, antara lain, kecenderungan membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap mana-mana Raja atau kerajaan, mengembangkan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak suka di kalangan rakyat dan juga menyoal peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita dapat lihat bahawa takrifan kecenderungan menghasut adalah begitu luas. Contohnya, apa-apa jenis kritikan terhadap kerajaan boleh dikatakan sebagai menghasut, kerana terdapat kritikan yang mempunyai kecenderungan untuk melahirkan perasaan tidak suka. Pihak pendakwaan juga tidak perlu membuktikan bahawa apa yang dilakukan atau dituturkan sememangnya menghasut, asalkan terdapat kecenderungan.

Penjenayahan tentangan, tuturan dan kritikan ini tidak mendukung semangat demokrasi yang kita junjung, apatah lagi apabila definisi yang diberikan adalah begitu luas.

Seperti yang kita tahu, Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran kita, walaupun ianya boleh disekat secara munasabah oleh sebab-sebab tertentu. Persoalannya, adakah Akta Hasutan ini suatu sekatan yang munasabah? Adakah ianya sesuatu yang munasabah untuk menjadikan kritikan terhadap pemerintah sebagai suatu jenayah? Sudah tentu tidak.

Kita tidak wajar lagi dikekang dek undang-undang Inggeris yang sudah lapuk. Undang-undang baru ini tidak wajar lagi menjenayahkan percakapan dan buah fikiran. Seperti yang dinyatakan Presiden Badan Peguam, Lim Chee Wee baru-baru ini, kita tidak boleh mengawal melalui undang-undang perkara seperti kesetiaan, hormat-menghormati dan perpaduan kebangsaan. Ia akan lahir bukan dengan kuasa undang-undang tetapi secara semula jadi. 

*Penulis adalah peguam muda yang mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan