Oleh : Teo Kok Seong
Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya
berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga
di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya
kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti
yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.
Memang semua wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai
sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama.
Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di
Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka
digambarkan sebagai kelompok berlainan.
Semua kaum Bumiputera bersaudara
Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum
Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai
sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati
semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka
memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang
bahasa.
Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai
banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa
Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan
Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak,
yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu
keluarga bahasa sama.
Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun,
Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun
Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India,
baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau
Malayo-Polinesia.
Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk
memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu
sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua
wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di
Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di
Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang
dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.
Persamaan perlu ditegas setiap masa
Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah
Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya.
Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam
bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan aik angat dalam bahasa Iban dan
waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas
dalam bahasa Melayu.
Justeru kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera
di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata
persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks
entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat
asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan
kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta
bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga
didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.
Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat
Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang
Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana
adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan
Bumiputera, adalah orang Malaysia.
Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil
dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia
Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu
disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!
Sesungguhnya solidariti Nusantara
untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan
sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan