KUALA LUMPUR : Seramai
40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari
pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan
Kementerian Pengajian Tinggi KPT.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Omar Abd Rahman
berkata angka itu melibatkan siswazah yang gagal mendapat pekerjaan tetap
meskipun selepas enam bulan tamat pengajian.
"Setiap tahun, kita buat kajian ini dan tahun lalu, menunjukkan
peratusan graduan yang masih belum bekerja ialah 21 peratus terdiri daripada
IPTA dan 27 peratus IPTS. Manakala, 28 peratus daripada Politeknik dan 35
peratus Kolej Komuniti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas majlis pelancaran Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat
Nasional (My3L) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.
Bagaimanapun, menurut beliau terdapat segelintir siswazah ditawarkan
pekerjaan secara sambilan memandangkan belum terdapat kekosongan jawatan tetap
yang sesuai dengan kelulusan mereka.
Sehubungan itu, Omar berkata KPT mengambil beberapa inisiatif
menyelesaikan permasalahan itu, antaranya giat bekerjasama dengan industri
pekerjaan di negara ini bagi memudahkan siswazah mendapat akses peluang
pekerjaan.
Namun menurut Omar, antara faktor penyumbang kepada siswazah tidak
mendapatkan pekerjaan ialah kerana mereka ingin menyambung pengajian ke
peringkat lebih tinggi, kelulusan siswazah tidak mengikut kehendak industri
serta industri tidak memberi peluang kepada mereka.
Terdahulu dalam ucapannya, Omar berkata tahun ini kerajaan melalui 15
kementerian menyediakan 2,612 kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang
Hayat (PSH).
Bagi memudahkan orang awam memperoleh maklumat berhubung program itu,
satu Direktori PSH peringkat nasional sesi 2012/2013 dibangunkan dan bakal
dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
katanya.Karnival My3L bertemakan 'Belajarlah Tanpa Henti' itu berlangsung
selama dua hari bermula hari ini dan menyediakan 100 ruang pameran dengan
disertai 15 kementerian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan