KEMAJUAN DAN KEJAYAAN
Sistem pendidikan di Malaysia
telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil
daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan
Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang
terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita
telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.
Enrolmen murid pada peringkat
pendidikan rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir
sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar
enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah
atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan
dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada
tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi
dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara
mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat
membanggakan kita.
Kerajaan juga telah
memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun
untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan
guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang
telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah
dan menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang
pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam
peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah
berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.
Mutakhir ini, berkat usaha gigih
warga pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang
Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah
juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada
tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah menunjukkan
pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS 2011, kadar
literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010,
kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan
kadar numerasi murid kohort yang sama telah meningkat daripada 87% pada tahun
2010 kepada 97% pada tahun 2011.
Semua kejayaan ini adalah hasil
komitmen dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan
untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran
kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan
kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu,
sistem pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam
perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia.
Dalam persaingan global yang
semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau
bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian
murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains
masih rendah berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah
negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International Student
Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat sepertiga terbawah
bagi Bacaan, Matematik dan Sains.
Hal ini perlu diatasi segera sekiranya
negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju negara
maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada tongkat ajaib
yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata. Sebaliknya, kita
perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil
langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.
PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN
PENDIDIKAN, 2013-2025
BERTITIK tolak daripada kesedaran
ini, Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem
pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan
Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai
langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara,
sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang
mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada
pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai
Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada
kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan
Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan.
Hari ini, ketika kita masih lagi
dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat
satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah
seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan
rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
MATLAMAT DAN PENDEKATAN
KEMENTERIAN Pelajaran akan
mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang
berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan
dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini
menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti
nasional.
Dalam merangka Pelan ini, 9
bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan
Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:
* Pertama,
memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan
kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan
kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan
kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan
penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan
pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam
pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan
kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran
kerja;
* Kelapan, memperbaiki
kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina
kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Daripada keseluruhan 9 bidang
keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan
bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju
pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah
dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi,
semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1) ialah
Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf
Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai
ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis,
mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah
ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di
negara-negara maju.
Sehubungan dengan itu,
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017.
Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk
memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah
boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.
Seiring dengan pelaksanaan
kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan
pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan
murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa
empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam
masa lima tahun berbanding enam tahun.
Selanjutnya, peperiksaan dan
pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap
kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu.
Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80
peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
Selain itu, tempoh pendidikan
wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan
disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem
pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan
vokasional.
Untuk menjamin akses pendidikan
berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan
meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan
keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang
upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka
juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.
Dari segi penguasaan bahasa,
Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan
setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi
Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS
supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan
kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa
Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Guru yang tidak mencapai standard
yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran.
Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa
Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan
kepada murid sekolah menengah.
Bagi memantapkan penguasaan
bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan
kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi
sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan
di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu,
Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan
seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau
bahasa antarabangsa yang lain.
Seterusnya, Kementerian akan
melaksanakan ANJAKAN YANG KETIGA (3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia
yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini,
anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan
tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara,
anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk
membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.
Untuk itu, menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan
lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan
tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan
melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta
agama-agama yang lain.
Bagi murid bukan Islam pula,
Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama
utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan
bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.
Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga
akan diteruskan.
Segala langkah yang akan diambil
ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti.
Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4),
iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai
profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar
peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan
keutamaan.
Untuk itu, kementerian akan
mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30%
teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan.
Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan
mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan
program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah.
Untuk menyokong peningkatan
prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan
kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang
menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam
tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata
tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru.
Selain ANJAKAN YANG KELIMA (5)
itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi
teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan
kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang
khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang
dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.
Seterusnya, ialah memastikan
pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu,
kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar
berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian
pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan
menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar
dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi
sekolah.
Kementerian juga akan menyediakan
sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka
meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN
YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan
penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan
Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School
Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan
Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara
sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab
memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu
sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan
di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh
negara akan bermula Januari 2014.
Selain itu, untuk meningkatkan
autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke
atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah
Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang
menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih
banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti
berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
Dalam dunia yang pantas
berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai
potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian
akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT)
bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses
internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet
bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada
penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai
akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk
pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.
Seterusnya, kementerian akan
melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi kebolehan
dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi
kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih
ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian
penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata
berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi
sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan
mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam
perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan
kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi
penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat
bawah.
Menyedari hakikat bahawa proses
pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi
aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti
dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9),
iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor
swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan
Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di
sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha
membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak
masing-masing.
Selain itu, pihak kementerian
akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan
kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan
pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan
Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan
kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai
penganjur.
Saban tahun, sekitar 16% daripada
bajet negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini
merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia,
sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di
dunia.
Untuk itu, kementerian akan
melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan pulangan
bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap
program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan
merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan
anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan
(Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam
mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal
seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
ANJAKAN YANG KESEBELAS (11),
iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang
pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang
tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan
oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan
ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan
melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi
memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor
pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan ini
adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang
keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut
menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan
tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap
sasaran yang ditetapkan.
Misalnya, rakyat boleh
menjangkakan dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga
2015, akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran,
keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.
Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu
dari tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem pendidikan
negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar
menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula
untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang Pertama;
dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk memastikan ia
sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini.
Manakala dalam Gelombang Ketiga,
iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru
besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan
memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan
kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah, serta
membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran.
Keseluruhan anjakan ini akan
memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.
Sekiranya kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan
dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan
menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada
pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti.
Untuk itu, sepanjang tempoh
pelaksanaan, pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan
tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap
sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari
Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai
adalah tekal dan selari.
Selain itu, Kementerian akan mewujudkan
Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan
Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu
pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul
maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang ditempatkan di unit ini akan
terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas dalam
mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta.
Dalam konteks ini, Pelan ini agak
berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping
menghuraikan hasrat dan sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan
kaedah pelaksanaan, dan strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan
oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan
kita telah dilakukan dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati
standard antarabangsa.
Inilah julung-julung kali dalam
sejarah negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan
hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini
bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang
ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambilkira
dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya bentangkan pada hari
ini.
Selepas ini, kementerian akan
mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan
Pelan ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada
kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan
dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu pelan
pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah tanda
kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional
yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan