Oleh : Manja Ismail
Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam wawancara khas
mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang disiarkan beberapa
akhbar semalam, memberikan sepatah jawapan untuk menyimpulkan matlamat utama
semua pembaharuan yang bakal diperkenalkan itu – kualiti.
Tanpa menafikan sumbangan besar
beberapa pembaharuan ke atas dasar pendidikan sebelum ini dalam memacu
pembangunan negara sejak merdeka, perubahan pesat dalam pelbagai bidang di
dalam dan luar negara bukan saja memerlukan pelan lebih menyeluruh dan tahan
diuji, tetapi bersandarkan kajian, pandangan dan hasrat semua pihak
berkepentingan, dari ibu bapa, murid sehinggalah kerajaan dan industri. Sejak
merdeka, bidang pendidikan menyaksikan beberapa transformasi bagi menangani
masalah dan memenuhi matlamat negara. Penyata Razak 1956 misalnya, digubal bagi
merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan
Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.
Bina sahsiah seimbang
Teras perpaduan nasional dalam
sistem pendidikan diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta
Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979. Pelaksanaan
pelbagai perakuan dalam laporan itu memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk
dan memperkukuhkan perpaduan nasional.
Pada 1988 pula, Falsafah
Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan untuk memupuk nilai murni generasi baru
melalui pembinaan sahsiah yang seimbang. Melalui falsafah itu, pendidikan
dijadikan alat utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Transformasi ketiga dalam sistem
pendidikan kita tercetus apabila kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah
negara maju menjelang 2020. Untuk itu, penguasaan ilmu sains dan teknologi
diberi keutamaan tanpa mengetepikan pendidikan yang holistik dan bersepadu.
Laporan awal PPP 2013-2025 yang
akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok, adalah permulaan
satu lagi fasa transformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan kita daripada
negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan
tinggi. Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan modal insan yang kreatif
dan inovatif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Seperti kata Muhyiddin, modal
insan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa hanya lahir melalui
pendidikan bertaraf dunia. Justeru, beliau menyasarkan dalam 15 tahun akan
datang, sistem pendidikan Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea Selatan,
Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura.
Kumpul pandangan pelbagai pihak
Satu perkara yang menarik
mengenai proses transformasi pendidikan kali ini ialah penyertaan rakyat
pelbagai lapisan dalam memberikan pandangan dan cadangan melalui siri Dialog
Nasional Pendidikan Negara yang diadakan sebaik PPP dilancarkan pada April
lalu. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran juga mendapatkan pandangan rakyat
melalui Twitter, Facebook dan laman web.
Kerajaan juga mengambil kira
pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel
antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam institusi pengajian tinggi
awam dan sembilan makmal pendidikan.
Dalam kata lain, kerajaan
menyediakan ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menyatakan pandangan
dalam proses transformasi pendidikan kali ini. Seharusnya tidak berlaku lagi
‘rumah siap pahat berbunyi’ apabila ia dilaksanakan tahun depan. Namun, dalam
budaya politik di negara ini sekarang di mana bidang pendidikan sering
dipolitikkan, agak mustahil mereka menyokong usaha ini walau sebaik mana
sekalipun matlamatnya untuk bangsa dan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan