Isnin, 10 September 2012

ISU PERKIDMATAN AWAM : Bahan sejarah sekadar diperam


Oleh : Zainuri Misfar

Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Arkib Negara adalah tiga agensi kerajaan yang menyimpan banyak bahan bersejarah negara.

Jabatan Muzium mempunyai koleksi artifak, benda atau objek, manakala FNM dengan koleksi visual atau gambar bergerak, Jabatan Arkib sudah tentu menyimpan banyak manuskrip penting sejarah Malaysia.

Tidak cukup dengan tiga agensi ini, Jabatan Penyiaran Malaysia ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah tentu menyimpan banyak footage atau pita yang mengandungi peristiwa bersejarah.

Malangnya, ketiga-tiga agensi ini termasuk RTM bagaikan pasif untuk mempromosikan sejarah negara, lebih-lebih lagi ketika kita menyambut kemerdekaan ke-55 dan tidak lama lagi ulang tahun penubuhan Malaysia pada 16 September ini.

Kita yang sering lalu lalang di lebuh raya Mahameru atau Jalan Travers, tertanya-tanya kenapa tidak ada kain rentang besar yang memaparkan sejarah kemegahan negara?

Sayang sekali kita sudah merdeka lebih setengah abad, tetapi ketiga-tiga agensi ini bagaikan tidak tahu untuk menyegarkan semula sejarah negara. Pada hal, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menaungi ketiga-tiga agensi itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim sering kali mengeluarkan kenyataan betapa pentingnya sejarah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sering mengungkap mengenai kepentingan mata pelajaran Sejarah.

Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib serta RTM ini juga sebenarnya boleh membuat perancangan seperti bekerjasama dengan pusat beli belah utama di Kuala Lumpur untuk mempamerkan gambar, manuskrip dan sedutan visual sejarah negara.

Apa salahnya? Apakah pusat beli-belah tidak membenarkan? Kalau ini pun terjadi, ternyatalah pengurusan pusat beli-belah itu tidak berjiwa patriotik, tidak menghargai kemakmuran negara walaupun premis mereka sering menjadi tumpuan ramai.

Menonton program TV atau filem (kalau ada) yang bertemakan sejarah juga kadang-kadang membosankan. Rancangan bercorak sejarah ini kadang-kadang seperti mengadaptasi sepenuhnya daripada buku sejarah. Ia bersifat sebuah program lakonan semula untuk sebuah peristiwa bersejarah, bukan satu cerita menarik yang berlatarkan fakta sejarah.

Seperti kita katakan, sepanjang bulan kemerdekaan pada Ogos lalu sehingga kepada Hari Malaysia bulan ini, Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib sebenarnya boleh berperanan lebih aktif untuk mempromosikan sejarah negara. Kenapa tidak diadakan pameran koleksi bahan bersejarah, sama ada dalam bentuk artifak, manuskrip dan visual di Muzium Negara?

Kita pilih Muzium Negara kerana agensi tersebut mudah dikunjungi pelawat berbanding Jabatan Arkib dan FNM.

FNM dan RTM boleh bergabung menyunting beberapa klip video atau filem pendek - lebih kurang tiga hingga lima minit - untuk disiarkan sama ada di TV dan panggung wayang secara selingan.

Klip video pendek juga boleh disiarkan ketika pameran bergerak mengenai sejarah negara bersama-sama dengan bahan yang disediakan Arkib Negara dan Muzium Negara di kompleks beli-belah, pastinya dalam ribuan pengunjung tentu ada yang berhenti sejenak, membaca, menonton dan menghayati maklumat berkaitan dengan sejarah negara dan kenegaraan.

Mata pelajaran sejarah atau berkaitan dengan sejarah tidaklah sukar untuk difahami dan dipelajari. Kalau kita boleh mempelajari sains dan matematik yang lebih teknikal dan rumit, tiada alasan untuk mempelajari dan menghayati sejarah.

Apa yang penting, pihak berkaitan seperti persatuan sejarah dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan penyimpanan bahan bersejarah, termasuk stesen TV haruslah kreatif dan inovatif untuk menjadikan sejarah sebagai bahan menarik, menghiburkan dan menyeronokkan.

Bersesuaian dengan teknologi sekarang, penyampaian elemen sejarah boleh dilakukan dalam bentuk visual, animasi, dokumentari, filem pendek atau apa saja yang bersifat interaktif dengan pengolahan skrip mudah tetapi tidak menyimpang daripada fakta.

Berbalik kepada Muzium Negara, Arkib Negara, FNM mahupun RTM, mungkin boleh berkongsi peruntukan kalau tidak mencukupi untuk menampung kos menyediakan pameran sejarah. Mungkin boleh meminta peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk tujuan murni ini.

Apa gunanya kita ada banyak bahan sejarah tetapi hanya diperam, tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan bangsa dan negara.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan