MARTABATKANLAH bahasa kita.
Bahasa adalah perpaduan. Bahasa adalah penyatuan. Di negara yang mempunyai
masyarakat majmuk, bahasa memainkan peranan yang amat penting.
Dengan menggunakan bahasa yang
sama barulah dapat kita memahami hati budi, saling kenal mengenali antara satu
sama lain dan seterusnya akan timbul perasaan saling hormat menghormati.
Dengan itu juga akan terputik
rasa kasih sayang yang dari sini akan terjalinlah hubungan baik lagi akrab.
Justeru penyatuan yang padu di
kalangan masyarakat akan wujud. Masyarakat akan bersatu dalam apa-apa jua yang
melibatkan kepentingan bersama apatah lagi kepentingan negara. Ini satu nilai
murni yang amat penting.
Nilai murni yang harus dipupuk
dan terus dibaja agar sentiasa segar kerana jika tidak ia akan perlahan-lahan
hilang. Oleh itu hal yang kelihatannya begitu kecil mempunyai erti yang sangat
besar dan mendalam. Jangan kita pandang sebelah mata kerana impaknya adalah
besar.
Masyarakat bersatu padu dan
mempunyai sifat kenegaraan yang tinggi, itulah masyarakat yang negara kita amat
perlukan. Inilah yang dikatakan 1Negara, 1Bangsa. Bangsa Malaysia. Bangsa yang
mempunyai sifat kenegaraan yang sangat kuat. Bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh.
Oleh itu penggunaan bahasa Melayu
haruslah meluas dan meliputi segala aspek kehidupan. Walaupun bukan mudah
tetapi mesti dilakukan.
Penggunaan bahasa Melayu ini di
semua jabatan kerajaan misalnya memang harus diteruskan dan ditingkatkan. Apa
yang penting di sini jangan dibiarkan bahasa Melayu itu dianaktirikan.
Satu lagi aspek yang perlu diberi
perhatian adalah kita harus menghormati bahasa itu sendiri dengan penggunaan
perkataan dan tatabahasa yang tepat dan betul walau di mana jua.
Sebagai contoh, papan-papan tanda
yang ada di serata kawasan, haruslah dipantau.
Penguatkuasaan daripada pihak
kerajaan tempatan adalah amat penting dan bukan sekadar melepaskan batuk di
tangga atau mengambil sikap acuh tak acuh. Penggunaan bahasanya haruslah betul
dan ejaannya mestilah tepat.
DR. DAHLIA DAHNIL
Bandar Baru Selayang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan