Oleh NURUL ANUAR KARI
PERJUANGAN berdarah lebih 40
tahun di selatan Filipina yang merangkumi dua atau tiga generasi pelapis
akhirnya mencapai titik noktah pada 15 Oktober 2012 dengan perjanjian
mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam
Mindanao (ARMM).
Penghujung pergolakan yang
meragut lebih 120,000 nyawa dan mendesak ratusan ribu lagi melarikan diri
meninggalkan kampung halaman akan melalui lembaran baru ke arah kedamaian serta
pembangunan masyarakat Islam di negara itu.
Siapa dapat menjangka pemilihan
Presiden Benigno Aquino III selaku pemimpin baru Filipina akan membawa kepada
perjanjian damai yang bakal menamatkan konflik berdarah tersebut dengan memilih
jalan diplomatik berbanding ketenteraan.
Pihak pejuang pula, khususnya
Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang rata-ratanya dibarisi pelapis muda,
mungkin tidak menyangka tuntutan autonomi akan dipenuhi kerajaan Filipina dalam
tempoh hayat mereka.
Tentera pejuang kini tidak perlu
lagi menyorok di dalam hutan ataupun menggunakan kekerasan untuk mendapatkan
dana kewangan sementara rakyat di selatan mahupun di seluruh Filipina tidak
perlu lagi hidup dalam ketakutan.
Penduduk Bangsamoro tidak perlu
khuatir akan campur tangan mahupun penindasan, sementara rakyat Filipina lain
tidak perlu bimbang dengan serangan keganasan, penculikan dan pergolakan baru
daripada saudara mereka di selatan.
Melalui Perjanjian Rangka Kerja
Mengenai Bangsamoro yang dimeterai kedua-dua belah pihak, bermulalah detik baru
dan penamat kepada konflik yang menjejaskan rakyat sehingga melangkaui sempadan
Filipina.
Perjanjian 13 muka surat wilayah
autonomi itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu penubuhan, undang-undang
asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan
wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan
lain-lain.
Turut diperakui dalam perjanjian
autonomi itu termasuk keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan
Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah
tersebut.
Bukan sahaja kuasa ekonomi,
politik dan pelaksanaan cukai, kuasa autonomi juga akan membolehkan penduduk
wilayah itu menerima bahagian lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan
memainkan peranan lebih aktif dalam aspek keselamatan.
Dengan pemerintahan sendiri dan
sumber pendapatan yang lebih stabil, pembangunan infrstruktur dan modal insan
di selatan Filipina bukan sahaja akan memakmurkan Bangsamoro malahan
menstabilkan keadaan serantau.
Inilah yang dinanti-nantikan dan
diraikan secara besar-besaran rakyat Bangsamoro dari bandar, pekan hingga ke
perkampungan di pedalaman yang selama ini tersepit antara hidup aman dalam jajahan
dan kemiskinan, atau perjuangan demi masa depan pewaris bangsa.
Pembangunan wilayah Bangsamoro
yang kaya dengan sumber asli dijangka akan mengurangkan kebanjiran penduduknya
di sempadan negara-negara jiran di samping mampu membawa limpahan manfaat kepada
penduduk sekitar rantau tersebut.
Perdamaian antara kedua-dua belah
pihak juga akan mengurangkan keperluan ketenteraan kerajaan Filipina di wilayah
selatan malahan turut mengurangkan beban pasukan keselamatan di negara-negara
jiran menyekat anggota pemberontak mahupun pendatang haram.
Malaysia yang merupakan antara
pengantara perundingan MILF dengan Manila sejak lebih 10 tahun lalu juga boleh
menarik nafas lega memandangkan konflik berterusan hanya memberi impak negatif
melangkaui sempadan Filipina khususnya kepada penduduk di negeri Sabah.
Era baru kemananan dan
pembangunan Bangsamoro akan membolehkan kerajaan Filipina fokus kepada membawa
keluar semua rakyatnya daripada kitaran kemiskinan dan memulakan proses
pemulihan serta melupakan tragedi kehilangan ahli keluarga kerana pertumpahan
darah.
Kini, proses pelaksanaan autonomi
akan melalui tempoh transisi panjang bagi merapatkan kembali hubungan yang
renggang dan diharap dapat diselesaikan dalam tempoh pentadbiran Presiden
Aquino sehingga 2016.
Walaupun dengan bantuan pihak
luar, kesediaan pihak berbalah berbincang dan menandatangani perjanjian damai
rasmi, tetapi semuanya masih terlalu awal untuk kepastian mutlak. Perdamaian
boleh musnah jika pentadbiran baru tidak menyokong malahan menentang perjanjian
tersebut.
Bagi pemerhati antarabangsa dan
keselamatan, Mohamad Faisol Keling, cabaran utama kepimpinan Bangsamoro kini
adalah untuk membuktikan mereka mampu menguruskan sebuah pentadbiran sendiri.
"Proses pembentukan negara
bangsa ini mengambil masa yang lama dan berterusan. Oleh itu, mereka perlu
buktikan kemampuan memeritah dan membangunkan wilayah sendiri, ini perlu mereka
jaga jika mahukan autonomi.
"Jangan pula jadi seperti di
Timor Leste yang memberontak mahukan kemerdekaan tetapi selepas itu dilihat
gagal mengurus tadbir dan menggerakkan pembangunan wilayah mereka," tegas
pensyarahKolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti
Utara Malaysia .
Katanya lagi, apa yang diharapkan
semua pihak adalah kerjasama penduduk Bangsamoro untuk membangunkan negara
bangsa mereka melalui pendidikan, peluang kerja, peningkatan taraf hidup dan
paling penting, pemerintahan yang efisyen.
Menurut beliau, senario sama
sebenarnya turut berlaku di Acheh dan selatan Thailand yang berkait rapat
dengan selatan Filipina.
"Dengan mencapai keamanan
dan perkongsian kuasa di Acheh, kemudian selatan Filipina, diharapkan kesan
berangkainya dapat 'berjangkit' ke selatan Thailand.
"Malaysia memainkan peranan
besar dalam perbincangan di Acheh dan selatan Filipina, dan mungkin juga suatu
hari nanti kita dapat membantu situasi di selatan Thailand pula," katanya.
Mohamad Faisol menjelaskan, Tun
Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan 'jika jiran kita makmur, maka kita juga
akan makmur'.
"Kata-kata itu jelas
melihatkan kesan negatif pergolakan di selatan Filipina yang menyebabkan
kegiatan penculikan berleluasa sehingga ke dalam sempadan negara kita di
samping kebanjiran pendatang haram dari sana.
"Jika konflik ditamatkan,
bukan mereka sahaja makmur malahan kita juga merasakan impak positifnya
kelak," ujarnya.
Jelasnya lagi, Malaysia yang
mempunyai pengalaman dalam berkongsi kuasa serta wilayah autonomi mampu berkongsi
modulnya dengan negara jiran yang bergolak.
Mengambil contoh di selatan
Thailand, beliau berpendapat konflik berlaku kerana keengganan berkongsi kuasa
dan tiada tolak ansur antara pihak berbalah.
"Mungkin Datuk Seri Najib
Tun Razak boleh membantu situasi di selatan Thailand pula selepas ini kerana
ini juga jihad untuk umat Islam di sana seperti mana di Acheh dan selatan
Filipina.
"Usaha ini bukan sahaja
untuk pendidikan, kemajuan dan keamanan malahan untuk menyelamatkan nyawa
penduduk Islam di sana," tegas pemerhati antarabangsa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan