Oleh : Akhbar Satar
Pengguna dedah maklumat, identiti
Sejak kebelakangan ini Facebook
mendominasi ruangan sembang komuniti pengguna internet di Malaysia. Facebook
antara jaringan sosial internet percuma yang membolehkan kita membentuk
jaringan dengan mengundang sahabat. Daripada jaringan itu, pengguna dapat
memerhatikan aktiviti dan menambah rakan.
Facebook mirip kepada Friendster,
namun diakui memiliki banyak kelebihan tetapi tidak kurang juga memberi kesan
negatif kepada pelbagai pihak terutama kanak-kanak. Masalah ini timbul apabila
kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak setara dengan
kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh penjenayah siber.
Facebook secara tidak langsung
membocorkan maklumat diri apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran
keluarga. Modus operandi terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa
disedari ketika berinteraksi melalui Facebook.
Sebenarnya pengguna Facebook
terutama pendatang baru, secara tidak langsung membocorkan maklumat diri
apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran keluarga. Modus operandi
terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa disedari ketika berinteraksi melalui
Facebook.
Sehingga kini penggunaan Facebook
telah meledak sehingga menduduki ranking ke-18 sebagai laman web paling sibuk
di dunia. Mengikut Socialbakers.com, lebih 13 juta pengguna Facebook di
Malaysia, iaitu 50.28 peratus daripada jumlah penduduk. Peringkat umur paling
banyak menggunakan Facebook ialah remaja berumur antara 18 hingga 24 tahun
iaitu 4.7 juta orang, diikuti yang berumur 25-34 tahun. Kira-kira 54 peratus
adalah pengguna lelaki berbanding dengan 46 peratus wanita.
Had umur menggunakan Facebook
adalah kanak-kanak berumur 14 tahun ke
atas. Namun, syarat ini tidak dipatuhi tambahan pula kurang kawalan ibu bapa.
Statistik Norton Online Family Report menunjukkan hanya empat daripada
10 ibu bapa mengetahui bahan yang dilayari anak mereka dalam internet termasuk
Facebook.
Dedah lokasi
Kelemahan ini ditambah dengan
jangkaan peningkatan penggunaan telefon pintar yang menguasai hampir separuh
jualan telefon mudah alih dunia. Four Square antara satu aplikasi yang
semakin banyak digunakan pengguna telefon pintar. Aplikasi ini membantu
pengguna memberitahu lokasi mereka sesama pengguna lain. Aplikasi Four
Square dipaut ke Facebook membolehkan seseorang mengesan lokasi pengguna
apabila pengguna check-in. Facebook juga mempunyai aplikasi tersendiri
yang mempunyai fungsi sama. Walaupun aplikasi ini digunakan secara suka-suka,
keselamatan pengguna sekali gus dalam bahaya apabila memberitahu orang lain
lokasi mereka.
Aplikasi ini membuka ruang kepada
penjenayah mengambil kesempatan. Misalnya, jika pengguna check-in di kedai
makan, penjenayah boleh menyerang mereka di lokasi. Apa yang lebih memburukkan
keadaan adalah gambar dan profil pengguna dipaparkan di Facebook. Penjenayah
lebih mudah mengesan mangsanya. Antara mangsa yang menjadi sasaran utama ialah
kanak-kanak yang menggunakan Facebook tanpa pengawasan ibu bapa terutama pada
musim perayaan, apabila mereka check-in ketika di kampung, penjenayah
boleh memecah masuk rumah yang ditinggalkan kosong.
Apa yang dipamerkan dalam
Facebook akan diketahui sesiapa saja yang turut ‘berkongsi maklumat tanpa
batas’ dengan mereka. Tambahan pula apabila mereka mempunyai maklumat, gambar
dan lokasi tidak bermakna mereka tidak
boleh menyebarkan maklumat pengguna kepada pihak ketiga. Apabila seseorang
hendak makan malam di sesebuah restoran, kemungkinan besar bukan hanya kawan
Facebook yang mengetahui kedudukan atau lokasi mereka bahkan ia boleh
disebarkan kepada kawan di pautan lain. Ia juga boleh memberi kesan buruk
apabila kawan Facebook pengguna ditag oleh kawan lain yang juga dapat
mengetahui maklumat mereka. Risikonya amat tinggi dan lebih memburukkan lagi
keadaan apabila seseorang VIP atau yang berhutang dengan along dapat dikesan
dan sudah pasti membahayakan mereka.
Maklumat, gambar disalah guna
Gambar dalam Facebook boleh
dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Gambar hendaklah diletakkan di
Facebook dengan bijak kerana ramai orang dapat melihatnya tetapi dengan
menggunakan privacy settings maklumat diri tidak terdedah kepada umum.
Jika semua maklumat peribadi diletakkan dalam Facebook, ia mungkin
disalahgunakan penjenayah dan ramai remaja yang ketagih Facebook terjerat
dengan jenayah. Seorang pengguna Facebook menemui gambar peribadinya digunakan
sebagai promosi untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial.
Remaja perempuan perlu
berhati-hati apabila menjalin hubungan cinta dengan jejaka luar negara terutama
dari Afrika yang biasanya dikenali melalui Facebook. Mereka mungkin anggota
sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Sindiket dari Nigeria mencari wanita
tempatan untuk direkrut sebagai keldai dadah. Wanita tempatan juga sering
diperalatkan sebagai keldai siber dengan menggunakan akaun internet dan akaun
bank untuk pelbagai kegiatan jenayah siber secara atas talian di seluruh dunia.
Negara rugi RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat jenayah
siber.
Gunakan Facebook dengan bijaksana
dan berwaspada terutama apabila berkongsi maklumat menerusi apa saja laman
sosial, tambahan pula kesedaran keselamatan siber dalam kalangan organisasi dan
individu di negara ini masih rendah. Pastikan kita tahu siapa kawan Facebook
anak kita.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan