Oleh : Johan Jaaffar
Kenyataan Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidaklah memeranjatkan: Rakyat
Malaysia ternyata malas bersenam atau beriadah. Hanya 25 peratus rakyat negara
ini yang terbabit dalam aktiviti senaman. Rosnah juga menyebutkan bahawa rakyat
kita terdedah kepada pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap - daripada
diabetes hinggalah hipertensi. Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga
meningkat, demikian juga masalah obesiti. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta
penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap hipertensi
dan 2.6 juta menghidap diabetes.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan (NHMS), Kementarian Kesihatan bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa
kadar penyakit diabetes meningkat kepada 15.2 peratus daripada 11.6 peratus
pada tahun 2006, sementara hipertensi dalam kalangan orang dewasa yang berumur
melebihi 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus.
Banyak orang menyalahkan
kemewahan dan gaya hidup moden sebagai punca semua masalah ini. Bagi saya,
isunya ialah sikap kita sendiri terhadap kesihatan. Hakikatnya cara hidup kita
berubah tetapi amalan pemakanan kita tidak berubah. Mungkin nenek moyang kita
makan makanan yang sama dengan apa yang kita makan hari ini tetapi mereka
bekerja di ladang dan mengeluarkan peluh, sedangkan kita masuk ke pejabat
berhawa dingin.
Kemewahan boleh membunuh.
Ironinya seorang daripada lima orang penduduk dunia kelaparan (800 juta). Pada
waktu yang sama lebih dua bilion penduduk mengalami apa yang disebutkan chronic
malnutrition. Tetapi di Malaysia, kita mati kerana makan, bukan kerana
tidak cukup makan. Kadar penyakit moden seperti barah, sakit jantung, diabetes
dan lain-lain meningkat apabila rakyat semakin mewah. Kita makan terlalu
banyak, makan makanan yang kurang berkhasiat di samping membazirkan makanan.
Lebih malang lagi, kita tidak
berbuat apa-apa selepas makan. Rakyat Malaysia enggan bersenam waima setengah
jam sehari tiga minggu sekali, kadar minimum yang diperlukan bagi membakar
lebih 3,000 kalori yang dimakan sehari. Mereka lebih suka bermalas-malas.
Walaupun rata-rata mereka menggemari sukan tetapi mereka menonton perlawanan
bola Liga Inggeris (EPL) sambil makan di kedai mamak atau di rumah. Minat
terhadap sukan tidak diimbangi dengan amalan bersukan.
Kita bukan negara sukan atau sporting
nation. Rakyat kita mempunyai banyak keutamaan lain selain memberikan
perhatian serius pada soal sukan. Maka itu tidaklah menghairankan mutu sukan
kita tidak boleh dibanggakan. Kita juga malas bergerak, kalau boleh kita ingin
meletakkan kenderaan kita di hadapan pintu pasar raya. Pergerakan kita terbatas
hanya dengan turun naik lif dan bergerak ke kantin dan ke pejabat.
Apa yang lebih penting ialah
kualiti sukan di sekolah. Tanpa penekanan pada kepentingan sukan dan riadah,
kita melahirkan generasi yang malas dan tidak peduli pada riadah. Apabila
sistem sekolah tidak memberikan perhatian pada aktiviti sukan dan kualiti ahli
sukan, sukan negara tidak akan ke mana. Kesihatan rakyat banyak bergantung pada
sikap kita terhadap sukan dan riadah.
Kerajaan akan membelanjakan lebih
RM19 bilion untuk kesihatan rakyat bagi tahun hadapan. Maka itu kita harus
menekankan budaya bersukan di kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan
usia. Sukan dan riadah merupakan kemestian bagi setiap orang.
Dalam kalangan umat Islam
sendiri, budaya bersukan tidaklah begitu memberangsangkan. Sepatutnya
ditanamkan sikap bahawa untuk mengamalkan tuntutan agama seperti solat, kita
memerlukan tubuh badan yang sihat. Umat Islam yang sihat merupakan ummah yang
kental jati diri, semangat dan diberkati kekuatan fizikal. Umat yang lemah
kekuatan tubuh badannya tidak akan mengembangkan Islam. Kita tahu kisah perwira
Islam pada zaman awal yang tersohor kerana semangat juang mereka. Empayar Islam
berkembang kerana kekuatan umatnya. Tradisi ilmu di kalangan orang Islam
berkembang kerana minda yang juga sihat. Kekuatan fizikal dan minda yang tajam
membina tamadun dan kegemilangan Islam.
Budaya masyarakat negara ini
harus juga berubah. Kita harus mengawal cara pemakanan anak-anak kita. Apa yang
lebih penting ialah menekankan keperluan beriadah di kalangan mereka. Tidak ada
usia yang menghalang kita beriadah. Profesor Diraja Ungku Aziz mungkin tidak
boleh berlari lagi pada usianya sekarang tetapi beliau masih berjalan pantas.
Adnan Osman berusia 68 tahun, bulan September lalu berbasikal ke
Sukan Olimpik London. Seorang menteri Nepal, Bahadur Sherchan berusia 76 tahun
340 hari apabila beliau menjejak puncak Gunung Everest tiga tahun lalu.
Saya sekadar ingin mengingatkan
bahawa kaum Melayu dan India amat kurang beriadah berbanding kaum Cina di
negara ini. Pergilah ke mana-mana pusat riadah terbuka, peratus kaum Cina yang
aktif amat tinggi berbanding dengan yang lain. Maka itu tidaklah memeranjatkan
berdasarkan angka Jabatan Statistik Negara, jangka hayat wanita Cina ialah yang
tertinggi di Malaysia - 79.8 tahun, melebihi kadar jangka hayat purata bagi
rakyat Malaysia, 77 tahun. Kadar jangka hayat wanita India ialah 76.2 dan
wanita Melayu 75.3. Lelaki kaum Cina hidup lebih lama dengan purata jangka
hayat 74.4 tahun diikuti oleh lelaki Melayu (70.5) dan India (68). Perangkaan
ini sepatutnya membuka mata kita semua.
Sumber : http : //www.bharian.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan