Oleh : ROHAMI SHAFIE
UMUM mengetahui Singapura adalah
satu-satunya negara maju di rantau Asia Tenggara. Bagaimana ekonomi Singapura
dipacu sehingga mencapai status ekonomi negara maju?
Salah satu strategi yang
digunakannya adalah dengan menarik bakat-bakat terbaik di seluruh dunia
terutamanya negara China dan India bekerja memajukan dan menyumbang idea untuk
ekonomi Singapura.
Natijahnya, rakyat Singapura
sendiri berasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Maka, tercetuslah rungutan
dan keluhan rakyat Singapura bahawa bakat-bakat negara lain telah mengambil
alih peranan mereka. Meskipun kebanyakan bakat luar adalah sebangsa dengan
mereka, namun bukan bermakna rakyat Singapura berasa mereka lebih selamat
dengan kehadiran bakat-bakat luar yang sama warna kulit.
Perkara sama juga berlaku di
Malaysia. Cuma bezanya kualiti warga asing yang bekerja di Singapura dengan
warga asing yang mencari rezeki di Malaysia. Umum mengetahui negara kita berada
di landasan yang betul untuk menjadi negara maju. Maka, berpusu-pusu warga
asing datang mencari rezeki di Malaysia.
Mereka ini kebanyakannya
mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Maaf cakaplah dalam kebanyakan
keadaan mereka ini telah menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berasa berada di
negara asing. Jumlah yang terlalu ramai tetapi kualiti yang ada tidaklah
sehebat seperti warga asing yang bekerja di Singapura.
Jadi apakah pekerjaan yang mereka
lakukan? Di kebanyakan sektor mereka hanya bekerja sebagai pekerja bawahan yang
bersifat buruh. Sumbangan mereka ini tidak begitu besar terhadap negara kita.
Berbeza 15 tahun yang lalu kualiti pekerja sebegini amatlah diperlukan kerana
daya saing negara bergantung pada kos buruh yang rendah.
Tetapi kini negara kita berada
pada tahap ekonomi sederhana dan menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,
maka daya saing berdasarkan kos buruh yang rendah tidak memberi impak besar
terhadap ekonomi negara.
Malaysia memerlukan pekerja yang
berkualiti dan berkemahiran tinggi. Ekonomi negara memerlukan lebih ramai para
pekerja yang berinovasi, kreatif dan produktif. Hanya pekerja yang mempunyai
bakat luar biasa sahaja yang mampu memberi idea di luar kotak dan pada masa
sama idea itu boleh dilaksanakan untuk memajukan ekonomi negara.
Jadi, apa perlunya begitu ramai
warga asing di Malaysia? Sudahlah mereka ini tidak begitu menyumbang terhadap
ekonomi negara, perniagaan penduduk tempatan pula diambil alih oleh mereka
sedangkan ia adalah hak mutlak rakyat Malaysia.
Dilaporkan bahawa ramai warga
asing yang berniaga dan perniagaan mereka telah menjana keuntungan yang amat
besar terhadap mereka sehinggakan sebanyak RM6 bilion setahun mengalir keluar
ke negara asing. Sekali lagi, ekonomi negara kita mengalami kerugian besar.
Jumlah ini cukup besar untuk membantu golongan miskin warga tempatan.
Yang menjadi masalahnya, di
manakah penguat kuasa-penguat kuasa yang diamanahkan untuk membanteras kegiatan
perniagaan warga asing yang menyalahi undang-undang negara kita? Adakah mereka
tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sedangkan warga asing berniaga secara
terang-terangan dan berleluasa?
Hendak disalahkan warga asing
seratus - peratus pun tidak boleh sebab kita sendiri telah menyebabkan aktiviti
perniagaan mereka menjadi-jadi sehingga mengalahkan usahawan tulen tempatan.
Bukankah sepatutnya kita mempertahankan usahawan tulen tempatan? Begitu juga
ramai peniaga tempatan sanggup mengalibabakan perniagaan kepada warga asing.
Ini seolah-olah sudah menjadi tabiat segelintir peniaga kita. Mahu untung
segera dalam jangka masa pendek
Mereka ini tidak fikir panjang.
Mereka ini juga tidak bersyukur kerana ramai lagi usahawan tulen tempatan yang
sanggup berniaga sepenuhnya dan bukan mencari untung atas angin. Lebih baik
mereka ini tidak dibenarkan berniaga seumur hidup kerana telah merugikan
negara.
Kerajaan perlu tegas dengan perkara
ini. Jika tidak, jangan menyesal suatu hari nanti warga asing mengawal ekonomi
Malaysia. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kalau kita berdiam diri
sahaja. Suka menjadi penonton berbanding menjadi penggerak utama ekonomi
negara.
Sudahlah warga asing ini mula
menguasai perniagaan-perniagaan di Malaysia, jenayah pula semakin bertambah.
Berapa banyak kes warga tempatan terutamanya wanita diganggu oleh Awang Hitam?
Bagaimana mereka ini sebegitu berani mengganggu penduduk tempatan jika tidak
kerana jumlah mereka semakin ramai. Ini belum diambil kira kes-kes jenayah
berat seperti merompak, membunuh dan merogol. Rakyat tertanya-tanya sampai
bilakah perkara ini akan berakhir?
Kita tidak boleh lagi
mengharapkan warga asing memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara kita.
Warga tempatan sepatutnya memberi sumbangan besar. Dengan tertubuhnya Talent
Corporation, dijangkakan ramai bakat luar biasa warga Malaysia yang
bekerja di luar negara akan kembali menyumbang bakti di Malaysia.
Tetapi perlu diingat bagaimana
pula dengan bakat-bakat sedia ada di Malaysia? Mereka ini sepatutnya diutamakan
dan bukannya bakat-bakat 'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali warga
asing yang banyak menyusahkan rakyat dan merugikan ekonomi negara kita.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik,
Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan