Jumaat, 12 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Penyakit mental jejas pembentukan pewaris gemilang


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Pendedahan terkini dikemukakan menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan seharusnya diteliti dengan rasa penuh kebimbangan. Menurut kajian yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah kesihatan mental yang dialami kanak-kanak dan remaja berumur lingkungan 15 tahun ke bawah (BH 8 Oktober 2012).

Kenyataan ini amat menggusarkan kita kerana mereka adalah kelompok yang bakal meneruskan kesinambungan generasi kini. Sebarang cacat cela yang berlaku terhadap mereka akan mempengaruhi hitam putih pembentukan negara pada masa hadapan.

Asas kekuatan insan banyak bertunjang kepada kemampuan akal dan fikiran. Menerusi akal dan fikiran yang sihat, individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan secara positif terhadap keadaan persekitaran.

Insan yang mempunyai akal fikiran sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat serta negara tercinta. Namun, dalam keadaan mental yang tidak sihat, individu bakal mengganggu-gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh.

Citra wibawa generasi muda

Usia remaja serta kanak-kanak adalah detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh itu, kemampuan kognitif serta sosial individu secara asasnya akan dipupuk.  

Usaha itu akan tergendala jika kanak-kanak serta remaja gagal mengawal emosi, bersikap mengasingkan diri (tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif.

Cerminan masa depan negara akan ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan untuk mentafsir perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga.

Apabila seseorang menganjak ke usia remaja, potensi perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran mereka. Galakan serta sokongan perlu diberikan jika apa yang difikirkan ( remaja) mampu membawa kebaikan.

Sebaliknya, mereka juga perlu ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan akan implikasi negatif terhadap sesuatu perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif).

Dengan lain perkataan, daripada hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental membanggakan kerana dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibu bapa serta keluarga.

Tahap kompetensi tinggi

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberi perhatian. Ibu bapa perlu dibantu agar mempunyai tahap kompetensi tinggi.

Ia perlu meliputi kaedah mengenal pasti masalah, punca dan tanda, langkah yang wajar diambil serta akhirnya kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi ibu bapa masa kini.

Proses pendidikan terhadap golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa ini. Semangat persaingan yang bersifat materialistik serta individualistik hanya menambahkan tekanan ke atas remaja atau kanak-kanak.

Meletakkan mereka dalam kancah saingan seperti ini melahirkan sikap mementingkan diri serta kiasu yang hanya menjejaskan pertumbuhan emosi. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat ingin membina jati diri yang positif.

Mereka harus didedahkan dengan persaingan sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka. 

Hubungan dua hala

Ibu bapa serta keluarga tidak harus cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh.

Untuk membantu individu mencapai puncak potensi diri, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta dijaga. Ia perlu dielak daripada dicemari elemen materialistik, individualistik serta hedonistik yang mengalpakan fitrah insan.

Kemampuan akal serta fikiran individu adalah hak yang sudah dimartabatkan secara adil oleh Allah SWT. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan