KUALA LUMPUR : Kira-kira
32.7 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap
penyakit darah tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ini dikesan
melalui kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia
yang menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam pada tahun lepas.
"Kandungan purata
pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali
lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram
sehari.
"Dalam kajian yang sama,
didapati sos kicap soya merupakan makanan utama yang menyumbang kepada
kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki merupakan golongan yang mengambil
lebih banyak garam berbanding wanita," katanya dalam perutusan sempena
Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2013.
Justeru, beliau menggesa orang
ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan
pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada
paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.
"Selain itu, hadkan
pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari semasa
penyediaan makanan, memasak dan di meja makan.
"Gunakan perisa asli seperti
rempah ratus, daun sup atau limau untuk
menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang
lain," katanya.
Liow juga menyeru orang ramai
supaya mengambil dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari,
amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat
melalui penanganan stres, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.
Katanya pengambilan garam secara
berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian
penyakit darah tinggi.
"Pengurangan pengambilan
garam boleh mengurangkan tekanan darah dan kejadian strok serta penyakit
jantung," katanya. Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia ke-6 yang akan
berlangsung pada 11 hingga 17 Mac, ditujukan khusus kepada industri makanan,
katering, pengusaha atau pengendali makanan (chef) dan tukang masak di restoran
dengan tema " Less Salt Please" (Kurangkan Garam).
Kata Liow, pihak kementerian
sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk Malaysia.
"Antaranya sebanyak 16 item
makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi iaitu daripada kategori
biskut, kicap, mi segera, makanan ringan dan daging beku telah diturunkan
kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal sejak
tahun 2011 hingga 2012," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan