Oleh : Fatin Hafizah Mohd
Shahar
Penggemar makanan laut, lazimnya
sanggup berbelanja lebih dan mencarinya di serata tempat untuk menikmati
kelazatan hidangan laut disukai. Bagi mereka, kesegaran setiap gigitannya
memberikan keenakan tersendiri dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Makanan laut yang digemari ramai
selain ikan, udang, kupang dan kerang memang sedap untuk dijadikan
pelbagai menu. Malah, permintaan tinggi makanan laut bukan sahaja dalam
kalangan pengusaha restoran di perairan pantai tetapi turut menjadi tumpuan
kepada pengusaha di kota.
Bukan semua orang sewenang-wenangnya
menikmati makanan laut, ada yang alergi dan tidak kurang kena berpantang
mengambilnya khususnya penghidap penyakit
tertentu seperti gout dan darah tinggi.
Namun, semua orang juga perlu
berhati-hati kerana makanan laut ada kalanya mudah tercemar dengan mikro
organisma, bahan kimia atau kandungan logam berat sehingga boleh membawa maut.
Contohnya, tiga maut selepas
makan kerang dan lokan yang dibeli di Pasar Malam Inanam, Sabah, pada bulan
lalu. Kes itu disebabkan fenomena laut merah yang melanda negeri itu yang
menjadi punca pencemaran kepada hidupan laut itu.
Pada 1 Januari lalu pula, enam
individu mengalami simptom keracunan seperti kebas di leher, muntah, pening dan
sesak nafas selepas memakan kerang yang dikutip di perairan Sepanggar, Sabah.
Punca keracunan
Mengulas berkaitan hal itu,
Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti
Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Saliza Mohd
Elias, berkata keracunan makanan laut boleh dibahagikan kepada dua kategori
iaitu pertama, ejen jangkitan termasuk virus, bakteria dan parasit.
Punca kedua berlaku kerana ejen
toksin (racun) yang terhasil secara
semula jadi dalam makanan laut seperti ciguatera dan scombroid atau
berlaku akibat pencemar kimia daripada bahan buangan industri seperti logam
berat, dioksin dan pestisid.
Antara punca keracunan makanan
ialah bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan kimia atau
akibat proses penyediaan makanan kotor, makanan tidak dimasak dengan sempurna
atau terdedah kepada persekitaran.
Kebiasaannya, keracunan makanan
berlaku dalam tempoh 48 jam selepas makan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat
keracunan makanan boleh membawa maut. Selain ada juga membabitkan keracunan
sistem saraf, jelasnya.
Gejala keracunan
Dr Saliza berkata, kanak-kanak,
warga tua dan individu berdaya tahan diri rendah berisiko tinggi mengalami
keracunan makanan dan tandanya bergantung kepada jenis dan kuantiti racun
diambil.
Katanya, antara gejala keracunan
sering berlaku adalah gastroenteritis iaitu seperti loya, mual, muntah,
cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, keadaan pengeluaran najis luar biasa,
cair dan kerap turut menyebabkan tubuh kehilangan cecair dan elektrolit.
Masalah keradangan sistem gastro-usus
yang selalu dikaitkan dengan darah dan nanah pada najis atau secara
saintifiknya disebut dysentery juga berkemungkinan berlaku pada individu
mengalami keracunan.
Jangkitan sistem gastro-usus
boleh menghasilkan kesan yang pelbagai bermula cirit-birit tidak berbahaya dan
pulih dengan sendirinya atau kepada masalah berlarutan dan parah hingga
menyebabkan kematian.
Secara am, gejala keracunan
makanan ini termasuklah perut memulas atau berpeluh tanpa sebab, demam, rasa
sejuk walaupun cuaca panas dan sakit kepala, katanya.
Kaedah rawatan
Mengenai rawatan keracunan, Dr
Saliza menjelaskan pesakit mengalami keracunan makanan boleh menjalani beberapa
kaedah rawatan bergantung kepada kategori penyakit dihadapi mereka.
Antara ubatan diedarkan adalah
ubat menghentikan muntah atau rawatan IV untuk menggantikan bendalir dalam
badan yang banyak dikeluarkan sepanjang proses keracunan.
Bagi mengurangkan tanda keracunan
ciguatera pula mannitol atau gula formula kimia bertindak sebagai
ejen diuretik osmosis untuk membantu menguatkan kandungan minyak dalam buah
pinggang.
Pesakit perlu menjalani rawatan
sehingga tanda keracunan makanan laut menunjukkan berkurang dan peningkatan
pada tahap kesihatan, katanya.
Beliau juga menasihatkan orang
ramai supaya melihat secara terperinci makanan laut dibeli di pasar untuk
mengelak sebarang keracunan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Di laut mudah berlaku pencemaran disebabkan
tumpahan minyak dan fenomena laut merah seperti yang berlaku di Sabah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan