Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dirasai semakin hangat, kempen politik dalam saluran alam maya turut dilihat semakin rancak dan menyengat dengan ada yang melampaui batas norma masyarakat.
Selain media konvensional,
laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram turut
menjadi 'medan pertempuran' anggota dan penyokong parti-parti politik.
Kempen-kempen politik ini dilihat
seolah-olah tidak mempunyai batasan. Malahan sejak kebelakangan ini masyarakat
Malaysia dikejutkan dengan siri video seks membabitkan ahli politik manakala
penulisan politik dalam Internet banyak yang berunsur memaki-hamun.
Tinjauan umum penulis terhadap
komen di beberapa laman sesawang seperti laman Facebook Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat,
menunjukkan penyokong masing-masing saling mencemuh dan mengulas mengikut
emosi.
Perkara yang sama turut berlaku
dalam komen di laman berita atas talian seperti Malaysiakini dan Harakahdaily.
BOSAN, SEMAK KEPALA
Tetapi perkembangan ini sesuatu
yang tidak disenangi oleh masyarakat Malaysia yang selama ini berpegang kepada
nilai-nilai murni dan budi pekerti yang baik. Tinjauan rambang penulis
mendapati, kebanyakan anggota masyarakat bukan hanya tidak selesa bahkan kecewa
dengan perkembangan ini.
"Nak politik, politiklah,
tapi bila dah tak jaga adab dan bahasa saya memang tak suka. Buat bosan dan
semak kepala sahaja," ujar Aini Dalila Jusoh, 28, yang berasal dari Johor.
Aini turut menyelar
individu-individu yang beliau kenali bertindak menghantar mesej-mesej kempen
pilihan raya yang tidak wajar ke akaun Facebook miliknya. Bagi Aini, tindakan
itu hanya mengganggu privasinya. Rakan karib beliau, Suniza Hanim Abdullah
bersetuju dengan hal ini.
"Jika ikutkan hati, mahu
sahaja saya buang mereka daripada senarai rakan saya di laman sosial,"
katanya yang aktif di Facebook dan Instagram menggunakan telefon pintar.
HUJAH DENGAN FAKTA
Kakitangan kerajaan, Mohamad
Sayuti Wan Chik, 30, pula berpendapat, dalam keghairahan mempertahankan
pendirian dan ideologi politik masing-masing, cara berkomunikasi untuk meraih
sokongan tidak patut diabaikan.
Beliau tidak bersetuju bila
kata-kata kesat digunakan.
"Kita semua ada pendirian
dan ideologi politik masing-masing... kalau nak berhujah, biarlah dengan fakta,
bukan hanya emosi dan andaian," kata Sayuti.
Pendekatan yang harus diambil
adalah dengan menggunakan bahasa yang sopan, mudah difahami, mengelakkan
provokasi serta mengajak pembaca supaya berfikir tentang isu yang dibawa.
"Dalam berdakwah kita tidak
berkasar, biar la kita cakap berkali-kali pun tidak apa asalkan dengan cara
yang lembut," katanya. Tambahnya beliau lagi, komen-komen dalam bentuk
tulisan di laman sosial juga amat mudah disalah tafsir oleh pembaca kerana ia
tidak menggambarkan intonasi sebenar penulis.
IMPAK KEPADA GENERASI MUDA
Seorang guru, Nasaruddin Rahmat
berkata, capaian kepada maklumat tanpa tapisan mengakibatkan para pelajar
terdedah kepada bahan-bahan negatif di Internet, khususnya yang berkaitan
dengan politik dan pilihan raya.
"Ada dua perkara yang
merunsingkan para guru tentang murid-murid sekarang. Pertama adalah tentang
penyebaran video seks ahli politik dan kedua adalah kata-kata maki-hamun dalam
penulisan-penulisan politik di Internet.
"Video-video itu sendiri sudah membawa pengaruh buruk, kemudian bila kita baca komen-komen di bawahnya (ruangan komentar), lebih memburukkan keadaan, tak kiralah orang itu terpelajar atau tidak, semua nak lepas geram di situ," katanya yang telah berkhidmat selama 18 tahun.
"Video-video itu sendiri sudah membawa pengaruh buruk, kemudian bila kita baca komen-komen di bawahnya (ruangan komentar), lebih memburukkan keadaan, tak kiralah orang itu terpelajar atau tidak, semua nak lepas geram di situ," katanya yang telah berkhidmat selama 18 tahun.
Jelasnya, jika perkara ini
dibiarkan, tidak mustahil negara ini akan dipenuhi dengan generasi muda yang
rendah budi pekertinya. Peka dengan sebarang perkembangan baru di Internet,
Nasaruddin juga kesal melihat sebahagian besar yang terlibat dalam gejala
negatif ini terdiri daripada masyarakat Melayu.
"Bahasa melambangkan bangsa.
Orang lihat kualiti diri kita dengan cara kita berbicara," katanya lagi.
Nasaruddin turut menyeru
calon-calon pilihan raya supaya menumpukan pada isu sebenar yang memberi nilai
tambah kepada rakyat.
"Kita ada masalah yang nyata
hari ini. Contohnya, isu kenaikan harga minyak dan barang-barang runcit, orang
susah, pendidikan dan banyak lagi.
"Sebaiknya para calon
bentangkan kepada rakyat cadangan mereka untuk mengatasi masalah ini,"
katanya.
TERLALU BEREMOSI MEMBURUKKAN
PARTI
Ketua Pegawai Eksekutif Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Mohd Khair Ngadiron ketika dihubungi
Bernama berkata, tindakan-tindakan sebegini berlaku kerana pihak yang
melakukannya terlalu beremosi untuk mempertahankan ideologi masing-masing.
"Bila terlalu beremosi,
emosi akan menguasai diri dan kematangan akan hilang," kata beliau.
Mohd Khair yang bersetuju bahawa
keadaan ini berlaku dalam semua parti, juga melahirkan kebimbangannya kerana
tindakan sebegini tidak memberi natijah atau sudut pandang yang baik terhadap
parti, mahupun calon yang bertanding.
"Saya khuatir ia akan
menjadi senjata memakan tuan. Niat nak serang pihak lawan tetapi tidak berlaku
kerana orang akan bersimpati... ibarat orang yang dipukul kemudiannya
dipijak-pijak, selepas itu orang ramai akan bersimpati kepadanya," jelas
Mohd Khair.
TUNJUK CONTOH BAIK, LUAH RASA
TIDAK SENANG
Untuk menghadapi situasi ini,
Mohd Khair berkata, kepimpinan tertinggi semua parti perlu menunjukkan contoh
yang baik kepada ahli masing-masing agar menjadi ikutan.
"Pemimpin tertinggi biasanya
agak baik bahasanya, tapi bila peringkatnya semakin ke bawah, semakin
bertambah-tambah penggunaan bahasa kasar... ibarat guru kencing berdiri,
muridnya kencing berlari," tegas Mohd Khair.
Ketika ditanya mengenai tindakan
yang perlu diambil oleh golongan majoriti senyap dalam menghadapi keadaan ini,
beliau berkata, mereka perlu menyuarakan pendapat mereka dengan cara yang baik.
"Tegurlah mereka dengan cara
yang baik, apabila golongan ini faham bahawa orang tidak suka apa yang mereka
buat, harap-harap mereka akan berhenti. Janganlah hanya membantah dalam
hati," tambah Mohd Khair lagi. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan