KUALA LUMPUR : Angkatan
Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak dengan tegas agar sebarang amalan politik
negatif seperti budaya politik samseng, fitnah dan lucah serta pendekatan
politik londeh-melondeh ditolak sama sekali oleh parti-parti politik yang
bertanding, para penyokong dan rakyat keseluruhannya.
"Marilah kita bersama-sama
mengamalkan politik bermaruah sebagai landasan terbaik menjayakan pemilihan
pemimpin untuk menerajui tanah air tercinta," kata presidennya, Amidi Datuk
Abdul Manan.
Beliau berkata demikian dalam
satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataan itu, Abim juga
mengharapkan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) ini bakal diadakan dengan penuh
telus, teratur dan demokratik serta terhindar daripada sebarang insiden negatif
yang memalukan pengamalan demokrasi di negara ini.
Justeru, Abim menyeru agar
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memainkan peranannya bukan secara efektif dan
berkesan mengikut tatacara pilihanraya, bahkan yang terlebih penting ialah
memastikan kredibiliti dan integriti SPR itu sendiri tidak diragui sepanjang
pengendalian pilihanraya akan datang.
Abim, kata Amidi turut berharap
agar badan-badan pemerhati dan pemantau pilihanraya yang terdiri daripada
pertubuhan masyarakat sivil dapat memainkan peranan penting sebagai badan
pemantau dan pengimbang (check and balance) dalam memastikan kelancaran PRU 13.
Abim membuat kenyataan ini ekoran
pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak sebentar tadi.
Abim, katanya, menilai pengumuman pembubaran tersebut
sebagai langkah penting ke arah perkembangan demokrasi yang sihat di negara
ini.
Pembubaran yang dibuat sebelum
Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013 ini amat penting demi
memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang
selaku asas sistem pemerintahan raja berperlembagaan di negara ini tetap
terpelihara.
"Sesungguhnya pengumuman
pembubaran parlimen ini telah meredakan teka-teki dan kekeliruan di kalangan
rakyat sejak sekian lama, khususnya selepas Dewan Undangan Negeri Sembilan
terbubar pada 28 Mac yang lalu," katanya.
Ini ekoran kemungkinan
terbubarnya beberapa DUN yang lain andainya pengumuman pembubaran Parlimen ini
tidak dilakukan segera.
Ini memandangkan pilihanraya ini
paling dinanti-nantikan serta bakal disorot dengan penuh minat oleh pelbagai
pihak dari dalam dan luar negara.
Sumber : http://www.abim.org.my/
Sumber : http://www.abim.org.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan