Gambar kenangan sempena sidang kabinet terakhir |
Oleh : Shamrahayu A Aziz
Adakah jemaah Kabinet terbubar
secara automatik dengar terbubarnya Parlimen? Persoalan sama, adakah barisan
EXCO di negeri-negeri juga terbubar dengan terbubarnya Dewan Undangan Negeri
(DUN). Persoalan ini menjadi penting dalam perkembangan semasa tanah air.
Perlembagaan Persekutuan dan
Perlembagaan negeri-negeri tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan
pembubaran barisan jemaah Kabinet dengan terbubarnya Dewan Rakyat. Dengan kata
lain, Perlembagaan tidak menyatakannya dengan terperinci.
Selepas diteliti perbincangan
ketika penggubalan Perlembagaan, penulis dapati jemaah menteri juga terbubar
dengan sendirinya selepas berlakunya pembubaran Parlimen sama ada pembubaran secara automatik selepas
tamat tempoh hayat Parlimen atau Parlimen dibubarkan atas permintaan Perdana
Menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. (Hanya Dewan Rakyat yang
terbubar, Dewan Negara tidak terbubar).
Hujah di sini ialah asas lantikan
anggota jemaah menteri ialah kedudukannya dalam Majlis Parlimen sama ada Dewan
Rakyat atau Dewan Negara. Apabila Parlimen terbubar, maka asas lantikan itu
tiada lagi.
Atas dasar kehilangan asas
keahlian itu, anggota jemaah menteri hendaklah melepaskan jawatannya. Dengan
itu, boleh difahami bahawa jemaah menteri adalah juga terbubar dengan
terbubarnya Dewan Rakyat.
Terus jadi amalan
Justeru, dengan terbubarnya
jemaah menteri, timbullah persoalan sama ada perlu atau tidak dibuat pelantikan
khusus sebuah kerajaan sementara bagi menggantikan jemaah menteri yang terbubar
itu.
Jemaah menteri yang melaksanakan
pentadbiran ketika Parlimen terbubar inilah yang sering disebut sebagai
kerajaan sementara atau ‘caretaker government’. Ia merujuk kepada
kerajaan yang mentadbir negara dalam keadaan ketiadaan Parlimen untuk satu masa
tertentu sehinggalah kerajaan baru dibentuk.
Dalam negara yang matang
mengamalkan demokrasi berparlimen adalah menjadi amalan bagi kerajaan yang
memerintah sebelum itu untuk terus menjadi kerajaan sementara. Bagi negara
kita, inilah amalan dilakukan selama ini selepas 12 pilihan raya umum (PRU) berlangsung
selepas merdeka. Perlu disebut bahawa Perlembagaan kita tidak menggunakan
istilah kerajaan sementara.
Amalan itu bukanlah sesuatu yang
‘haram’ atau bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan tidak mewajibkan
atau tidak meletakkan syarat secara tersurat mengkehendaki penubuhan kerajaan
sementara. Amalan ini sudah menjadi fahaman atau ideologi dalam konvensyen
demokrasi kita.
Bahagian akhir Perkara 43
Walau apapun, dalam perbicaraan
ketika penggubalan Perlembagaan juga, bahagian akhir Perkara 43 menyatakan
bahawa selepas Parlimen terbubar Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik
jemaah menteri seperti disebut dalam Perkara 43. Maka, kita dapati Perkara
43(2) membuat peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk
membuat lantikan jemaah menteri ketika Parlimen terbubar.
Perkara sama menyebut Yang
di-Pertuan Agong boleh melantik anggota jemaah menteri terdahulu, tetapi Yang
di-Pertuan Agong tidak terikat dengan kriteria itu. Dengan kata lain, Yang
di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam menentukan keanggotaan
jemaah menteri yang dibuat ketika Parlimen terbubar.
Sementara itu, semua negeri
mempunyai peruntukan sama dengan memberi kuasa kepada Raja-Raja atau Sultan
masing-masing. Oleh itu, dalam amalan sistem demokrasi berparlimen, ia sudah
menjadi amalan untuk jemaah menteri daripada mandat Parlimen yang terbubar itu
meneruskan tugas sebagai menteri tanpa lantikan khusus.
Tanggungjawab kerajaan
sementara
Walau apapun, kita harus
menitikberatkan dua perkara dalam membincangkan hal tugas dan kuasa kerajaan
sementara. Dua bidang tugas utama kerajaan sementara ialah melaksanakan
pentadbiran harian dan memastikan pilihan raya umum berjalan secara adil dan
lancar. Kerajaan sementara hendaklah bersifat seimbang atau neutral dan juga
tidak mempengaruhi penjawat awam dalam hal berkaitan pilihan raya. Kerajaan
sementara juga tidak boleh mempengaruhi tindakan atau keputusan badan yang
mengendalikan pilihan raya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara kita.
Bagi mencapai tahap matang
demokrasi, kerajaan sementara hendaklah mempunyai sifat saksama yang tidak
boleh dipertikai oleh mana-mana pihak sama ada dalam melaksanakan pentadbiran harian
atau juga pilihan raya umum.
Dalam keadaan seperti ini, kita
tidak perlu memberikan penekanan yang tidak perlu kepada lantikan khusus
kerajaan sementara. Tetapi, dua perkara berkaitan tanggungjawab kerajaan
sementara itu yang perlu diambil perhatian. Sekiranya ada persoalan
kredibiliti, barulah diperlukan sebuah kerajaan sementara yang dilantik khusus
oleh Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan kuasa budi bicara baginda.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan