Isnin, 15 April 2013

ISU SOSIAL : Ibu bapa tidak boleh lepas tanggungjawab mendidik anak


Oleh : Dr Rozieta Shaary
 
Boleh dikatakan semua tahu pentingnya ciri-ciri keibubapaan yang baik. Namun, dalam dunia semakin maju dan bergerak pantas, ramai lupa tujuan sebenar hidup di dunia ini. Begitu juga ibu bapa yang keliru dengan tanggungjawab disebabkan kehidupan tidak seimbang antara kerjaya dan rumah tangga.

Walaupun sedar kepentingan memberikan tumpuan sewajarnya, aspek keibubapaan terpaksa diletakkan di belakang. Natijahnya, ramai anak yang dilahirkan hebat, perlahan-lahan menjadi anak yang bermasalah dalam masyarakat.

Akibatnya, dunia menjadi semakin tenat dengan penyakit sosial berleluasa. Bolehkah kita berdiam diri dan membiarkan keadaan ini menular atau bolehkah kita mencari jalan penyelesaian?

Insiden pukul ketua kelas

Apa yang berlaku baru-baru ini di sekolah menengah di Pulau Pinang, ketua kelas dipukul oleh rakan rakan sekelas, sepatutnya membuka mata dan hati kita. Perkara ini berlaku bukan untuk kita bercakap dan menuding jari, tetapi sebagai cara Allah mentarbiah kita supaya peka dengan mesej yang tersirat dalam peristiwa itu.

Apakah peranan yang hendak kita mainkan? Menyalahkan ibu bapa anak-anak yang memukul rakannya itu atau kita mahu membantu semua sedar bahawa keibubapaan sangat penting dan perlu dipandang serius.

Sebagai ibu bapa kita tidak hanya menjaga anak tetapi menjadi ‘seperti aur dengan tebing’ iaitu membantu ibu bapa yang lain mendidik anak. Kita hidup dalam komuniti, seperti domino apabila jatuh sekeping, maka akan terus menjatuhkan yang lain.

Sebagai warga komuniti, negara dan dunia, kita perlu berusaha membina generasi berwibawa serta pengasih. Tempat untuk bermula ialah mengambil perhatian penuh dan berusaha memperbaiki skil keibubapaan kita.

Allah telah mengingatkan dalam firman-Nya: “Wahai orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Seperti batu dilontar ke dalam tasik yang tenang, akan menghasil gelombang mengembang ke gigi tasik. Begitulah usaha yang bermula dari rumah akan mengembang ke seluruh komuniti, negara dan dunia.

Menghasilkan generasi yang berwibawa, pengasih dan berakhlak mulia memerlukan kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai petunjuk untuk menjaga keluarga serta membersihkan hati.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (Surah Asy-Syams, ayat 9-10)

Keperluan membersihkan jiwa adalah untuk berkhidmat dan beramal soleh kerana semua itu tidak dapat dicapai tanpa niat yang ikhlas. Niat tidak boleh menjadi ikhlas apabila jiwa tidak bersih. Jiwa pula tidak boleh bersih jika hati tidak penuh dengan kasih sayang kepada pencipta dan ciptaan-Nya.

Kasih sayang bentuk anak

Melalui kasih sayang kita membina dunia yang indah untuk anak-anak dan membina anak-anak yang cemerlang untuk dunia.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al-Khottab, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.”

Imam Al-Ghazali telah mengatakan, jika ada sesuatu niat bermula dengan pemikiran dan dikuatkan dengan kusyuk (ghairah) di dalam hati, maka satu molekul akan wujud di alam fizikal. Niat yang kuat akan menjadi realiti di sekeliling kita.

Begitulah Allah memberi manusia kebolehan untuk mencipta sesuatu. Di situlah mengapa dituntut untuk kita membersihkan jiwa. Supaya apa yang kita cipta adalah sesuatu yang menjadi amal soleh yang membawa kebaikan kepada manusia dan segala ciptaan Allah.

Semoga jiwa bersih yang dimiliki oleh ibu bapa akan melahirkan anak yang cemerlang seterusnya mewujudkan masyarakat harmoni yang akan memastikan kemakmuran serta kestabilan negara dari aspek pembangunan, pentadbiran dan sosial.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan