Keratan akhbar Mingguan Malaysia mengenai kedudukan subjek Kesusasteraan Melayu yang terpinggir |
Oleh : Hasan Baseri Budiman
SAYA sudah membaca tulisan Lim
Swee Tin (Mingguan Malaysia 12 Februari 2013) dan Md Ishak Ab Rahman (Mingguan
Malaysia 24 Mac 2013) yang cukup menyentuh perasaan. Saya cukup faham akan
nasib subjek Kesusasteraan Melayu yang sampai bila-bila pun akan terus
dipandang dengan sebelah mata kerana ada yang menganggap subjek ini hanya untuk
orang suka berimaginasi dan membuang waktu semata-mata.
Kita tidak boleh menyalahkan
mereka kerana tidak diberitahu sebenarnya subjek kesusasteraan merupakan cara
yang ampuh untuk meningkatkan kecerdasan pelajar. Mereka tidak tahu bahawa
karya sastera yang pada dasarnya membicarakan pelbagai nilai hidup dan
kehidupan yang berkaitan langsung dengan pembentukan karakter manusia, turut
berperanan mengembangkan bahasa, mengembangkan kognitif, psikomotorik, di
samping turut mengembangkan sama keperibadian dan peribadi sosial pelajar.
Memanglah ada usaha pihak
tertentu yang cuba berjuang untuk menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai
subjek teras di sekolah supaya semua orang termasuk pelajar dan ibu bapa dapat
melihat kebenaran matlamat ini. Cuma kita sedih perjuangan yang memakan masa
puluhan tahun itu hanya tinggal perjuangan semata-mata. Tiada pihak
berkepentingan, termasuk Kementerian Pelajaran yang sudi membantunya kerana
sehingga tahun 2012 hanya ada 617 buah sekolah sahaja yang menawarkan subjek
itu kepada pelajar tingkatan 4 dan 5, berbanding 2,340 bilangan sekolah
menengah yang ada di seluruh negara tahun ini.
Alangkah baiknya dalam keadaan
manusia Melayu khasnya, yang masih mempunyai hati, yang merasa perlunya
menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak, bertindak sebelum terlambat,
supaya generasi akan datang tidak menjadi 'manusia robot' yang hanya lahir
dengan ada otak tapi tidak ada perasaan, turut sama berjuang menghidupkan
subjek sastera ini di sekolah.
Dan tentunya akan menjadi lebih
baik lagi kalau subjek ini sudah boleh
bermula daripada peringkat sekolah rendah . Kalau hal ini berlaku bermakna kita
sudah boleh melibatkan sekurang-kurangnya 5,906 Sekolah Kebangsaan di seluruh
negara dengan bilangan murid Melayunya melebihi dua juta orang. Bayangkanlah,
jika dua juta murid Melayu sudah didedahkan dengan kehebatan sastera sejak
mereka di bangku sekolah rendah lagi.
Kita percaya hal ini akan berjaya membantu memberikan pendidikan
jiwa dan pembangun moral yang betul kepada mereka untuk berhadapan dengan hari dewasa
mereka nanti. Alangkah ruginya kita kalau membiarkan anak-anak kita terus
menjadi manusia yang buta hatinya kerana bencinya kita kepada subjek
kesusasteraan kita sendiri ini.
Kita tidak boleh pastikan kenapa
benci sangat masyarakat kepada subjek ini? Mungkin kerana tidak komersial atau
tiada nilai dan tidak memberi pulangan apa-apa kepada pelajar. Atau salah orang
sastera sendiri yang sering terlupa, bahawa isi kandungan sastera di sekolah
sudah lama tidak diperkemaskan kembali, terutama daripada sudut isi kandungan
pembelajarannya, sehingga menjadi subjek yang hambar dan tidak menarik. Pada
hal sastera itu sentiasa segar dan hidup. Tetapi kalau subjek sastera itu tidak
dapat berorientasikan kepada pengalaman bersastera pelajar dan sebaliknya terlalu menekan kepada
pengembangan teori-teori sastera yang mengelirukan semata-mata, rasanya sampai
bila-bila pun subjek sastera di sekolah akan menjadi hambar dan tidak menarik.
Kita takut, sementelahan di dalam
pagar sekolah ini yang masih belum banyak buku sastera yang dapat dimanfaatkan
oleh pelajar, sehingga menjadikan minat mereka untuk menggauli kesusasteraan
masih pada tahap yang cukup minimum, tiba-tiba keinginan mereka terhadap
Kesusasteraan Melayu menjadi bertambah tenggelam pula dengan beberapa gangguan
yang dibina sendiri oleh para sasterawan.
Selama ini pun kita bukan sahaja
terpaksa bersaing dengan kehadiran Internet, permainan dalam talian, face book,
blog dan sebagainya ke dalam kehidupan pelajar, yang sudah pun menjadi penyebab
sastera diketepikan di sekolah, tetapi kita juga turut bersaingan dengan sikap
kita sendiri dalam meyakinkan pelajar terhadap nilai sebenar yang ada di dalam
Kesusasteraan Melayu itu. Orang sastera tidak berbuat apa-apa apabila melihat
selonggok genre ditimbun-timbunkan dalam beberapa buku untuk dipaksa pelajar
membacanya. Kalau tidak percaya tengoklah senarai teks baru subjek
Kesusasteraan Melayu (elektif) tingkatan 4 dan 5 yang digunakan mulai tahun
2010 yang sehingga ke saat ini masih menjadi rungutan para guru sastera yang
berhempas pulas untuk mentelaahnya.
Ketahuilah, pelajar yang
mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini bukannya pelajar pilihan, kerana
hampir kesemua sekolah yang menawarkan subjek ini cuma memilih pelajar-pelajar
kelas hujungan sahaja yang memang tercorot prestasi akademiknya. Jangan hairan
kalau setiap tahun pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu bukan
sahaja bilangannya merosot, tetapi keputusannya juga tidak memberangsangkan.
Misalnya, bilangan calon SPM yang
mengambil subjek ini pada tahun 2011 hanya 27,171 orang, turun sebanyak 11.23
peratus berbanding 30,222 orang pada 2010. Sebenarnya angka penurunan ini sudah
pun disedari sejak sepuluh tahun dulu lagi, tetapi tiada tindakan diambil untuk
meningkatkan bilangan yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini di
sekolah. Malah tidak pernah pun ada rasa terkejut yang teramat walaupun kita
sedar, pada tahun 2000 dan 2003 telah menjadi tahun paling drastik dalam
memperlihatkan penurunan yang paling besar, iaitu sebanyak 17.5 peratus dan
15.3 peratus.
Jika keadaan yang sama berlaku
dalam masa lima hingga 10 tahun yang akan datang, bermakna kita mungkin hanya
akan melihat cuma 10 peratus sahaja bilangan pelajar yang akan mempelajari
subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini tentu sahaja akan merugikan semua orang
yang berhajat mahu melihat keseluruhan rakyat Malaysia hidup berdasarkan
prinsip kesopanan dan kesusilaan melalui pancaran nilai yang dibawa oleh subjek
ini.
Kita mungkin sahaja tidak boleh
membuat apa-apa tuduhan melulu terhadap senario ini, tetapi berkemungkinan juga
disebabkan rasa takut melihat bilangan genre sastera yang terlalu banyak untuk
dibaca, maka bilangan pelajar yang mahu mengambil subjek ini juga mungkin akan
turut berkurangan saban tahun. Yang peliknya, subjek Kesusasteraan Tamil dan
Kesusasteraan Cina yang ditawarkan kepada pelajar-pelajarnya tidak pula
sebanyak itu bilangan genre yang harus mereka kaji dalam tempoh pengajian yang
sama, selama dua tahun.
Barangkali, inilah kesilapan
besar kita, yang terlalu ghairah dan berebut memperagakan hasil sastera kita,
sehingga kita terlepas pandang, bahawa kitalah yang telah menjadi penyebab
Kesusasteraan Melayu semakin marginal eksistensinya dalam kalangan pelajar.
Kita terlupa, isi kandungan pengkajian sastera yang terlalu banyak dilonggokkan
di dalam kelas, kadang kala dilihat tidak relevan untuk dipelajari dalam tempoh
waktu 105 minit dalam seminggu. Hal ini tentunya bukan sahaja menekan pelajar
tetapi turut sama menekan guru-guru yang mengajar subjek ini untuk menghabiskan
silibus Kesusasteraan Melayu itu dengan
cara yang terburu-buru. Hasilnya, kedua-dua kelompok ini terus sahaja menjadi
mangsa keadaan yang disengajakan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
saya faizo hehe
BalasPadam