Oleh : NURUL ANUAR KARI
DENGAN selesainya pemilihan
menteri-menteri untuk kementerian di peringkat Pusat baru-baru ini, rakyat kini
beralih pula melihat kementerian mana yang bertanggungjawab melaksanakan 17 aku
janji manifesto Barisan Nasional (BN) kelak.
Aku janji pertama untuk
'menangani kos sara hidup' banyak melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan
Perdana Menteri (JPM) serta beberapa agensi dan kementerian lain khususnya
untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia, bantuan
persekolahan dan lain-lain bantuan kepada rakyat.
Tugas menyemak semula Dasar
Automotif Nasional melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
sementara Kementerian Kesihatan memantau pembukaan Klinik 1Malaysia di dalam
kawasan komuniti padat penduduk.
Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertanggungjawab untuk Kedai Rakyat 1Malaysia
(KR1M) dan pengagihan produk 1Malaysia, termasuk pelaksanaan dasar 1Negara
1Harga bagi barangan keperluan asas.
Aku janji 'meningkatkan kehidupan
warga bandar' pula akan dikepalai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan JPM dalam
hal-hal memulih semula rumah kos rendah dan flat serta menyediakan perumahan
awam berkualiti khusus untuk generasi muda.
Kemudahan pendidikan, latihan dan
perkhidmatan kesihatan pula akan dipantau Kementerian Pelajaran serta
Kementerian Kesihatan. Sementara itu, manifesto untuk 'menyediakan rumah mampu
milik' melibatkan banyak agensi dan kementerian termasuk di bawah JPM;
Kementerian Kewangan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Wilayah
Persekutuan bersama GLC dan pihak swasta.
Untuk 'peluang mendapat
perkhidmatan kesihatan berkualiti', Kementerian Kesihatan akan bersama
Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya dalam membangunkan kemudahan
kesihatan negara.
Sasaran 'ke arah kecekapan
terhebat pengangkutan awam' pula akan melibatkan Kementerian Pengangkutan; JPM
khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat; Kementerian Kerja Raya dan
Kementerian Kewangan.
Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Wilayah Persekutuan juga
akan terlibat dalam penambahbaikan perkhidmatan, laluan dan terminal untuk
teksi, bas, rel dan komuter. Rancangan 'pembangunan infrastruktur bertaraf
dunia dan transformasi luar bandar' pula akan bergantung kepada Kementerian
Kerja Raya khususnya menambah baik atau pembinaan lebuh raya di Semenanjung,
Sabah dan Sarawak.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah; serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula akan
menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan elektrik. Sementara itu, untuk
'membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif', JPM (Unit Perancang Ekonomi,
Unit Kerjasama Awam Swasta, TERAJU) akan bersama Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri; serta agensi dan kementerian lain termasuk GLC dan
swasta.
Kementerian Pelajaran pula akan
meneruskan usaha 'membina kecemerlangan pendidikan negara' sama ada
penambahbaikan kualiti sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak mahupun
meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, sains dan matematik.
Kementerian Kewangan akan
terlibat dalam penyediaan dana seperti biasiswa dan peruntukan sekolah
sementara Kementerian Kerja Raya dalam penyediaan kemudahan bersama Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi.
Untuk 'meningkatkan keselamatan
dan ketenteraman awam' pula, JPM khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dalam menaiktaraf pasukan polis, tentera dan pasukan beruniform
lain.
Kerjasama Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membantu menyediakan
kemudahan keselamatan seperti lampu dan rondaan awam. Sementara itu,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengetuai usaha
'memperkasa penyertaan wanita' dalam membuat keputusan, termasuk menyediakan
pusat asuhan, bantuan golongan memerlukan dan undang-undang gangguan seksual.
Kementerian Belia dan Sukan pula
akan cuba 'memenuhi aspirasi belia' melalui pelbagai inisiatif, program,
pendidikan, gerak kesenian dan semangat sukarelawan. Usaha 'memerangi gejala
rasuah' akan melibatkan agensi di bawah JPM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia , Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Audit Negara bersama pasukan beruniform
Kementerian Dalam Negeri.
Dalam 'merancang jaringan
keselamatan sosial', JPM bersama Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah akan merancang bermacam bentuk bantuan terutamanya bagi penduduk
pribumi.
JPM khususnya melalui Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia, akan bekerjasama dengan beberapa kementerian
'mempromosikan agama Islam, kebebasan dan keharmonian agama' dalam memupuk
keharmonian, mendukung Islam sebagai agama Persekutuan, menjaga kebajikan
sekolah dan institusi agama serta rumah ibadat agama lain. Sementara itu,
Rancangan 'memperkukuhkan perkhidmatan awam, menambah baik tadbir urus' akan
digerakkan JPM melalui SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
'Gerakan kesederhanaan global'
pula akan dilaksanakan Kementerian Luar dengan bantuan Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; KDN serta
Kementerian Pertahanan.
Kementerian Sumber Asli dan Alam
Sekitar pula akan mengetuai usaha 'memulihara sumber semula jadi' dengan
kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Tenaga dan
Teknologi Hijau dan Air di samping beberapa agensi lain dalam mendidik
masyarakat serta melaksana undang-undang lebih ketat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan