BETAPA gembiranya hati Alif
setelah mendapat tawaran mengikuti rekrut pengambilan anggota oleh Angkatan
Tentera Malaysia.
Sejak zaman kanak-kanak, Alif
yang enggan identitinya didedahkan, bercita-cita untuk menyarung uniform
tentera.
Di samping dapat berbakti kepada
negara, dia yakin masa depan dia dan keluarga akan terjamin memandangkan banyak
manfaat yang diperoleh apabila menjadi seorang penjawat awam.
Namun, segala-galanya berubah
setelah dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di ibu kota dua hari
sebelum mendaftar diri untuk latihan ketenteraan itu.
Menurutnya, impian itu musnah
selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada September 2011 sewaktu
pulang dari masjid untuk ke tempat kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.
“Kejadian pada hari Jumaat itu
tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.
“Akibat kemalangan itu, saya
terlantar di rumah selama hampir setahun kerana tulang kaki saya patah di
beberapa bahagian,” jelasnya yang kini bekerja di sebuah syarikat
telekomunikasi.
Jelasnya, hasratnya untuk menjadi
penjawat awam masih ada, namun keadaan fizikalnya yang mengalami kecederaan di
bahagian tulang tidak membolehkan dia untuk menjadi anggota pasukan keselamatan
negara.
“Semuanya kerana kemalangan yang
disebabkan kecuaian orang lain. Saya menjadi mangsa keadaan,” luah anak jati
Kelantan ini yang kini berusia 24 tahun.
Cerita Alif, kemalangan itu
berpunca daripada sikap pemandu kereta di hadapannya yang tidak memberikan
lampu isyarat membelok sebaliknya memasuki simpang secara tiba-tiba menyebabkan
motosikal yang ditunggang Alif melanggar belakang kereta itu.
Kemalangan jalan raya akibat
kecuaian orang lain sering dilaporkan termasuk yang mengakibatkan kematian.
Lebih malang apabila pemandu terbabit melarikan diri selepas menyedari mereka
menjadi punca nahas itu.
Menurut Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 1,057 kes langgar lari
dilaporkan pada tahun 2011 dengan 312 kes melibatkan kematian. Sebanyak 198 kes
lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 547 kes cedera ringan.
Ketua Pengarah Jabatan
Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, pemandu yang
tidak bertanggungjawab punca kejadian langgar lari di negara ini.
Takut
“Pemandu berkenaan mungkin berasa
takut ekoran kesalahan yang dilakukan. Mereka cemas dan panik sehingga tidak
dapat membuat pertimbangan dan terus meninggalkan tempat kejadian,” jelasnya.
Tambahnya, pemandu langgar lari
ini tidak akan hidup tenang kerana mereka akan dibelenggu rasa bersalah serta
sentiasa diburu.
“Saya menasihatkan pemandu yang
terlibat dalam kemalangan atau menjadi punca kemalangan supaya jangan lari.
“Sebaik-baiknya anda bertenang
dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bantuan anda mungkin dapat
menyelamatkan nyawanya,” ujarnya.
Tegasnya, pesalah yang melarikan
diri tidak akan bertahan lama kerana dengan teknologi terkini serta kecekapan
penyiasatan oleh pihak polis, mereka pasti akan diberkas.
“Jadi, anda tidak perlu melarikan
diri sebaliknya jadilah orang yang bertanggungjawab.
“Kalau anda harus dihukum sekali
pun, terimalah dengan dada yang lapang. Yang penting anda dapat memulakan
kehidupan selepas itu tanpa dihantui rasa bersalah,” katanya yang menyokong
pemasangan kamera litar tertutup di lokasi yang kerap berlaku kemalangan sebagai
langkah berjaga-jaga.
“Memang lumrah manusia cenderung
mengikut peraturan apabila merasakan dirinya diperhatikan atau lebih dikenali
sebagai persepsi takut ditangkap,” ujarnya.
Mengulas tentang kes kemalangan
jalan raya di negara ini, Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon
berkata, motokar persendirian merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat
dalam kemalangan, iaitu sebanyak 546,702 kes mengikut statistik yang
dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011.
“Walau bagaimanapun, bilangan
tertinggi pengguna jalan raya yang maut dalam tempoh dua tahun yang lepas
adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang mencatat kematian sebanyak
4,173 pada tahun 2011 dan 4,178 pada 2012,” ujarnya.
Jelas Shaw Voon, sebanyak 86 peratus
daripada kes kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia.
“Analisis Miros ke atas kes
kemalangan berprofil tinggi, iaitu kemalangan yang mengakibatkan tiga atau
lebih mangsa terkorban menunjukkan corak pemanduan berisiko seperti memotong di
garisan berkembar dan kawasan selekoh sebagai punca utama kemalangan.
“Memandu laju pula menjadi faktor
kedua tertinggi iaitu sebanyak 21 peratus,” ujar Shaw Voon.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan