AKSES kepada internet adalah satu
keistimewaan. Akses kepada internet bukanlah satu hak. Sama seperti
keistimewaan lain, ia boleh ditarik balik apabila seseorang menyalahgunakannya.
Sebagai contoh, apabila seseorang
gagal menggunakan keistimewaan yang diberikan sebagai pemandu, maka lesennya
boleh digantung dan dia tidak boleh memandu lagi.
Begitu juga dengan keistimewaan
untuk seseorang memasuki sesebuah negara. Apabila dia didapati melakukan
sesuatu yang tidak dikehendaki oleh negara itu, maka keistimewaan memasuki negara
tersebut ditarik balik. Dia mungkin tidak diberikan visa atau dihalang untuk
masuk sewaktu tiba di sempadan.
Adalah menjadi tanggungjawab
kerajaan un tuk mengawalselia ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, dan salah
satu mekanisme yang boleh digunakan ialah dengan membataskan keistimewaan
kepada mereka yang gagal menggunakan sesuatu kemudahan dengan betul.
Akses kepada internet adalah satu
keistimewaan.
Apabila ketua negara seperti Yang
di-Pertuan Agong dihina melalui internet, maka tindakan itu sepatutnya dilihat
sebagai penyalahgunaan internet dan hak keistimewaan itu ditarik balik.
Sebelum ini, kita juga melihat
bagaimana simbol negara seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku dipersendakan
oleh rakyat Malaysia dan mereka bebas melakukan sedemikian di media sosial.
Bukan sekadar tonggak negara
diperlekehkan, malah Allah SWT dan agama Islam juga dipermainkan di internet.
Ini adalah satu bentuk penghinaan yang besar dan ia dilakukan secara wewenang,
tanpa segan-silu.
Singapura cuba mengawal selia
internet dengan memperkenalkan undang-undang. Mana-mana laman web berita yang
mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pelawat unik diwajibkan mendaftar dengan
Lembaga Pembangunan Media, membayar cagaran dan akur dengan arahan kerajaan
untuk menarik balik mana-mana kandungan yang dibantah oleh lembaga tersebut.
Sementara kita boleh bersetuju
dengan hasrat kerajaan Singapura, namun mekanisme sedemikian masih boleh
dipertikaikan. Undang-undang sedia ada membolehkan kerajaan mengambil tindakan
kepada penerbit laman berkenaan yang kebiasaannya merupakan sebuah organisasi
perniagaan berdaftar.
Proses pendaftaran laman web
seperti yang diperkenalkan di Singapura itu tidak banyak membantu melainkan ia
mewujudkan satu senarai laman web untuk dipantau.
Apa yang lebih membimbangkan
sekarang ialah penyalahgunaan yang dilakukan oleh orang perorangan. Individu
ini berkomunikasi melalui media sosial seperti blog, Twitter dan Facebook.
Sebahagian besar rasa
ketidaktenteraman ini diwujudkan oleh individu bukannya organisasi media,
walaupun ia kritikan kepada sesebuah kerajaan.
Betul, negara kita mempunyai
peruntukan yang cukup untuk mengambil tindakan kepada individu yang melanggar
undang-undang negara. Namun ada juga perbuatan yang tidak melanggar
undang-undang negara tetapi boleh mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan
rakyat.
Maki-hamun, ugutan dan penggunaan
bahasa kesat di internet telah menyebabkan tekanan di kalangan pengguna. Ada
orang menganggap perbuataan ini sebagai sesuatu yang cool dan menghiburkan.
Akibat perbuatan sebegini, internet sudah tidak lagi menjadi satu wadah yang
harmoni.
Yayasan i-SAFE melaporkan separuh
remaja mengatakan mereka pernah menjadi mangsa pembuli siber manakala hampir
separuh lagi mengakui mereka pernah membuli di internet.
John C. LeBlanc, profesor di
Dalhousie University, Kanada menemui 41 kes remaja membunuh diri akibat pembuli
siber sejak tahun 2003 dan jumlah ini semakin meningkat. American Academy of
Pediatrics pula mengatakan pembuli siber adalah sebahagian risiko remaja yang
menggunakan media sosial.
Apa yang disebutkan sebagai
"Red Bean Army" adalah contoh pembuli siber yang mensasarkan mereka
yang tidak sehaluan politik. Hal yang hampir sama berlaku dalam lain-lain
bidang termasuklah hiburan, sukan dan lain-lain.
Persoalannya sekarang ialah
adakah kita akan membiarkan hal ini berlaku dengan tanggapan bahawa internet
adalah bebas dan kerajaan tidak boleh mengawal selia?
Tanggapan mengatakan internet
adalah bebas dan tidak boleh dikawal adalah naif dan dangkal.
Akses kepada internet bukanlah
satu hak. Akses kepada internet adalah satu keistimewaan dan keistimewaan ini
boleh ditarik balik.
Sesiapa sahaja yang melanggan
perkhidmatan internet disyaratkan untuk bersetuju dengan "Terma
Penggunaan" (Terms of Use). Terma ini menggariskan bagaimana internet
seharusnya digunakan.
Bagi mengukuhkan lagi Terma
Pengunaan, adalah dicadangkan agar ia disertakan dengan "Polisi Pengunaan
Diterima" atau "Acceptable Use Policy" (AUP). AUP menggariskan
apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang yang mengakses
penggunaan internet tersebut.
Apabila seseorang melanggar AUP,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai pengawal selia internet di negara
ini boleh mengarahkan pembekal perkhidmatan internet atau "internet
service provider" (ISP) untuk membatalkan langganan perkhidmatan tersebut.
Bagi maksud ini, kerajaan boleh
mewujudkan sebuah tribunal di Forum Pengguna (Consumers' Forum) yang sedia ada
di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Malah, Akta ini memberikan ruang
yang besar untuk Forum Pengguna diberikan kuasa tambahan untuk memantau dan
menerima aduan pengguna termasuklah dalam isu ini.
Apabila menerima aduan, tribunal
ini boleh memanggil pengadu dan orang yang diadu untuk membela diri. Apabila
terbukti wujud pelanggaran AUP, maka keistimewaan mengakses internet ditarik
balik.
Selain individu, organisasi
perniagaan atau entiti seumpamanya bertanggungjawab untuk menentukan akaun
internet mereka digunakan secara yang menepati AUP. Mereka tidak boleh
memberikan alasan "tidak tahu" apabila akaun internet mereka digunakan
untuk tujuan yang salah.
Pendekatan ini bukan saja dilihat
lebih efektif untuk mengawal selia internet tetapi juga mendidik pengguna dengan
etika penggunaan yang baik.
Akhir sekali, kita tidak perlu
mengikuti Singapura untuk melesenkan laman web. Kita ada cara kita untuk
menyelesaikan isu yang unik di negara kita. Menarik balik keistimewaan akses
internet sudah cukup untuk menghukum mereka yang primitif!
Penulis ialah penganalisis
sosio-politik.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
makasih infonya cikgu
BalasPadambisa berkunjung balik Bisnis Borneo
BalasPadam