Prof Madya Abdul Mua'ti Ahmad bersama pemimpin Singapura yang turut serta dalam Seminar Bahasa Melayu 2013 |
Guru harus berusaha menyuntik
unsur kebijaksanaan dalam pelajaran yang disampaikan.
Umpamanya, seseorang pelajar pada
zaman dulu biasa disuruh mengutip sampah dan membersihkan sekitarannya.
Pelajar masa ini pula tidak
dianjurkan berbuat demikian kerana ia bukan tugas mereka.
Sebenarnya, terdapat
kebijaksanaan di sebalik tugas mengutip sampah - iaitu memupuk keprihatinan
dalam diri pelajar terhadap keadaan alam sekitarannya.
Demikian dijelaskan Dekan Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya
Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad.
"Apa yang sudah lama hilang
dalam pengajaran ialah kebijaksanaan. Guru mungkin sibuk dengan sukatan
pelajaran dan rutin, jadi ia tidak lagi ditekankan dewasa ini.
"Kebijaksanaan boleh hilang
apabila masyarakat tidak berusaha mencarinya.
"Sehubungan itu, idea yang
terjana dalam minda menggambarkan kebijaksanaan. Lantas, guru boleh memperluas
idea menerusi pembacaan. Luaskan horizon (jangkauan) bahan bacaan," ujar
beliau.
Profesor Abdul Mua'ti merupakan
penyampai ucaptama Seminar Bahasa Melayu 2013 anjuran Pusat Bahasa Melayu
Singapura (MLCS) di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOELC), Bishan,
semalam.
Dalam ucaptama bertajuk Bahasa
dan Jati Diri Melayu: Kesantunan Berbahasa dalam Komunikasi itu, Profesor Abdul
Mua'ti meneliti unsur-unsur mempengaruhi pandangan Melayu secara
keseluruhannya, iaitu alam sekeliling, adat resam dan Islam.
Menurutnya, kesemua ciri tersebut
mencipta cara percakapan orang Melayu, lalu membentuk jati diri serta kelakuan
mereka ketika berkomunikasi.
Antara lain, Profesor Abdul
Mua'ti mengesyorkan orang Melayu memperteguh jati diri dengan menyemai rasa
cinta terhadap bahasa Melayu itu sendiri.
Ini dapat dilakukan jika guru
atau pihak berkuasa dapat menggalakkan orang Melayu memahami sejarah dan budaya
mereka sendiri, walaupun dilanda arus pengaruh seperti Gelombang K-Pop atau
kegilaan budaya pop asal Korea Selatan.
"Yang mustahak, kita harus
yakinkan anak-anak tentang keberuntungan mereka memiliki bahasa Melayu sebagai
bahasa ibunda.
"Kita juga harus meyakinkan
orang Melayu bahawa mereka boleh menjadi Muslim yang baik dan masih juga
menjadi seorang (yang berpegang pada budaya) Melayu.
"Belajar bahasa tidak boleh
dilakukan dalam satu malam. Ia harus diterapkan sedikit demi sedikit.
"Kita perlu ada media bahasa
Melayu, bahan bacaan dan perkhemahan. Guru pun harus menggunakan bahasa yang
difahami pelajar," ujar Profesor Abdul Mua'ti.
Beliau turut menampilkan panduan
berkomunikasi, antaranya ialah merancang idea sebelum berkomunikasi, mencerakin
penerima mesej atau sasaran, kebenaran isi bicara, gaya bahasa yang sesuai lagi
baik, susunan maklumat yang jelas, bahasa badan yang menyokong lisan, berhujah
dengan waras dan mengambil kira pendapat orang lain.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan